1Malaysia: Berarak Kepala Lembu Bantah Bina Kuil

2808200946428082009438



(foto: gerakan-anti-pkr)

Sejak PRU Ke-12, lembu Negeri Selangor tiba-tiba menjadi terkenal. Sebelum ini lembu Menteri Besar diangkat martabatnya oleh Mohamad Ezam sehingga menarik perhatian ramai pihak. SPRM sendiri turut tertarik dengan lembu tersebut. Hari ini sekali lagi lembu Selangor mendapat liputan meluas di media massa sehingga memaksa Perdana Menteri campur tangan.

Ini bukan sebarangan lembu, tetapi lembu istimewa. Bukan kerana dagingnya atau susunya, tetapi kerana kepalanya yang diarak ke bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor sebagai membantah pembinaan kuil Hindu di Seksyen 23 Shah Alam. Perarakan “gear box” ini dilakukan oleh sekumpulan penduduk dan beberapa NGO Melayu.

Kita tidak tahu apakah motifnya kepala lembu digunakan. Barangkali kerana lembu binatang yang suci bagi penganut agama Hindu.

Samy Vellu, Presiden MIC mengecam perarakan tersebut dan menganggapnya sebagai mencabar kebebasan beragama yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Kata Samy, tiada sesiapa pun yang harus dibenarkan mencabar atau mempersendakan sebarang agama di negara ini. Beliau turut melahirkan rasa bimbang tindakan tersebut mengundang tindak balas daripada masyarakat Hindu.

Bukan setakat Samy Vellu, kita pun berasa bimbang sekiranya masyarakat Hindu bertindak balas. Misalnya ada kumpulan Hindu tertentu yang nakal bertindak balas dengan berarak kepala babi bagi membantah pembinaan masjid, apa akan terjadi? Tentulah ia akan memarakkan api persengketaan antara kaum yang akhirnya akan merugikan semua pihak.

Oleh sebab itulah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pantas bertindak. Beliau mengarahkan pihak polis menyiasat perkara ini. Tindakan yang tegas juga harus diambil sekiranya benar perarakan kepala lembu itu bermotif mempersendakan agama Hindu. Perbuatan mempersendakan agama tidak boleh dimaafkan kerana rakyat negara kita terdiri daripada pelbagai penganut agama.

Walaupun agama Islam tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai agama rasmi negara, agama lain juga wajib dihormati. Bukan sahaja orang Islam yang berasa terhina apabila agama Islam dipersendakankan. Orang Hindu, Buddha, Kristian, Sikh dan lain-lain juga berasa terhina apabila agama mereka dipermainkan. Semua agama adalah suci dan mulia bagi penganutnya.

Kita cukup faham situasi yang dihadapi oleh penduduk beragama Islam di Seksyen 23 Shah Alam. Namun, kita juga faham perasaan masyarakat Hindu yang memerlukan tapak baru bagi kuil mereka. Dalam keadaan begini, persefahaman, tolak ansur dan saling menghormati amat diperlukan. Menghadapi konflik dengan emosi yang melampau bukan sahaja tidak mampu menyelesaikan masalah, bahkan mengusutkan lagi keadaan.

Pemimpin politik yang bijak lagi pintar wajib memainkan peranan agar rakyat pelbagai agama dapat hidup aman damai. Jangan pula menjadi batu api. Pemimpin jenis batu api ini semakin hari semakin ramai, terutama di Selangor. Perkara kecil dan remeh apabila jatuh ke tangan pemimpin batu api boleh menjadi besar dan penting. Sifat jijik ini tidak patut ada pada seorang pemimpin. Melaga-lagakan rakyat dengan memainkan isu sensitif bukan pemimpin namanya, tetapi pengkhianat keamanan.

Jangan marah kepada nyamuk, kelambu yang dibakar. Tembak pemimpin Pakatan Rakyat, masyarakat Hindu pula yang terkena peluru.

Sensitiviti agama jangan dipandang ringan kerana ia bakal membawa kemusnahan yang lebih dahsyat daripada tsunami. Lihatlah negara yang menghadapi krisis agama, biarpun puluhan tahun berlalu, keamanan tidak pernah berkunjung tiba
http://satumalaysia.wordpress.com/

No comments

Powered by Blogger.