SPRM... anak lembu umno!

Kenyataan media SPRM

BERDASARKAN kepada laporan akhbar hari ini (23 April 2009) berhubung kes Mohammad Fairus Khairuddin, bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin mengesahkan bahawa siasatan kes tersebut telah dikemukakan ke Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SRPM. Setelah meneliti kes tersebut dengan mendalam dan setelah mengambil kira keseluruhan keterangan yang terdapat dalam hasil siasatan itu, Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM telah memutuskan keterangan yang diperolehi tidak mempunyai asas untuk pendakwaan. Peguam Negara juga bersetuju atas keputusan ini setelah dimaklumkan kepadanya.

Hasil siasatan SPRM mendapati tugas dan tanggungjawab di bawah portfolio beliau tidak ada kaitan secara langsung dengan perusahaan kuari di Pulau Pinang. Beliau hanya diberi tugas mengendalikan siasatan kes pemberian tanah di Lot 954 & 955, Mukim 20 Daerah Seberang Perai Tengah kepada seseorang. Walau bagaimanapun, siasatan mendapati beliau ada meminta dan menerima pembiayaan daripada seorang pengusaha kuari bagi menghadiri satu kursus antarabangsa di London. Namun begitu, pengusaha kuari yang memberi sumbangan tersebut tiada kena mengena langsung dengan siasatan yang dibuat Mohamad Fairus.

Siasatan mendapati Mohamad Fairus telah pergi menghadiri kursus antarabangsa di London pada pertengahan tahun 2008 bersama-sama dengan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang yang mana TKM II dibiayai sepenuhnya oleh pihak penganjur dan Kerajaan Pulau Pinang.

Sehubungan itu, SPRM ingin menarik perhatian kepada semua kerajaan negeri, kementerian dan jabatan agar mematuhi peraturan dan tatacara permintaan dan penerimaan sumbangan daripada pihak luar. SPRM akan menghantar pegawai ke Pulau Pinang untuk menjalankan kajian bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti melalui prosedur dan tatacara penerimaan sumbangan atau derma dari pihak luar. Hasil kajian ini akan dicadangkan untuk diterima pakai oleh lain-lain negeri dan kementerian. Ini adalah selaras dengan tugas dan tanggungjawab SPRM di bawah Seksyen 7 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

IBU PEJABAT SURUHANAJAYA PENCEGAHAN RASUAH

23 APRIL 2009

No comments

Powered by Blogger.