Paling tidak ... Hormati Ramadhan

Oleh Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi

1. Islam tidak datang untuk mengharamkan hiburan , justeru itu tidaklah pula DPPP mengharamkan hiburan . Cuma Islam datang membawa risalah pemulihan dan penyempurnaan . Maka DPPP mengambil langkah yang telah ditetapkan oleh syara' dalam membentuk sikap terhadap hiburan .


2. Hiburan yang mendamaikan hati malah menyuburkannya tanpa sebarang elemen yang leka dan lagha sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang muslim dan mencetus suasana yang tidak islamik adalah hiburan yang dibenarkan .

3. Sementara hiburan yang diiringi dengan muzik yang hingar bingar , pula mengarah kepada pergaulan bebas lelaki dan perempuan dengan penampilan yang menjolok mata adalah hiburan yang jelas diharamkan oleh agama .

4. Hiburan yang mematikan jiwa dengan memuja nafsu dan mengeksploitasi suara manja penyanyi wanita , ditambah pula dengan pakaian dan lenggok tari yang menggiurkan juga merupakan hiburan yang diharamkan oleh agama .

5. Apabila Islam mengharamkan perkara ini , bukan bermakna Islam hanya tahu menghukum tetapi disebalik hukum tersebut tersimpan sejuta hikmah untuk membentuk jiwa dan peribadi yang hebat dan tidak hanyut dibuai fantasi

6. Berhibur pula ada batas . Contoh mudah dalam bulan Ramadhan . Ramadhan adalah bulan mulia . Bulan ibadah dan bulan taqwa . Tentu sahaja hiburan yang keterlaluan amat tidak sesuai. Sebagai contoh program hiburan Sehati Berdansa adalah sangat bercanggah dengan amalan murni Islam . Tambah pula diulang tayang dalam bulan Ramadhan .

7. Hiburan yang menampilkan tarian dan pakaian seperti itu sebenarnya di bulan apa pun tetap salah dari sisi agama . Cuma maksud saya , paling tidak hormatilah Ramadhan . Jangan rosakkan mood Ramadhan untuk ummatnya beribadah dengan hiburan sedemikian .

8. Puasa tak sampai seminggu , TV sudah riuh rendah dengan hiburan kononnya persiapan nak sambut Aidil Fitri . Penuh dan sarat dengan nyayian dan tarian yang diselang seli dengan tazkirah dan tilawah al Quran . Saya lihat seperti ianya sedang mempersenda agama Islam .

9. Manalah pergi pengarah JAKIM dan Pengerusi IKIM . Menteri yang jaga agama buat apa ? Justeru itu saya desak supaya kerajaan tidak membenarkan sebarang aktiviti hiburan melampau khasnya di bulan Ramadhan . Begitu juga sambutan 31 ogos kelak yang kebetulannya jatuh di bulan Ramadhan , jangan anjurkan konsert dan pesta hiburan . Hormatilah kemuliaan Ramadhan .

10. Ingatlah syurga neraka dan dosa pahala . Jangan hanya kerana mahu berhibur kita lalaikan hati dari mengingati Allah swt. Jika di bulan Ramadhan pula ummah dalam keadaan lalai dan alpa saya tidak nampak dibulan lain keadaan menjadi lebih baik .

No comments

Powered by Blogger.