Memartabatkan Raja Sebagai Pelindung Perlembagaan

http://www.niknazmi.com/wordpress/?p=1184

Sebentar tadi saya baru turut serta dalam Perbahasan Usul Ucapan Terima Kasih serta Menjunjung Kasih ke atas Ucapan DYMM Sultan Selangor.

Saya mengungkapkan sebuah pantun (kurang sedap, tetapi dikarang tengah malam semalam ketika mengantuk!):

Pokok Rumbia Dalam Perigi
Terasa Bayu Teramatlah Nyaman
Taat Setia Tak Berbelah Bagi
Raja-Raja Melayu Pelindung Perlembagaan

Dalam ucapan saya, saya menjunjung kasih kepada DYMM Tuanku kerana menekankan dua asas penting negeri Selangor dan negara kita iaitu prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

Prinsip Raja Berperlembagaan merupakan satu keistimewaan di mana ada Ketua Negara yang melangkaui parti politik menaungi institusi eksekutif, legislatif dan perundangan.

Oleh itu, saranan DYMM Tuanku agar semua pihak menjunjung prinsip ini melangkaui kepentingan sempit politik masing-masing teramatlah penting. Saya menekankan Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri bukanlah dokumen sakti tetapi terpulang kepada penerimaan semua rakyat untuk mendaulatkannya.

Selain itu, saya juga menekankan peri penting anak-anak Selangor mengambil iktibar dari pengalaman nenek moyang kita untuk membina Selangor yang baru dan mengatasi peminggiran mana-mana anak Selangor tanpa mengira kaum dan agama.

Dalam isu jenayah, saya mengesyorkan Kerajaan Negeri menerima pakai cadangan MBPJ untuk PBT menubuhkan polis bantuan (auxiliary police) bagi membantu PDRM membanteras jenayah. Di samping itu, PBT dan penduduk setempat harus mengambil pendekatan menyeluruh menyelenggara keadaan setempat dengan menggunapakai teori ‘Broken Windows’ bagi mengelak menular menjadi jenayah serius.

Akhir sekali, saya turut menyambut seruan DYMM Tuanku agar pasukan Merah Kuning kembali menjadi kebanggaan negeri. Saya menerima pandangan YB Dato Subahan Kamal (BN - Taman Templer) bahawa pentadbiran BN sebelum ini memainkan peranan kepada prestasi Selangor hari ini.

Tetapi saya menegaskan pasukan bola sepak Selangor cumalah sebahagian daripada komuniti bola sepak negara yang berada dalam tahap terlalu menyedihkan hari ini. Saya mencadangkan program Health Bus yang diperkenalkan di bandaraya Liverpool oleh pasukan Everton digunapakai bagi merapatkan hubungan komuniti dengan pasukan Merah Kuning, di samping meningkatkan tahap kesihatan dan senaman khususnya di kawasan luar bandar, flat kos rendah dan setinggan. Program ini sekaligus boleh meningkatkan ‘feeder system’ untuk mengenalpasti pemain berkebolehan di peringkat awal dan akar umbi.

Teks ucapan saya:

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Yang Berhormat Tuan Speaker,

Seri Setia ingin turut serta dalam Perbahasan Usul Ucapan Terima Kasih Serta Menjunjung Kasih Ke Atas Ucapan DYMM Tuanku.

RAJA SEBAGAI PELINDUNG PERLEMBAGAAN

Yang Berhormat-Yang Berhormat Sekalian,

Teguran DYMM Tuanku agar prinsip asas negara asas negara kita iaitu Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen terus dipertahankan harus diambil maklum oleh semua.

Keistimewaan sistem Raja Berperlembagaan sebagaimana diamalkan di Selangor dan Malaysia ialah kita mempunyai Ketua Negeri, yakni DYMM Tuanku, yang menjadi payung kepada rakyat, menaungi institusi – institusi eksekutif, legislatif dan perundangan. Sebagai Ketua Negara, DYMM Tuanku melangkaui kepentingan parti-parti politik. Pada era kegemilangan Islam, Sultan atau Raja menjadi penaung kepada institusi ulama’, sarjana dan karyawan. Kita boleh mengambil contoh yakni peranan yang dimainkan oleh Sultan Mansur Shah sebagai ‘payung negara’ dalam sejarah kesultanan Melayu Melaka.

Justeru sikap pemimpin-pemimpin UMNO dan Barisan Nasional tertentu dalam keghairahan mereka merampas kuasa, sanggup membelakangi Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri dan ini jelas membuktikan pencabulan mereka terhadap sistem Raja Berperlembagaan.

Kita harus ingat, Perlembagaan dan Undang – Undang Tubuh itu cumalah dokumen yang menggariskan kuasa dan tanggungjawab sang pemerintah dan yang diperintah. Sebagai dokumen, kedua-duanya tidak punya apa-apa kuasa sakti, melainkan pemimpin dan rakyat sendiri menerima dan menggunapakai apa yang digariskan. Oleh itu menjadi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia meletakkan kewajipan menerima keluhuran Perlembagaan ini mengatasi kepentingan sempit politik mereka demi kesejahteraan dan keamanan negara.

Sikap membelakangkan Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh bukan sahaja berlaku di Perak sebagaimana dibahaskan dalam dewan semalam , malah ianya turut berlaku di negeri ini. Bila mana BN tidak dapat menculik, merasuah dan mengancam wakil rakyat di Selangor seperti di Perak, mereka menggunakan pula Suruhanjaya Pilihan Raya dan Majlis Keselamatan Negara. Jika dahulu Pakatan Rakyat boleh menghormati Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung ketika BN memerintah, tetapi apabila BN pula menjadi pembangkang mereka tidak dapat menghormatinya, sebaliknya menubuhkan JKKKP.

Kuasa Raja Berperlembagaan merujuk kepada ruang lingkup Perlembagaan. Prinsip keterbatasan kuasa raja ini bukanlah baru, malah ulama’ Nusantara, Bukhara al-Jauhari telah menekankan prinsip raja yang adil dan ihsan di dalam ruang lingkup syariat dalam kitabnya Taj-us Salatin.

Pokok Rumbia Dalam Perigi
Terasa Bayu Teramatlah Nyaman
Taat Setia Tak Berbelah Bagi
Raja-Raja Melayu Pelindung Perlembagaan

MENGGEMBLENG KEKUATAN SELANGOR

Yang Berhormat Tuan Speaker,

Sebagaimana dititahkan DYMM Tuanku, Selangor tidak dapat lari dari menghadapi krisis ekonomi global pada tahun 2009. Apatah lagi respons Kerajaan terlalu hambar dan kita mewarisi kepincangan pengurusan Kerajaan Negeri daripada Kerajaan yang lama.

Namun demikian, saya yakin negeri Selangor akan bangkit dari krisis ini dengan lebih kuat –bukan sekadar mengatasi kemelut ekonomi, politik dan perkauman yang ada pada hari ini, tetapi turut mengambil peluang untuk menyelesaikan isu-isu dasar yang mencetuskannya.

Semua maklum, Selangor merupakan negeri paling maju dan kaya di Malaysia, namun kemiskinan masih wujud. Di sebalik perkembangan masyarakat yang mencapai tahap kosmopolitan, kadar jenayah, rasuah dan masalah sosial juga semakin menular. Kita tidak ketandusan anak – anak Selangor yang berpendidikan dan berbakat, tetapi perkara-perkara ini telah menjauhkan mereka dari turut melibatkan diri dalam arus pembangunan negeri.

Ada yang melihat kelemahan-kelemahan ini sebagai satu sumpahan bahawa Selangor tidak akan dapat memenuhi potensinya meskipun dengan hasil – mahsul yang melimpah ruah. Ramai yang merasakan cabaran yang dihadapi Selangor adalah terlalu besar dan banyak. Tetapi kita harus ingat, Selangor bukan lahir dalam kesenangan, dan di sebalik cabaran-cabaran ini anak-anak Selangor enggan menyerah kalah.

Nenek moyang kita datang dari seluruh penjuru Nusantara. Mereka merupakan pelayar-pelayar hebat dari Sumatera dan Sulawesi. Nenek moyang kita ada yang datang dari segenap Asia. Mereka merupakan buruh-buruh dari Kanton dan Chennai, mencari kehidupan yang lebih baik untuk keluarga mereka. Kesemua daripada mereka memilih untuk datang ke Selangor.

Mereka memilih untuk menjadikan Selangor tempat tinggal mereka. Tidak kira kaum atau agama, mereka menjadi anak Selangor. Nenek moyang kita menempuh cabaran-cabaran yang sama besar, jika tidak lebih besar dari kita. Tetapi dalam menghadapi cabaran ini mereka tidak menyerah kalah tetapi berusaha dengan kesabaran dan kegigihan yang menggambarkan keperibadian istimewa kita di Malaysia.

Kemewahan yang dinikmati Selangor kini adalah warisan pengorbanan mereka. Kita tidak boleh mengkhianati sumbangan mereka dengan gagal menghadapi cabaran yang mendepani kita, atau mementingkan pertelagahan remeh-temeh. Adalah satu penghinaan kepada nenek-moyang kita sekiranya kekayaan negeri ini tidak dapat dinikmati semua anak-anak Selangor.

Inilah cabaran yang ada buat Selangor, malah untuk seluruh Malaysia. Sekiranya kita dapat memulihkan negeri kita, seluruh negara akan mengikut jejak langkah kita. Selangor boleh mendepani zaman, dan Selangor boleh kembali gemilang.

Jika dahulu nenek moyang kita menunjukkan keberanian mengharungi lautan dan ancaman lain bagi membangunkan sebuah negeri, kita, khususnya generasi muda, mesti menunjukkan keberanian bagi mencipta sesuatu yang baru sebagaimana saranan DYMM Tuanku semalam.

Oleh itu, marilah kita tunjukkan komitmen untuk sama-sama membina Selangor yang baru. Marilah kita mengenepikan rasuah yang telah merugikan negeri tercinta ini sekian lama. Marilah kita menghulurkan tangan kepada anak-anak Selangor yang telah dipinggirkan dalam apa jua cara. Marilah kita memperbaiki infrastruktur , melahirkan pentadbiran yang inklusif dan efisyen serta memerangi jenayah yang menganggu-gugat ketenteraman agar keluarga kita dapat menikmati kehidupan yang lebih baik yang sememangnya menjadi hak mereka.

MELIBATKAN SEMUA PIHAK MEMBANTERAS JENAYAH

Yang Berhormat – Yang Berhormat sekalian,

Seri Setia ingin menjunjung kasih di atas keprihatinan DYMM Tuanku terhadap masalah jenayah di Selangor yang begitu serius.

Semua sedia maklum bahawa polis merupakan institusi di bawah Kerajaan Persekutuan.

Walaubagaimanapun, isu jenayah ini memerlukan penglibatan semua pihak, bukan polis semata-mata. Apatah lagi dalam menghadapi krisis ekonomi hari ini yang pasti mengeruhkan lagi kadar jenayah.

Oleh itu, peranan pihak berkuasa tempatan teramatlah penting, daripada dua aspek:

Pertama, pihak berkuasa tempatan boleh membentuk pasukan polis bantuan (Auxiliary Police). Beberapa ahli majlis MBPJ telah pun mengutarakan perkara ini dan cadangan ini kini dibincangkan di peringkat majlis.

Saya berharap Kerajaan Negeri dapat mempertimbangkan cadangan polis bantuan dari sudut perundangan, dan sekiranya dapat dilakukan, memberikan sokongan penuh agar ianya berjaya.

Ini dapat mengatasi masalah kekurangan pegawai polis yang dihadapi PDRM. Antara masalah utama jenayah ialah psikologi masyarakat yang ditakutkan dengan berita jenayah dan merasakan tidak ramai pegawai polis yang ditugaskan untuk memantau keadaan tersebut. Dengan bertambahnya anggota beruniform menerusi Polis Bantuan, orang ramai setidak-tidaknya akan merasa lega dengan peningkatan ‘visibility’ polis.

Kedua, PBT dapat mengambil tindakan proaktif bagi mengatasi masalah vandalisme di samping mempertingkatkan penyelenggaraan prasarana asas khususnya seperti hentian bas, lampu jalan dan penyelenggaraan taman permainan.

Saya ingin merujuk teori ‘Broken Windows’ yang digunakan bagi membanteras jenayah di New York pada tahun 1980an – 90an. Sebelum itu jenayah meningkat dengan begitu tinggi, tetapi kadar jenayah di New York jatuh merudum bermula tahun 1980an.

Dalam teori ini, jenayah dilihat sebagai kegagalan menangani masalah-masalah kecil seperti grafiti dan vandalisme sehingga menular menjadi jenayah serius seperti bunuh, samun dan rogol.

Penduduk juga menerusi Rukun Tetangga dan Persatuan Penduduk perlu memainkan peranan aktif. Di kawasan Seri Setia, saya boleh memberi contoh Rukun Tetangga SS5D Kelana Jaya yang aktif dengan aktiviti rondaan malam dan lain-lain lagi. Saya sendiri turut bertindak menyertai rondaan cegah jenayah di sebelah malam bersama mereka.

Saya juga menganjurkan dialog membanteras jenayah bersama masyarakat, PBT dan polis. Saya yakin wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat lain tidak ada masalah dalam isu ini meskipun perbezaan politik kerana wakil-wakil rakyat Pakatan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi fanatik kepartian.

MENGEMBALIKAN SUKAN KE AKAR UMBI

Yang Berhormat Tuan Speaker,

DYMM Tuanku turut menyentuh usaha mengembalikan kegemilangan Pasukan Merah Kuning yang pernah menjadi kebanggaan Selangor.

Alhamdulillah, kita dapat lihat prestasi Red Giants pada tahun 2008 agak baik. Walaubagaimanapun, tahun ini kita mesti menunjukkan keupayaan memenangi Piala Malaysia sebagai bukti kejayaan kita.

Tetapi di sebalik objektif jangka masa pendek ini, kita harus melihat prestasi bola sepak Selangor sebagai sebahagian dari penyumbang kepada prestasi bola sepak negara. Kita sedia maklum prestasi bola sepak negara sejak selepas zaman Allahyarham Mokhtar Dahari teramat menyedihkan.

Hubungan masyarakat setempat dengan pasukan bolasepak semakin longgar. Kebanyakan yang mengikuti pasukan Selangor merupakan golongan pekerja Melayu semata-mata. Golongan professional Melayu, Cina dan India yang pernah mengikuti Selangor dahulu kini lebih tahu perkembangan Red Devils daripada pasukan Red Giants.

Kita perlu memperbaiki sistem ‘feeder’ kepada pasukan bola sepak negeri dari peringkat paling awal agar sampai ke akar umbi. Jika kita cuma fokus kepada Pasukan Senior tanpa memperbetulkan asasnya, masalahnya tidak akan selesai. Pemain-pemain bola sepak mesti diajar gaya hidup yang sihat termasuk system pemakanan yang betul, kaedah senaman dan penguasaan kemahiran asas. Aspek-aspek ini semuanya kelihatan seakan-akan tidak berjaya ditekankan hari ini. Lihat sahaja bagaimana negara-negara seperti Jepun dan Korea yang pernah dikalahkan mudah pasukan Harimau Malaya kini sudah boleh bersaing dengan kompetitif di Piala Dunia.

Everton FC telah pun memperkenalkan Healthy Schools Bus. Menerusi program yang dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Liverpool, pihak korporat dan Everton, jurulatih dari Everton bersama pakar-pakar senaman dan kesihatan melawat sekolah-sekolah di Liverpool untuk mengajar kanak-kanak kemahiran bola sepak, kepentingan mengamalkan senaman dan pemakanan sihat. Kanak-kanak begitu sukakan program ini kerana penglibatan Everton FC.

Kini Everton menawarkan program yang sama di Malaysia. Saya fikir ada baiknya Persatuan Bola Sepak Selangor dengan kerjasama penaja utama KDEB dan PBT mempertimbangkan Health Bus ini bagi masyarakat-masyarakat seluruh Selangor, khususnya di kawasan-kawasan flat kos rendah dan setinggan. Bukan sahaja kita dapat mencari pemain-pemain baik yang mungkin tidak dikesan di kawasan-kawasan ini, tetapi ia juga dapat memperkenalkan amalan sihat untuk anak-anak tersebut.

Kita mungkin boleh menggabungkan program ini dengan sebuah program Sukan Perpaduan. Situasi mencabar di kawasan flat kos rendah dan setinggan sering berlarutan menjadi isu perkauman sekiranya tidak ditangani dengan baik. Bukankah baik sekiranya kita laksanakan program di mana setiap pasukan bola sepak atau futsal memerlukan penyertaan kaum-kaum utama di kawasan tersebut agar mereka dapat kenal-mengenali antara satu sama lain.

Suatu masa dahulu, bola sepak yang menampilkan tokoh-tokoh seperti Ghani Minhat, Santokh Singh, Soh Chin Aun dan sebagainya pernah menjadi wadah penyatu masyarakat. Dengan mendekati golongan kanak-kanak dan remaja dengan bola sepak, kita dapat melahirkan generasi baru yang bersatu-padu dan penuh dengan semangat muhibah sebagaimana sarananan DYMM Tuanku.

No comments

Powered by Blogger.