BN Makin Terdesak ,Nik Aziz Jadi Sasaran

Barisan Nasional (BN), khususnya Umno semakin terdesak apabila berulangkali memainkan isu berhubung kenyataan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dikatakan menuduh penyokong BN tidak akan masuk syurga.

Melihat kepada ketokohan dan pengaruh Ustaz Nik Abdul Aziz di mata masyarakat, khususnya kaum Melayu menjadikan BN terus-menerus berusaha mencalarkan imej dan kredibiliti beliau


"Umno semakin terdesak untuk mendapatkan sokongan orang Melayu. Jadi, apabila musim pilihan raya sama ada pilihan raya umum mahupun kecil, apa sahaja yang disebut oleh Tuan Guru akan dimanipulasi bagi menjejaskan imej beliau," tegas Ahli Jawatan Kuasa (AJK) PAS Pusat, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin kepada Harakah.

Bagaimanapun, kata beliau masyarakat yang prihatin mengetahui hujah Umno adalah serkap jarang dan hanya jalan untuk melepaskan diri yang semakin terdesak dengan masalah-masalah dalaman parti itu.

Ustaz Ghani menegaskan Umno mengambil sikap memusuhi ulama yang memperjuangkan hukum-hakam sebagaimana yang dituntut Allah, selain tidak memahami al-Quran yang jelas menobatkan orang-orang khianat adalah mereka yang tidak menobat dan mendaulatkan ajaran agamanya dalam politik, ekonomi, dan sosial.

Dalam pada itu, beliau turut menyelar Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin, yang mengatakan akan masuk syurga juga apabila memperjuangkan fahaman Melayu isme cara Umno.

"Dari mana dia mendapat petunjuk Allah dengan tidak menobatkan politik Islam dan ajaran Islam selama 52 ini? Rekod kejahatan dan penyimpangan mereka dari kepentingan Melayu dan Islam semakin terserlah dan amat banyak jika mahu dihuraikan," tegas beliau.

Beliau turut mempersoalkan mengapa di kalangan pemimpin mereka (Umno), tiada para ulama untuk membimbing ahli-ahli untuk mematuhi arahan agama, malahan mengeluarkan pula kenyataan yang menyanggah alim ulama.

Mengulas lanjut soal tersebut, ustaz Ghani berkata terdapat banyak hadith tentang pengikut fahaman assabiah (perkauman) yang mati kelak akan berada dalam keadaan jahiliah kerana fahaman tersebut.

"Mati jahiliah tentulah tidak masuk syurga. Kalau masuk pun setelah dihukum dan mengalami tempoh seksaan neraka dalam tempoh yang panjang setelah mendapat keampunan Allah. Apa dalilnya perjuangan atas landasan assabiah akan masuk syurga? ," soal beliau.

Justeru, beliau berharap Umno menghentikan segala dakyah-dakyah melibatkan agama bagi kepentingan politik mereka semata-mata, selain cuba meraih undi orang Melayu yang semakin hilang kepercayaan kepada mereka.

No comments

Powered by Blogger.