Laksanakan Bai’ah, Bawa Mesej PAS Bersama Pakatan Rakyat Ke dalam Dewan Undangan Negeri

- Pesan Presiden PAS Kepada YB Ustaz Salleh Man
MARANG - Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersyukur kepada Allah SWT kerana PAS telah mendapat kemenangan yang besar dalam pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir.

http://www.buletinonline.net/images/stories/PRKPermatangPasir/TokGuruKempenPPasir.jpgBeliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua petugas-petugas pilihan raya dalam kawasan, negeri Pulau Pinang dan seluruh Negara

”Kita mestilah bersyukur kepada Allah SWT kerana kita (PAS) telah mendapat kemenangan yang besar dalam pilihan raya ini,

”saya bagi pihak PAS merakamkan ucapan terima kasih kepada semua petugas-petugas pilihan raya dalam kawasan, negeri Pulau Pinang dan seluruh Negara,
”dan juga kepada petugas Pakatan Rakyat daripada Parti KeADILan Rakyat (PKR) dan DAP. Dan semua Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) yang turut serta membantu kita (PAS),”katanya ketika ditemui di kediamannya di Rusila, Marang, semalam.

(Gambar - Presiden PAS turun ke pasar, berkempen bersama calon PAS, Ustaz Salleh Man, sewaktu Pilihanraya Kecil Permatang Pasir)

Beliau juga mengucapkan tahniah yang setinggi-tingginya kepada calon PAS dan rakyat di Permatang Pasir yang terus memilih PAS dan Pakatan Rakyat untuk mewakili kawasan Permatang Pasir.

Katanya, beliau yakin dan percaya, Ustaz Salleh Man dapat menyambung tugas Allahyarham Dato’ Haji Mohd Hamdan dan dapat melangsungkan tugas-tugas seterusnya.

”Insya’Allah beliau (Ustaz salleh) akan dapat melaksanakan bai’ah (pengakuan) yang diucapkan, dalam masa sama akan membawa mesej kita (PAS) bersama Pakatan Rakyat di dalam Dewan Undangan Negeri (Dun),”tegasnya.

Menurutnya, kemenangan PAS dalam pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir akan memberi suntikan serta semangat baru kepada PAS dan Pakatan Rakyat untuk menghadapi pilihan raya umum ke 13 akan datang.

Sehubungan itu, beliau berkata, kekalahan kali ke-7 Barisan Nasional (BN) dalam siri pilihanraya kecil yang lalu, menunjukkan rata-rata rakyat di kawasan Bandar dan pinggir Bandar menolak Umno dan Barisan Nasional (BN)

”Ini menunjukkan bahawa rakyat yang mendapat maklumat, yang mendapat ilmu politik yang betul melalui penjelasan yang tepat dari semua pihak,

”mereka (rakyat) mendapat penjelasan yang tepat dari Pakatan Rakyat termasuklah hujah-hujah Umno-BN mempertahankan diri, Ini (ia) dapat dinilai oleh rakyat yang berada di Bandar dan pinggir Bandar dengan betul,”ujarnya.

Mengulas tindakan dan kaedah kempen yang telah dilaksanakan dalam pilihanraya kecil Permatang Pasir, beliau berkata, pilihan raya adalah suatu amanah yang besar untuk memilih pemimpin.

Beliau membidas tohmahan pemimpin Umno dan Barisan Nasional yang mengatakan orang-orang Islam tidak boleh menyebut keaiban seseorang walaupun dalam proses memilih seseorang pemimpin.

”Saya ingin menarik perhatian dalam pilihan raya kecil di Permatang Pasir sebagai contoh. Umno dan Barisan Nasional mengatakan kita (Islam) tidak boleh menyebut keaiban seseorang sedangkan pilihan raya adalah suatu amanah yang besar untuk memilih pemimpin,

”dalam amanah memilih pemimpin kita (Islam) wajib mendedah peribadi orang yang hendak dipilih itu, (agar ia adalah) seseorang yang benar-benar adil, tidak fasik dan tidak melakukan perkara-perkara yang boleh menjatuhkan maruah,

”Itu satu tanggungjawab agama yang tidak termasuk dalam perkara yang membatalkan pahala puasa,”hujjahnya.

Perkara tersebut jelas diperkatakan oleh ulama’-ulama’ dalam kitab mereka, bahkan, katanya, dalam perkara saksi di mahkamah dan saksi dalam perkahwinan, perlu didedahkan peribadi seseorang.

”Inikan pula untuk memilih wakil rakyat dalam satu kawasan yang mewakili rakyat untuk membuat dasar dalam Dewan Undangan Negeri (Dun). Maka, ia perlu ditelitikan dalam perkara maruah dan peribadi pemimpin ini,”tambahnya.

No comments

Powered by Blogger.