MCA TIDAK BELAJAR DARI UMNO

Nampaknya MCA tidak belajar dari UMNO yang memecat Anwar Ibrahim dari jawatan Timbalan Presidennya pada tahun 1998. Orang Melayu berpecah dua berikutan pemecatan itu dan akhirnya UMNO kehilangan Terengganu pada pilihanraya umum 1999.


Apabila Anwar dibebaskan dari penjara UMNO semakin parah dan kehilangan majoriti dua pertiga pada pilihanraya umum 2008 dan BN hilang Kedah, Perak dan Selangor. Apa yang dilakukan oleh MCA akan menguatkan DAP kerana MCA tidak menghormati perwakilan yang memilih Dr. Chua Sio Lek sebagai timbalan presidennnya.


Kalau di atas alasan moral, kenapa MCA tidak menghalang Dr. Chua bertanding jawatan timbal;an presiden lebih awal. Dengan isu Ong Tee Keat menerima wang RM!0 juta, imej MCA makin teruk dan menyebabkan MCA akan terus kekal menjadi liabiliti kepada BN pada pilihanraya raya umum 2012. Bagaimana orang China mahu menyokong semula BN jika MCA gagal menyelesaikan isu pemecatan Soi Lek dan tambahan pula bekas pemimpinnya, Chua Jui meng menyertai PKR baru-baru ini.


Alasan yang digunakan oleh pucuk pimpinan parti untuk memecat Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek disifatkan sebagai tidak menyakinkan.


Veteran MCA, Tan Sri Michael Chen Wing Sum berkata, skandal seks Soi Lek telah berlalu hampir dua tahun malah MCA ketika dipimpin oleh bekas Presidennya, Tan Sri Ong Ka Ting tidak pernah bertindak menjatuhkan hukuman yang begitu berat ke atas Soi Lek sewaktu kes itu terbongkar.


"Saya berpendapat keputusan pucuk pimpinan parti untuk memecat Soi Lek adalah tidak sesuai, mereka tidak perlu mengambil tindakan sehingga tahap ini kerana masih ada ruang kemaafan untuk Soi Lek.


"Malah, Soi Lek telah dipilih sebagai timbalan presiden oleh para perwakilan pada pemilihan parti Oktober lalu, ini menunjukkan beliau masih mendapat sokongan dan kepercayaan daripada ahli-ahli parti," katanya semalam.


Malam tadi, Majlis Presiden MCA menerima cadangan Jawatankuasa Disiplin Parti untuk memecat keahlian Soi Lek berkuat kuasa serta merta.


Presidennya, Datuk Seri Ong Tee Keat memberitahu, keputusan sukar itu terpaksa dibuat kerana cakera padat digital (DVD) skandal seks Soi Lek yang tersebar sebelum ini telah merosakkan imej parti.


Menurut beliau, berdasarkan Artikel 127 (A) perlembagaan parti, Soi Lek boleh merayu dalam masa 14 hari, bagaimanapun di bawah Artikel 128, sebarang keputusan oleh jawatankuasa pusat atas kesalahan disiplin adalah muktamad.


Berikutan skandal berkenaan, Soi Lek pada 2 Januari tahun lalu melepaskan semua jawatan parti dan kerajaan.


Bekas Menteri Kesihatan itu bagaimanapun membuat kejutan apabila memenangi jawatan timbalan presiden pada pemilihan parti Oktober lalu dengan memperoleh 1,115 undi untuk mengatasi tiga calon lain iaitu Datuk Seri Ong Ka Chuan (1,001 undi), Datuk Donald Lim Siang Chai (209 undi) dan Lee Hack Teik (10 undi).


Wing Sum yang juga bekas Timbalan Presiden MCA berkata, beliau berharap Soi Lek akan mengemukakan rayuan ke atas hukuman yang dikenakan terhadapnya selain berharap jawatankuasa pusat parti akan mempertimbangkan rayuan itu secara mendalam.


"Perkara-perkara yang akan memberikan kesan negatif kepada kedudukan MCA tidak boleh dibiarkan berlaku lagi kerana parti ini telah kehilangan sokongan daripada masyarakat Cina pada pilihan raya umum lalu


"Pucuk pimpinan parti harus mengurangkan konflik dalaman sebaliknya perlu berusaha mengembalikan sokongan pengundi kepada MCA dan tidak menghampakan ahli-ahli akar umbi yang memberi kepercayaan kepada mereka selama ini," katanya.


Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Fong Chan Onn pula berkata, beliau berharap pucuk pimpinan MCA boleh mempertimbangkan semula tindakan disiplin yang dikenakan ke atas Soi Lek malam tadi.


"Mereka harus menghormati keputusan para perwakilan yang telah memilih Soi Lek sebagai timbalan presiden pada pemilihan parti tahun lalu, beliau harus diberi peluang untuk bekerjasama dengan Tee Keat dalam tempoh yang sepatutnya.


"Para perwakilan bukan membuat pilihan mereka dengan sesuka hati sebaliknya mereka memahami dan mengetahui dengan jelas latar belakang seseorang calon serta sumbangannya kepada parti," ujar beliau.


Seorang lagi bekas Naib Presiden MCA, Datuk Donald Lim Siang Chai berkata, beliau berasa terkejut dengan keputusan pucuk pimpinan parti untuk memecat Soi Lek berhubung skandal seks malam tadi.


"Beliau dipilih sebagai timbalan presiden oleh ribuan perwakilan pada pemilihan parti tahun lalu, jawatankuasa pusat seharusnya memahami kehendak ahli-ahli di peringkat akar umbi," jelas beliau.


Katanya, Soi Lek boleh membuat rayuan berhubung pemecatannya sekiranya beliau diberi peluang untuk berbuat demikian oleh pucuk pimpinan parti.

http://memobelakang.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.