Nasib kerajaan tanpa sijil halal

Oleh Mahfuz Omar

KEADAAN politik semakin tidak keruan nampaknya menjelang peralihan kuasa yang bakal berlangsung pada hujung Mac depan.

Semenjak Sirul Azhar mengaku dikambinghitamkan, nampaknya Najib Razak lebih gelojoh untuk menjadi orang nombor satu. Apa tidaknya, selepas berjaya menabalkan sebuah 'kerajaan haram' di Perak, kini beliau berusaha untuk mendapatkan 'takhta' di Putrajaya pula.



Masih kencang khabar angin yang mengatakan mungkin Najib tidak sempat ke Putrajaya dan ramai juga yang mengharapkan begitu kerana mereka bimbang kegelojohan Najib akan memberi dampak yang lebih buruk berbanding ?kelembapan? pentadbiran Abdullah Badawi.

Minggu lepas, setelah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menyampaikan titah Diraja di Parlimen, tersebar berita kononnya teks ucapan baginda telah dipinda pada saat akhir, iaitu sesudah disemak oleh Abdullah Badawi. Jawatankuasa Kabinet untuk menyediakan titah Diraja yang dipengerusikan oleh Najib itu dikatakan telah menyerahkan teks yang berbeza kepada Abdullah Badawi dengan teks yang dibaca oleh Seri Paduka Baginda.

Pada akhir teks yang dititahkan itu menyebut lebih kurang begini: "Beta maklum bahawa Memanda Perdana Menteri akan menyerahkan kepimpinan negara kepada memanda Timbalan Perdana Menteri pada bulan hadapan setelah menerajui Negara sejak 31 Oktober 2003...?

Bahagian ini dikatakan tiada dalam teks yang disemak oleh Abdullah Badawi. Wallahu a'lam!

Kegelojohan mendapatkan kuasa nampaknya tidak tertahan lagi. Bukan senang nak jadi Perdana Menteri kerana selepas 50 tahun merdeka, baru lima orang merasai jawatan ini. Sudah tentu igauan yang dialami oleh Musa Hitam, Ghafar Baba dan Anwar Ibrahim tidak mahu dialami lagi oleh Najib. Dia mesti cepat-cepat mencopot Abdullah Badawi supaya dia segera ditabalkan sebagai Perdana Menteri.

Najib juga tidak mahu nasib memanda ayahandanya, Tun Razak berulang kembali. Tunku Abdul Rahman menjadi Perdana Menteri terlalu lama sehingga Tun Razak yang sudah uzur itu hampir kehilangan peluang. Laporan perisikan British menunjukkan adanya penglibatan beliau dalam komplot menjatuhkan Tunku melalui tragedi 13 Mei. Kalau tidak berbuat begitu, sudah tentu sampai mati pun dia tidak merasa jawatan tertinggi itu.

Dalam kesibukan Najib mengejar jawatan nombor wahid itu, nampaknya projek sulit Najb di Perak kurang menjadi. Kerajaan haram sudah ditabalkan, tetapi kecohnya belum lagi reda. Dia memang berjaya memaksa Nizar Jamaluddin keluar dari rumah rasmi Menteri Besar, tetapi kesnya tetap tersangkut di mahkamah. Biarlah mahkamah menentukannya.

Satu lagi 'mahkamah' sedang bersidang di Bukit Gantang, dan hakim rakyat akan membuat keputusan 7 April ini. Zambry Kadir belum boleh tidur lena walaupun sudah digelar YAB secara haram. Dia terpaksa berhadapan dengan keadaan ini sehingga terpaksa menarik diri dari bertanding jawatan Majlis Tertinggi Umno.

Kali ini sama ada Zambry benar-benar membuat keputusan sendiri atau dikambinghitamkan juga seperti Sirul Azhar tidak pula diketahui.

Kegawatan politik Perak itu menggelegak semula selepas Speaker DUN Perak, V Sivakumar mengambil keputusan menggantung keahlian Zambry dan enam Exconya sebagai Adun. Maknanya, beliau tidak boleh menghadiri sidang Dun selagi mana status keahliannya digantung. Dia memang tidak berpuas hati, tetapi Speaker memang mempunyai kuasa, kata Prof Aziz Bari, pakar undang-undang perlembagaan dari UIAM.

Itulah akibatnya memperoleh sebuah kerajaan yang 'dicuri'. Kerajaan lemah dan tidak dapat berfungsi lagi. Nampaknya Sultan Perak terpaksa mengambil jalan terakhir ? membubarkan dewan negeri.

Umno cukup tidak mahu pilihan raya diadakan pada saat ini. Lihatlah bagaimana tarikh dua pilihan raya kecil ditetap dua hari sebelum habis tarikh matangnya ? 60 hari. Apabila desas-desus kerusi DUN Bukit Lanjan juga akan dikosongkan, para pemimpin BN mempertahankan bahawa Elizabeth Wong tidak perlu meletakkan jawatan.

Tetapi, jika keadaan politik sudah tidak menentu di Perak, mahu tidak mahu sultan tidak ada pilihan. Menteri Besar lama yang dikatakan sah oleh rakyat dihalang memasuki pejabat, Menteri Besar baru yang 'haram' pula sudah tidak boleh berfungsi di dewan negeri walaupun diraikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang lebih sudu dari kuah.

Bagaimana seorang yang digantung keahliannya di dewan negeri boleh menjadi Menteri Besar, sedangkan syarat menjadi Menteri Besar ialah mesti seorang ahli Dewan Undangan Negeri (Dun). Tetapi kini keahliannya digantung selama 18 bulan daripada menghadiri sidang Dun. Kalau dia rasa masih MB macam mana Zambry nak bentang belanjawan negeri perak untuk tahun 2010 sedangkan dia tidak boleh menghadiri sidang Dun Perak.

Sepatutnya Zambry sudah hilang kelayakan sebagai Menteri Besar kerana keahliannya sudah digantung. Ya! Seperti kedudukan Datuk Zaid Ibrahim sebagai Ketua Umno Kota Bharu dahulu, terlucut jawatan kerana keahlian digantung! Maka, dengan sendirinya kedudukan Zambry juga begitu. Speaker menggunakan kuasanya untuk mengambil tindakan ke atas Adun yang tidak berdisiplin. Ini adalah amalan di semua negara Komanwel, kata Prof Aziz Bari. Apa tunggu lagi?

Kini giliran Zambry pula untuk mengosongkan pejabatnya di Wisma Darul Ridzuan. Tapi saya percaya Zambry tidak akan berbuat begitu kerana ia akan memalukan Najib. Najib sudah tentu tidak sanggup dipersalahkan lagi di atas kemelut ini. Inilah akibatnya apabila memimpin sebuah kerajaan tanpa sijil halal yang sah!

Rakyat sudah tahu apa peranan Najib dalam menubuhkan kerajaan haram di Perak. Mereka tidak berani membawa usul tidak percaya ke Dun walaupun berjaya menculik dan merasuah tiga Adun Pakatan Rakyat. Dia tahu kerajaan Pakatan tidak akan jatuh jika dibuat usul tidak percaya, lalu mereka menggunakan saluran istana untuk memaksa Nizar meletakkan jawatan.

Nizar belum meletak jawatan, tetapi Zambry sudah mengangkat sumpah. Itu yang membuatkan Speaker hilang sabar agaknya, lalu menggantung keahlian Zambry. Kini Najib tidak mahu bertanggung jawab, lalu dipindahkan semua kesilapan ini kepada istana. Kononnya istana yang mengarahkan Zambry mengangkat sumpah, lalu dia mahu melonggokkan kegawatan ini di atas bahu istana. Istanakah yang menculik dan merasuah wakil rakyat? Atau Najib yang melakukannya, kemudian mendesak istana menerima sumpah Zambry.

Sebelum saya menutup bicara kali ini, saya ingin menyentuh sedikit tentang pilihan raya Israel yang baru tamat minggu lepas. Parti Kadima pimpinan Tzipi Livni memperolehi 28 kerusi mendahului Parti Likud pimpinan Benjamin Netanyahu dengan lebihan 1 kerusi.

Netanyahu amat mengharapkan supaya dapat membentuk kerajaan dan kini berusaha melobi parti-parti kecil Israel - Beiteinu dan Parti Pekerja yang masing-masing mempunyai 15 dan 13 kerusi. Tapi nampaknya Netanyahu, bekas Perdana Menteri Israel itu tidak cukup licik, lalu sehingga hari ini masih belum dapat mengangkat sumpah.

Saya mencadangkan kepada beliau supaya datang 'berkursus' dengan Najib Razak bagaimana cara menculik dan merasuah wakil rakyat parti lawan ketika parti Netanyahu ketinggalan satu kerusi itu. Kalau dia mengambil Najib menjadi penasihat, sudah tentu Netanyahu boleh menangkat sumpah dengan segera... walaupun secara haram!- tajdid

No comments

Powered by Blogger.