Pilih Khairy, perwakilan kabur penglihatan - Badrul Hisham

Sikap perwakilan Pemuda Umno yang memilih Khairy Jamaluddin selaku Ketua Pemuda mencerminkan bahawa perwakilan kabur penglihatan.
Iklan




Demikian kata bekas calon KeADILan di Parlimen Rembau, Badrul Hisham Shaharin yang pernah menentang Khairy di Parlimen tersebut Mac 2008.

Kemenangan Khairy ujar Badrul Hisham membawa gambaran bahawa perwakilan memilih pemimpin yang dikaitkan dengan politik wang.

Tambah beliau, pemilihan ini juga membawa persepsi Pemuda Umno seolah-olah membuka ruang mencetus penyalahgunaan kuasa.

Walhal katanya ada calon lain yang dilihat lebih bersih walaupun tidak dinafikan pemilihan kali ini bergelumang dengan rasuah atau politik wang.

Beliau seterusnya hairan bagaimana mentaliti perwakilan Pemuda Umno yang mahu mengubah kemelut rasuah, sedangkan memilih ketua yang terbabit politik wang.

Sejurus pemilihan Khairy itu, Badrul Hisham mendakwa ia hanya mendorong berlaku lebih banyak penyalahgunaan kuasa yang merugikan rakyat.

Pada 25 Mac, Khairy telah diumumkan menang bagi jawatan Ketua Pemuda Umno dengan menewaskan pencabarnya, Dato' Mukhriz Tun Mahathir dan bekas Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

Sementara itu, sumber dalaman Umno menyatakan beberapa individu yang tidak berpuas hati dengan pemilihan Khairy selaku Ketua Pemuda dikatakan sedang menggerakkan kempen membantah pemilihan ahli Parlimen Rembau itu.

Sumber yang berasal dari Perak itu berkata, beliau dan beberapa rakannya kini sedang mengumpul bukti bagi membuat aduan kepada Lembaga Disiplin.

Namun beliau juga mengakui terdapat kesukaran dalam mendapatkan perwakilan yang mahu membuat pendedahan sebarang tindakan Khairy yang mencurigakan.

Beliau yang kecewa dengan kekalahan tokoh pilihannya, Mukriz merasakan perwakilan seolah-olah tidak mampu untuk memikirkan masa depan parti.

"Habislah macam ini, saya pun dah kecewa dengan Umno jika ini yang perwakilan mahukan," ujarnya ketika menghubungi penulis semalam

No comments

Powered by Blogger.