Apabila ibadah pun menjadi suatu pesta di Kelantan

Oleh DINSMAN

Ramadan sebagai 'pesta ibadah'? Memang mengejutkan. Pertama kali mendengarnya disebut oleh seorang kawan di Kota Bharu, memang saya pun terkejut dengan istilah 'pesta' itu.

Kami berbincang mengenai 'Ihya' Ramadan'. Bukan mengenai maksudnya tetapi mengenai program-program yang dibuat oleh kerajaan negeri di Kelantan, bagi menghidupkan bulan yang mulia dengan janji seribu rahmat dari Allah itu.




Dalam perbincangan itulah kawan saya menyebut bahawa Ramadhan di Kelantan, dengan pelbagai program Ihya' Ramadannya, menjadi umpama suatu 'pesta ibadah'.

Pesta ibadah? Ibadah pun boleh jadi pesta? "Umpama," katanya.

Kenapa umpama pesta? "Kerana meriahnya," jawabnya pula.

Meriah? Macam manalah meriahnya tu? Kalau suasana membeli-belah di bazar-bazar Ramadan untuk berbuka puasa, itu memanglah meriah. Tetapi itu bukannya pesta ibadah. Itu 'pesta makan'. Sesuatu yang tidak seharusnya menjadi kebanggaan kita untuk bulan Ramadan. Jadi, apakah yang dimaksudkan 'meriahnya ibadah' di bulan Ramadan itu?

"Pertama," kata kawan saya itu, "masjid-masjid dan surau-surau menjadi pusat tumpuan orang ramai. Baik di bandar mahupun di kampung. Selepas berbuka dan sebelum azan isya' berkumandang, mata kita akan sejuk melihat manusia lelaki perempuan, orang tua dan juga kanak-kanak, berduyun-duyun menuju ke masjid dan surau. Ada yang berjalan kaki, ada yang berbasikal, bermotosikal, dan ada yang berkereta. Suasananya memang menyentuh sanubari."

"Dan suasana yang hampir sama begitu," katanya lagi, "boleh kita lihat dan rasai juga pada waktu malam menjelang subuh. Di banyak tempat. Terutama selepas pertengahan Ramadan. Mereka berkumpul di masjid untuk qiyamullail dan solat subuh. Sungguh syahdu."

Ya, betul, saya pun pernah menunaikan solat subuh di beberapa masjid di Kota Bharu, Pasir Puteh dan Tanah Merah dalam bulan Ramadan tahun-tahun yang lalu, memang kehadiran jemaahnya luar biasa ramai. Hampir seperti solat Jumaat.

Hari ketiga Ramadan tahun ini saya dan Qosim berjemaah subuh di Masjid Muhammadi (KB). Waktu kami tiba, masjid masih kosong. Tetapi ketika bangun untuk solat fardu subuh dan menoleh melihat ke belakang, Qosim terkejut kerana orang sudah penuh hingga ke saf belakang.

Selesai solat dia masih kehairanan memikirkan bagaimana hal itu boleh terjadi di Kelantan. Maka saya pun berkata: "Inilah hasil kegigihan dan kesungguhan Tok Guru mendidik dan mentarbiyah rakyat. Dia tak serupa dengan Perdana Menteri atau Menteri Besar lain.

"Orang lain mengutamakan urusan ekonomi dan pembangunan material, Tok Guru Nik Aziz lebih mengutamakan tugas dan tanggungjawab membetulkan akidah dan pemikiran manusia, terutama rakyat negerinya."

Berbalik kepada cerita 'pesta ibadah' kawan saya tadi. "Di Kelantan," katanya, "bila menyambut Ramadan, semua orang akan sentiasa berlumba-lumba untuk membuat ibadah. Semua orang akan berlumba-lumba bersedekah, berlumba-lumba nak menyumbang untuk juadah berbuka puasa, berlumba-lumba menjamu anak yatim, berzakat dan sebagainya."

"Di tempat lain," jelasnya lagi, "orang mungkin berasa seronok tibanya Ramadan kerana ia menandakan tak lama lagi akan tiba pula hari raya.

Tetapi di Kelantan tak begitu. Di Kelantan orang berasa gembira dan tak sabar-sabar menyambut Ramadan kerana Ramadan membolehkan kita berasa seronok membuat ibadah, berasa teruja untuk buat kebaikan, berasa gembira bila dapat bersedekah, dan rasa tak sabar-sabar untuk ke masjid berjemaah, tak kira zuhur, asar, maghrib, isya' mahupun subuh."

Ini benar-benar satu dimensi baru dalam ibadah, kata Qosim. Ramadan bukan lagi bulan puasa seperti yang kita faham selama ini. Ramadan ialah bulan 'pesta ibadah'.

Seperkara lagi, yang turut memeriahkan Ihya' Ramadan di Kelantan ialah tadarus al-Quran. Bukan tadarus sekadar membaca al-Quran beramai-ramai, tetapi membaca al-Quran dan memahami makna dan maksudnya.

Kerajaan Negeri melalui Jabatan Agama Islam pada setiap tahun menetapkan satu surah atau sejumlah ayat al-Quran pilihan, untuk dijadikan Ayat Tadarus rasmi bagi negeri Kelantan. Sebuah buku Tadarus yang mengandungi ayat Quran tersebut berserta tafsirnya, akan dicetak dalam jumlah yang banyak, untuk diberikan percuma kepada seluruh rakyat yang berkenaan.

Bayangkan setiap tahun kerajaan negeri mencetak sebanyak 50,000 naskah buku tersebut, yang tebalnya sekitar 40 halaman. Dan buku itu digunakan di seluruh ceruk negeri, di bandar dan di desa, oleh semua golongan masyarakat.

Mereka sedikit pun tidak menyebutnya sebagai kempen membaca. Tetapi sebenarnya itulah, mereka membuat kempen membaca yang cukup berkesan, tanpa perlu mengheboh-hebohkannya.

"Hasrat Tok Guru hendak melihat setiap rakyatnya menghidupkan Ramadan dalam erti yang sebenarnya. Dia hendak melihat rakyatnya sentiasa mengkaji ayat-ayat cinta daripada Tuhan Sekalian Alam, yang kadang-kadang kita alpa dan lalai.

"Biasanya ayat-ayat yang dipilih adalah berdasarkan suasana semasa, supaya rakyat terus kembali kepada Allah dalam apa jua keadaan." Demikian kawan saya di Kota Bharu itu menjelaskan.

-----
Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau SMS 0136362408

No comments

Powered by Blogger.