Najib rampas 'rakyat' dari Anwar

Tahun la lu semasa Dato' Seri Anwar Ibrahim menghebohkan kemungkinan akan tertubuhnya kerajaan Pakatan Rakyat di peringkat persekutuan pada 16 September 2009, maka terbayang pada mata peNulis akan tertubuhnya sebuah kabinet Pakatan Rakyat, yang nama paling sesuai baginya adalah Kabinet Rakyat.


Tentulah sesuai bahawa kabinet Pakatan Rakyat pimpinan Anwar bernama Kabinet Rakyat. Sayang Anwar gagal dalam usahanya itu tetapi agak terkejut apabila didapati bahawa Dato' Seri' Najib Tun Razak menamakan kebinetnya Kabinet Rakyat. Sepatutnya sebagai kerajaan Barisan Nasional, maka wajarlah kebinetnya dinamakan Kabinet Nasional.

Tidak salah baginya untuk menamakan kebinetnya sebagai Kabinet rakyat. Lagipun istilah rakyat bukanlah hak cipta buat Pakatan Rakyat semata-mata, lebih-lebih lagi ia tidak didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan. Sebab itulah Najib tidak pernah merujuk Pakatan Rakyat dengan nama Pakatan Rakyat. Ia hanya memanggilnya sabagai Pakatan Pembangkang.

Barisan Nasional masih boleh mengakui memperoleh sokongan majoriti rakyat Malaysia. Sebab itu mereka menang. Maka tidak menjadi masalah baginya untuk menamakan jemaah menterinya sebagai Kabinet Rakyat. Dalam erti kata Kabinet yang ditubuhkan oleh parti yang memperoleh sokongan majoriti rakyat.

Begitu juga dengan Pakatan Rakyat. Jika andainya pada 16 September lalu, ia dapat membentuk kerajaan persekutuan, maka kabinet yang ditubuhkan bolehlah dinamakan sebagai Kabinet Nasional. Ini kerana anggota menteri yang terkandung di dalamnya terdiri daripada mereka yang datang daripada kedua-dua wilayah negara, Malaysia Barat dan Timur. Maka tidak salah untuk disebutnya sebagai Kabinet Nasional.

Maka dalam hal ini, sama ada kerajaan Barisan Nasional, mahupun Pakatan Rakyat, kedua-duanya boleh menggunakan nama Kabinet Nasional atau Kabinet Rakyat. Dua-dua boleh melakukannya dan ia dapat diterima. Tetapi dalam semangat hendak menuju ke arah sistem dua parti, maka wajarlah kalau Barisan Nasional menggunakan istilah Kabinet Nasional, sementara Pakatan Rakyat menggunakan istilah Kabinet Rakyat. Iaitu sekurang-kurangnya ia menjadi satu penyelarasan.

Justeru pada masa depan, orang akan menyebut Barisan Nasional lawan Pakatan Rakyat yang dipendekkan kepada Nasional lawan Rakyat. Seperti kalau di Amerika, orang menyebut Demokratik lawan Republikan, maka di Malaysia, ia akan disebut Nasional lawan Rakyat. Jadi pada waktu Barisan Nasional berjaya menubuhkan kerajaan, maka jemaah menterinya dikenali sebagai Kabinet Nasional, sementara apabila Pakatan rakyat menubuhkan kerajaan, kabinetnya pula dikenali sebagai Kabinet Rakyat.

Maka apabila Najib menamakan jemaah menterinya sebagai Kabinet Rakyat, ia merupakan sesuatu yang tidak kena. Dalam sejarah negara, istilah nasional adalah sesuatu yang tidak timbul daripada awal. Perkataan nasional mula digunakan di Indonesia dahulu dengan Sukarno menubuhkan partinya yang bernama Partai Nasional Indonesia (PNI). Maka nasionalis di Tanah Melayu pada tahun 1945 yang menyokong Sukarno turut menurut jejak langkahnya dengan menubuhkan parti yang bernama Malay National Party (MNP).

Tetapi apabila diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, ia menjadi Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Parti ini pada awalnya turut menyertai persatuan Melayu lain untuk menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Bersatu. Pada mulanya dipendekkan sebagai Pekembar, tetapi kemudian lebih kekal dengan nama Umno.

Setelah keluar daripada Umno, PKMM mengajak parti-parti Melayu lain, antaranya parti Islam pertama Tanah Melayu, Hizbul Muslimin (HM) menubuhkan gabungan bernama Pusat Tenaga Rakyat (Putera). Istilah penting dalam nama gabungan parti ini ialah rakyat. Antara penyokong Putera ialah sebuah pertubuhan yang ditubuhkan di Singapura bernama Gerakan Rakyat Muda (Geram) pimpinan A Samad Ismail. Ia juga menggunakan istilah rakyat.

PKMM, Putera dan Geram terkubur. Tetapi PKMM digantikan dengan Parti Rakyat Malaya (PRM). Ia kemudian berkembang ke Singapura dengan nama Parti Rakyat Singapura (PRS) dan ke Brunei dengan nama Parti Rakyat Brunei (PRB). Tetapi Samad Ismail tidak ikut serta sebaliknya bersama Lee Kuan Yew menubuhkan Parti Tindakan Rakyat dengan kependekannya Petir dan PAP. Istilah rakyat mula banyak digunakan.

Di Sarawak pula muncul Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan di Perak ialah Parti Rakyat Progresif (PPP) yang asalnya ialah Parti Progresif Perak tetapi kini dikenali sebagai Parti Progresif Penduduk. Begitu juga dengan Parti Gerakan Rakyat Malaysia. SUPP, Gerakan dan PPP kini berada dalam Barisan Nasional.

Dengan kemerosotan pengaruh pada pilihan raya tahun 1969, Perikatan diubah menjadi Barisan Nasional. Inilah pertama kalI istilah nasional mula popular di negara ini menggantikan kebangsaan. Kalau dahulu ketika menubuhkan universiti berbentuk nasional, ia dinamakan sebagai Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Andai kata ia ditubuhkan kemudian, tentu ia akan dikenali sebagai Universiti Nasional Malaysia.

Selepas tahun 1974, banyaklah institusi yang dinamakan dengan nama nasional dan perkataan kebangsaan sudah ditinggalkan. Apabila Lembaga Letrik Negara diswastakan, maka nama yang diambil ialah Tenaga Nasional. Ketika menubuhkan syatrikat minyak negara, maka namanya ialah Petroleum Nasional (Petronas). Apabila ditubuhkan syarikat permodalan untuk Bumiputera, maka namanya Perbadanan Nasional (Pernas) dan juga Perbadanan Nasional Berhad (PNB) yang memperkenalkan Amanah Saham nasional (ASN).

Maka berpanjanganlah nama nasional. Kereta nasional dinamakan Perusahaan Otomobil Nasional (Proton) yang diedarkan oleh Edaran Otomobil Nasional (EON). Apabila didirikan stadium di Bukit Jalil, maka dinamakan Stadium Nasional.

Di pihak istilah rakyat pula, agensi yang ditubuhkan untuk membela Bumiputera dinamakan Majlis Amanah Rakyat (Mara). Sementara Bank Kerjasama Rakyat berkembang hingga sekarang dikenali sebagai Bank Rakyat. Namun begitu, pada zaman Tun Hussein Onn, kerajaan Barisan Nasional ada menubuhkan Restoran Rakyat di tengah-tengah Kuala Lumpur untuk menjual makanan yang berharga rendah untuk kemudahan rakyat. Begitu juga apabila diperkenalkan keretapi ekspres dinamakan Ekspres Rakyat.

Maka dalam menghadapi pilihan raya tahun 1978, apabila berdepan dengan Barisan Nasional, maka tidak hairanlah pihak pembangkang dikenali sebagai Barisan Rakyat. Perkataan rakyat itu dikenali sebagai alternatif. Tetapi pada tahun 1986, muncul sebuah parti kebangsaan yang menamakan dirinya Parti Nasionalis Malaysia (Nasma). Perkataan nasional masih tetap popular.

Nasma, PAS dan PRM menubuhkan gabungan bernama Harakah Keadilan Rakyat ketika menghadapi pilihan raya umum 1986. Perhatikan pemilihan nama keadilan dan rakyat. Tetapi sebelum itu, apabila Gerakan menyertai Barisan Nasional, ahli parti yang tidak bersetuju keluar parti dan menubuhkan Parti Keadilan Masyarakat.

Bermulalah perkataan Keadilan menjadi popular apabila gerakan Reformasi dilancarkan pada tahun 1998. NGO yang menggerakkannya dinamakan Adil. Justeru, apabila parti Anwar ditubuhkan namanya ialah Parti Keadilan Nasional. Di dunia Islam, parti bernama Keadilan banyak pula digunakan. Di Turki muncul Parti Keadilan dan Pembangunan (AK). Sementara di Indonesia, muncul pula Parti Keadilan Sejahtera (PKS).

Tetapi PKS dari segi fahaman lebih hampir kepada PAS daripada Parti Keadilan Nasional di Malaysia. Parti yang dianggap hampir pada Parti Keadilan Nasional ialah Parti Amanat Nasional (PAN) pimpinan Amien Rais di Indonesia. Sekali lagi perkataan nasional menjadi kegemaran. Tetapi perkataan Keadilan tidak disenangi di Malaysia, maka Istana Keadilan bertukar nama menjadi Istana Kehakiman sedangkan dalam bahasa Inggeris, Palace of Justice ialah Istana Keadilan dan ia bukannya Palace of the Judiciary.

Namun apabila KeADILan bercantum dengan PRM, ia mengambil nama Parti Keadilan Rakyat. Dan apabila digabungkan KeADILan, PAS dan DAP yang muncul ialah Pakatan Rakyat. _

No comments

Powered by Blogger.