Boikot Utusan Malaysia, NST tidak adil?

PULAU PINANG 21 April - Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim (BN-Penaga) menyifatkan tindakan kerajaan negeri memboikot akhbar Utusan Malaysia dan New Straits Times (NST) daripada membuat liputan majlis anjuran kerajaan negeri sebagai tidak adil.

Katanya, tindakan yang dibuat jelas menunjukkan kerajaan negeri tidak boleh dikritik dan hanya mahu berita-berita yang elok sahaja disiarkan dalam akhbar dan apabila ianya bercanggah daripada perkara itu, akhbar terbabit akan dihukum.

Beliau berkata, tindakan tersebut juga amat bercanggah dengan prinsip keterbukaan dan kebebasan yang dilaung-laungkan kerajaan negeri melalui slogan Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT).

''Saya tidak nampak langsung kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara seperti yang mereka kata. Mula-mula kata Utusan Malaysia bohong dan tidak boleh dipercayai, lepas itu NST pulak.

''Kenapa perlu menghukum akhbar berkenaan hanya kerana mereka mengkritik kelemahan kerajaan negeri dan tidak cerita perkara baik sahaja. Ini tidak adil. Barisan Nasional (BN) sampai tumbang di Pulau Pinang, tapi kita tidak pernah boikot mana-mana akhbar pun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul terima kasih terhadap ucapan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas pada mesyuarat pertama penggal kedua Sidang Dewan Undangan Negeri kali Ke-12 di sini hari ini.

Azhar berkata, sudah menjadi tanggungjawab akhbar untuk mengkritik kelemahan dan kekurangan yang berlaku supaya rakyat mendapat yang terbaik.

Tambahnya, semasa pemerintahan kerajaan BN, kerajaan negeri juga sering dikritik, namun ia dijadikan tauladan untuk memperbaiki setiap kelemahan yang berlaku.

''Tak payahlah cepat rasa tersinggung segala yang keluar dalam akhbar. Mereka mengkritik untuk kebaikan. Apabila dikritik kita minta ruang untuk menjawab.

''Kalau tak dapat jawab pun, tidak mengapa kerana yang paling penting, rakyat sendiri akhirnya akan tahu setiap apa yang berlaku sama ada ia benar atau tidak, tak payahlah sampai tindakan boikot, ia tidak wajar," katanya.

Ketua Menteri Lim Guan Eng (DAP-Air Putih) kemudiannya mendakwa kerajaan negeri terpaksa berbuat demikian apabila mereka tidak diberi ruang untuk memberikan penjelasan.

''Kami tidak ada cara. Itu sebab kami buat begitu (boikot). Kami tidak mahu masalah timbul. Jika diberi ruang untuk kita jawab, mungkin hubungan ini dapat dipulihkan," katanya.

Azhar kemudiannya berkata, beliau dan ADUN yang lain juga kadang kala tidak diberi ruang untuk menjawab apabila dikritik tetapi perkara tersebut tidak pernah menyebabkan mereka memboikot mana- mana surat khabar yang berbuat demikian.

''Jangan risau, rakyat sudah bijak, mereka tahu apa yang betul apa yang tidak," katanya.


azhar ni pengarah utusan ke sekarang? kahkahkahkahkahkah.....

No comments

Powered by Blogger.