Isu sebat Kartika: Antara ‘The Presented Problem’ dan ‘The Real Problem’

Oleh: Mohd Shazni Munir Ithnin*

Akhir-akhir ini terlalu banyak respon yang telah dilontarkan oleh segenap masyarakat tentang hukuman sebat yang dijatuhkan kepada Kartika Sari Dewi Shukarno oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan.

Ternyata ianya mengandungi nilai pro dan kontra yang tersendiri.

Antara yang terawal yang memberikan komentar & pandangan tentang hukuman ini ialah mantan Perdana Menteri Malaysia sendiri iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sisi yang disentuh ialah mempersoalkan relevensi hukuman ini & meminta penghujahan ilmiah daripada kalangan mereka yang pakar dalam persoalan hukum-hakam Islam terhadap hukuman ini.

Bahkan Perdana Menteri sekarang, Dato’ Sri Najib Tun Razak juga tidak ketinggalan dalam memberikan cadangan. Beliau meminta kepada Kartika supaya merayu kepada mahkamah yang lebih tinggi supaya meringankan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap dirinya.

Dan ulasan daripada Sisters In Islam (SIS) merupakan suatu ulasan yang ternyata telah mengundang kontroversi yang tidak kurang hebatnya.

Ramai juga kalangan bloggers yang cenderung untuk menyokong mahupun membentah ulasan yang telah diberikan oleh wakil SIS itu.

Tidak kurang juga di kalangan mereka yang sayangkan Islam, namun masih kabur pada penulis tentang kefahaman syariatnya, yang menjerit kegembiraan kerana merasakan undang-undang syariah sudah tertegak di bumi Malaysia ini.

Setelah bertahun-tahun menunggu untuk orang disebat sebab minum arak, akhirnya masa itu tiba.

Sungguhpun begitu, pada penulis masalah-masalah dan respon-respon yang berbangkit sebaik hukuman itu dijatuhkan hanyalah ‘the presented problem‘ atau masalah yang terhasil sebenarnya.

Di dasarnya ada satu masalah yang paling besar, yang tidak pernah selesai sejak negara ini merdeka sungguhpun di sana adanya satu institusi mahkamah yang digelar sebagai ‘mahkamah syariah’.

Dan masalah itulah yang penulis istilahkan sebagai ‘the real problem’ atau masalah yang sebenar-benarnya.

Ianya tidak lain & tidak bukan ialah kefahaman seluruh masyarakat tentang undang-undang syariah yang sebenarnya, sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W, para sahabat serta mereka yang mencontohi generasi ini serta pemahaman tentang hikmah keseluruhan undang-undang syariah tersebut, baik kepada kalangan muslim & non-muslim.

Inilah paksi kepada seluruh permasalahan yang ada. Dalam konteks ini, penulis tidak mahu terlalu melulu untuk menyalahkan SIS semata-mata atas komentarnya yang kontroversi kerana pada penulis, ianya adalah cetusan & kegusaran sebahagian masyarakat yang masih lagi ‘kelabu’ tentang undang-undang syariah ini.

Pada penulis, inilah jadinya jika rakyat tidak diterangkan secara jelas hikmah & keadilan yang terkandung dalam setiap undang-undang syariah yang sebenarnya.

Bahkan lebih teruk, rakyat dibodohkan dengan momokan dangkal dalam hal undang-undang had yang ternyata mempunyai keadilan dan hikmah yang universal sifatnya.

Jika tidak, masakan ada di kalangan saintis barat yang melahirkan kekaguman terhadap hikmah undang-undang ini tatkala membuat kajian saintifik terhadap perkaitan hukuman seperti sebat, kesalahan, dan kesan positif terhadap fisiologi tubuh badan manusia?

Dan jika ditinjau di zaman Rasulullah S.A.W pula, ada di kalangan rakyat yang non-muslim yang meminta dikenakan ke atasnya undang-undang syariah, walaupun dirinya tahu bahawa undang-undang tersebut tidak wajib ke atas dirinya.

Tidakkah kita ingin menggali bagaimana individu ini boleh meyakini undang-undang syariah dalam keadaan dirinya yang masih lagi belum memeluk agama Islam?

Penulis melihat bahawa rakyat perlu dicelikkan dahulu tentang apa itu undang-undang syariah yang sebenar dan hikmah penghukumannya.

Penulis tidak mahu rakyat diterangkan tentang kandungan undang-undang syariah ala Malaysia yang sebahagiannya tidak jelas, bahkan sangat jauh konsep & pelaksanaannya daripada roh undang-undang syariah yang sebenar.

Lebih menyedihkan, ada undang-undang Syariah ala Malaysia ini yang bercampur aduk dengan undang-undang Sivil ciptaan manusia.

Mungkin PAS, ABIM, JIM, HALUAN, Tabligh atau mana-mana gerakan Islam di Malaysia boleh mengambil peranan ini.

Ambillah resam ini, “Jangan terlalu melulu untuk memaksa dikenakan hukuman kepada orang tidak faham dalam keadaan kita belum lagi melunaskan tanggunggajawab untuk memahamkan orang yang sepatutnya faham.”

Penulis cukup yakin & percaya jika ‘the real problem‘ ini dapat diselesaikan secara konsisten dalam tempoh yang segera, maka tidak akan ada lagi mana-mana individu yang akan ragu-ragu terhadap keadilan & kesaksamaan undang-undang Syariah.

Namun pastikan bahawa ianya merupakan undang-undang Syariah yang sebenar, bukan undang-undang syariah a la Malaysia, yang kita amalkan sekarang.

————-

*Penulis ialah Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) merangkap pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM). Terlibat secara langsung dalam aktivisme mahasiswa dan bercita-cita menjadi seorang reformis mencorak Malaysia Baru.

No comments

Powered by Blogger.