Lagi Isu Bidang Kuasa Civil-Syariah

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini, semalam diberitahu pembubaran perkahwinan sivil membabitkan satu pihak yang sudah memeluk agama Islam tidak boleh dibawa ke Mahkamah Syariah.

Peguam, Malik Imtiaz Sarwar, berkata Mahkamah Syariah tiada bidang kuasa untuk mendengar permohonan membabitkan pihak tidak beragama Islam yang mendaftarkan perkahwinan secara sivil. Beliau mewakili seorang wanita, R Subashini, yang suaminya, Muhammad Shafi Abdullah, seorang mualaf, cuba mendapatkan perintah pembubaran perkahwinan mereka di Mahkamah Syariah.

Muhammad Shafi atau nama asal T Saravanan, memeluk Islam Mei tahun lalu bersama anak sulung yang ketika itu berusia 11 tahun. "Mahkamah Syariah hanya boleh mendengar kes membabitkan pihak beragama Islam. Ini termasuk perkahwinan yang didaftarkan secara Islam, bukan secara sivil mengikut Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 seperti dalam kes ini. "Berikutan itu, Mahkamah Tinggi Sivil mempunyai bidang kuasa untuk memberi injunksi interim (sementara) bagi menghalang bekas suami pemohon daripada mendapat perintah pembubaran perkahwinan itu, selain menghalangnya daripada mengislamkan anak kedua mereka.

"Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan tidak terpakai kerana kes ini jelas tidak termasuk dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah," hujahnya di hadapan Hakim Datuk Nik Hashim Nik Ab Rahman, Datuk Abdul Abdul Aziz Mohamad dan Datuk Azmel Maamor.

Artikel 121 (1A) adalah peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Mahkamah Sivil tiada bidang kuasa berhubung sebarang isu syariah. Malik Imtiaz berkata, Subashini juga mempunyai hak sebagai seorang ibu untuk menentukan agama yang dianuti anak-anaknya.

"Perlembagaan Persekutuan jelas tidak mendiskriminasi tugas seorang wanita sebagai ibu untuk menentukan agama anaknya. Sepatutnya responden (Muhammad Shafi) merujuk kepada anak guam saya terlebih dulu sebelum mengislamkan anak sulung mereka," katanya. Subashini merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan, Mac lalu, yang memutuskan beliau perlu ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan hak penjagaan anak walaupun bukan beragama Islam. Bagaimanapun, mahkamah berkenaan membenarkan injunksi interim (sementara) bagi Muhammad Shafi daripada menyelesaikan kes itu terlebih dulu di Mahkamah Syariah.

**sumber dari http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Nasional/20070919010552/Article/** 19/09/07

No comments

Powered by Blogger.