HUKUM WANITA KE MASJID

Sering kita dengar para ustaz menyatakan bahawa wanita tidak digalakkan ke masjid. Kita juga mendengar pertanyaan dari kalangan muslimat tentang logiknya larangan ini. Ini kerana bagi mereka, kenapa hanya larangan ke masjid yang dicanang, tetapi tidak larangan ke tempat-tempat yang lain?

Kalau kita melihat kepada hukum solat berjemaah kepada wanita di masjid, kita akan dapati para ulamak sepakat menyatakan bahawa solat jemaah tidaklah wajib kepada kaum wanita. Ini ada disebutkan oleh al-Hafiz Ibn Hazm dalam kitabnya al-Muhalla. Kita juga dapati sebahagian daripada mereka memakruhkan bagi wanita untuk ke masjid, terutamanya kepada para pemudi. Dan alasan yang biasa diberikan adalah kerana bimbangkan fitnah. Dan kita juga dapati bahawa mereka telah sepakat menyatakan bahawa tuntutan solat berjemaah kepada kaum wanita tidaklah sama seperti kepada kaum lelaki. Berkata Imam Nawawi dalam kitabnya al-Majmu’: “terdapat beberapa perbezaan antara lelaki dan perempuan dalam hukum solat berjemaah, antaranya ialah: tuntutannya tidaklah sama seperti tuntutan kepada kaum lelaki”.

Kebanyakan ulamak pula mengaggap bahawa solat di rumah adalah lebih baik bagi kaum wanita berbanding di masjid. Pendapat mereka ini bersesuaian dengan Sabda Nabi s.a.w.: “…dan rumah kediaman mereka adalah lebih baik bagi mereka”. Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud.

Walau bagaimana pun, kita juga dapati bahawa para ulamak sepakat tidak mengharamkan mereka ke masjid. Berkata al-Imam Ibnul Jauzi: “Harus bagi seorang perempuan untuk keluar ke masjid untuk solat berjemaah bersama kaum lelaki”[1]. Bahkan ada di kalangan mereka yang menganggap bahawa elok juga bagi kaum wanita untuk datang solat berjemaah di masjid. Berkata al-Hafiz Ibn Hazm dalam kitabnya al-Muhalla: “Jika hadir seorang wanita ke masjid untuk bersolat berjemaah bersama kaum lelaki, maka itu adalah satu perkara yang baik” . Dan ini adalah pendirian mazhab Zohiri. Bagi mereka hadis yang menyatakan kelebihan solat berjemaah mengatasi solat bersendirian dengan 27 darjat tidak boleh dikhususkan untuk kaum lelaki sahaja[2].

Sebenarnya tidak ada nas yang jelas melarang wanita ke masjid, bahkan nas yang ada hanyalah meyatakan bahawa solat di rumah adalah lebih baik. Nas ini adalah penutup kepada hadis yang menyatakan bahawa mereka perlu diberikan keizinan untuk ke masjid. Sabda Nabi s.a.w.: "Jangan kamu menegah kaum wanita ke masjid-masjid, dan (solat mereka di) rumah-rumah mereka adalah lebih baik[3]". Bahkan mereka juga perlu diberikan keizinan untuk pergi solat berjemaah di masjid, walaupun pada malam hari. Sabda Rasulullah s.a.w. seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Umar: "Berilah keizinan kepada wanita-wanita kamu untuk ke masjid pada malam hari[4]".

Kaum wanita di zaman Rasulullah s.a.w. juga menghadiri solat berjemaah di masjid, dan Rasulullah s.a.w. tidaklah menghalang mereka. Bahkan dalam hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim, Aisyah menyatakan bahawa kaum muslimat datang berjemaah solat subuh bersama Rasulullah s.a.w., dan mereka tidaklah dapat dicam kerana hari masih gelap (sekalipun sudah ada cahaya pagi). Isteri-isteri Rasulullah s.a.w. pula, bukan sahaja datang ke masjid, bahkan mereka juga beriktikaf di masjid di bulan Ramadhan. Semua nas ini dengan jelas menunjukkan bahawa wanita harus untuk ke masjid dan kita tidak sepatutnya menghalang mereka.

Kalaulah kaum wanita dihalang ke masjid atas alasan fitnah, maka kenapa pula tidak dihalang anak-anak perempuan ke sekolah atas alasan yang sama? Tidakkah fitnah pergaulan bebas di sekolah lebih terdedah daripada di masjid? Tidakkah gangguan yang bakal dihadapi semasa mereka ke kolej atau universiti serta semasa mereka di sana lebih besar daripada ke masjid? Kenapakah mereka dihalang ke masjid yang lazimnya berdekatan dengan rumah mereka, tetapi tidak dihalang ke kolej atau universiti yang jaraknya lebih jauh? Kenapakah anak-anak perempuan atau isteri-isteri dibenarkan ke tempat kerja, kompleks beli-belah, ke pasar-pasar bahkan ke semua tempat yang mudah terdedah dengan fitnah tetapi tidak ke tempat yang paling mulia, iaitu rumah-rumah Allah? Kenapakah wanita Islam dihalang ke masjid-masjid, sedangkan wanita-wanita Kristian, Yahudi dan sebagainya tidak dihalang ke gereja atau kuil? Adakah wanita yang beribadat di masjid itu lebih buruk dan lebih besar fitnahnya berbanding dengan yang menonton tv di rumah?

Bagi saya, kalaulah kita ingin berbincang mengenai hukum wanita ke masjid , kita jangan hanya melihat kepada hukum solat berjemaah yang ditulis dalam kitab-kitab Fiqh. Ini kerana hukum tersebut hanya untuk hukum datang berjemaah ke masjid. Padahal kita juga perlu melihat bahawa masjidlah tempat penyebaran ilmu dan kefahaman mengenai Islam. Kerana inilah Dr Yusof al-Qardhawi berkata: "Solat seorang perempuan di rumahnya itu lebih baik jika dia ke masjid hanya untuk berjemaah, tanpa sebarang faedah lain, tetapi jika ada faedah yang lain seperti mendengar tazkirah keagamaan, mempelajari sesuatu ilmu atau mendengar bacaan al-Qur'an daripada qari yang khusyuk, maka pergi ke masjid itu adalah lebih baik". Ini kerana kewajiban belajar agama dan mendengar tazkirah bukan tertentu untuk golongan lelaki sahaja.

Bahkan terdapat hadis yang khusus yang menyatakan kelebihan belajar di masjid. Sabda Nabi s.a.w.: “Sesiapa yang datang ke masjid dan tidak ada tujuan baginya melainkan mempelajari kebaikan atau mengajarnya, maka baginya pahala haji yang sempurna”[5].

Tambahan lagi, ramai di kalangan kita yang tidak mengajarkan anak isteri mereka mengenai Islam, samada kerana tidak mampu atau tidak mempunyai masa. Dan kalaulah kita sudah pun mengajarkan mereka agama sekalipun, adakah kita mampu memberikan tazkirah untuk mengetuk pintu hati mereka supaya mereka nampak keagungan Allah SWT dan ingin mendekatkan diri kepadaNya serta menyucikan hati nurani mereka?

Kalaulah dunia sekarang sedang memberikan kepada para wanita segala hak mereka samada dari sudut ekonomi, politik, sosial dan sebagainya, kenapakah hak mereka untuk berada di rumah Allah dan mendekatkan diri mereka kepada Yang Maha Pencipta dihalang? Tidakkah hak ini lebih utama?

Walau bagaimana pun, wanita perlu meminta keizinan suami atau wali untuk ke masjid. Dan tidak patut bagi seorang ayah atau seorang suami untuk menghalang kecuali ada sebab yang munasabah. Dan mereka juga hendaklah menjaga adab-adab berikut:-

* Keluar dalam keadaan menutup aurat dan berpakaian sopan
* Tidak bersolek dan memakai bau-bauan
* Lebih elok dalam keadaan ditemani dengan mahram, suami, atau kawan-kawan.

Sebagai mengakhiri artikel ini, saya akan naqalkan kata-kata Dr Yusof al-Qardhawi dalam perkara ini. Beliau berkata: "Sebahagian daripada kaum lelaki sekarang ini telah pun keterlaluan dalam masalah wanita, dan mereka langsung tidak menyokong fikrah harusnya wanita ke masjid, walau dalam keadaan apa sekalipun. Walaupun ada dinding yang kukuh yang membataskan antara lelaki dan perempuan di masjid, yang mana dinding seperti ini tidak pun ada pada zaman Rasulullah s.a.w.. Katanya lagi: "Ini semua adalah disebabkan oleh kerana keterlaluan dan kurangnya kesedaran".

Saya juga di sini ingin menyeru (terutamanya kepada para ustaz), sebagaimana seruan Syeikh Dr Yusuf Qardhawi: "Sesungguhnya saya tanpa segan menyeru supaya bukakanlah kepada para perempuan untuk ke rumah-rumah Allah, supaya mereka juga dapat mencari kebaikan, mendengar peringatan dan mempelajari agama. Keluar mereka ini sedikit sebanyak boleh memberikan kegembiraan kepada mereka (dalam perkara yang bukan maksiat), selagi mana mereka keluar dalam keadaan bersopan, menutup aurat dan tanpa solekan yang diharamkan.
[1] Lihat: Ahkamun Nisa’, m/s 36, cetakan pertama, Matbaah al-Halabi, Mesir, 1994.
[2] Lihat al-Mufassal Fi Ahkamil Mar'ah, jilid 1, m/s 212.
[3] Hadis sohih riwayat Abu Daud, Kitabus Solah,
[4] Hadis riwayat Bukhari dan Muslim. Liaht: Ahkamun Nisa’, m/s 39.
[5] Hadis riwayat Tobarani dan al-Albani mengangapnya sohih. Lihat Sohih Targhib wat Tarhib, m/s 38.

No comments

Powered by Blogger.