Pas Sudah Tunai Janji, Umno Bila Pula?

KERAJAAN pAS Kelantan telah menunaikan janjinya untuk menyediakan sebuah rumah baru yang serdahana kepada pelajar cemerlang Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal, 18. Penyerahan kunci rumah baru untuk keluarga Nik Madihah itu telah pun disempurnakan oleh Exco Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah, Mohd Amar Abdullah baru-baru ini.

Menurut catatan dalam blog pemudapc.blogspot.com rumah berkenaan dibina dibawah projek sosial Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) menerusi sebuah anak syarikatnya dengan kerjasama beberapa pihak lain.

Tengok kepada gambar rumah itu comel lote dan jauh lebih baik daripada rumah didiami Nik Madihah sebelum ini. Harapnya dengan rumah baru ini Nik Madihah dan keluarganya lebih berazam untuk membaiki kehidupan.

Dengan keadaan yang lebih selesa dan harmoni sudah tentu Nik Madihah dan keluarganya boleh merangka kehidupan jauh lebih baik. Apa yang pentingnya kurniaan hadiah ini perlu diinsafi dan disyukuri oleh keluarga berkenaan. Bukan semua orang miskin di dunia ini walaupun mendapat pendedahan tetapi bernasib baik seperi Madihah dan keluarganya. Jangan pula hendaknya dengan anugerah melimpah ini wujud rasa riak menyebabkan lalai untuk melapazkan syukur kepada Allah.

Lumrah, manusia mudah dan rajin bersyukur dan berzikir mengingati Allah ketika dalam kesusahan dan kesempitan tetapi bila sudah keluar dari tirani kehidupan akan melupai segala-galanya.

Bila bercakap mengenai rumah untuk Nik Madihah ini maka teringatlah kita kepada janji satu pihak lagi. Ketika cerita kesusahan hidup pelajar ini kerana terpaksa mendiami rumah sewa yang buruk di tepi pantai, Umno Pengkalan Chepa bukan main lagi beriya-iya untuk membantu Nik Madihah dan keluraganya.

Kalau tak silap Umno Pengkalan Chepa juga bercadang untuk membina sebuah rumah untuk keluarga Nik Madihah ini. Kita nak tanya apakah rumah itu sudah siap atau belum? Ataupun sekadar berjanji saja. Umno Pengkalan Chepa khasnya dan Umno Kelantan amnya patut malu kepada kerajaan Pas Kelantan yang telah menunaikan janjinya.

Apakah orang-orang Umno Kelantan sedang mencari tapak untuk dibangunkan rumah Madihah? Atau sebahagiannya sedang menebang pokok untuk dijadikan tiang, mencari daun sagu untuk dijahit dijadikan atap? Ataupun Umno Pengkalan Chepa sudah melupai segala janji?

Apa yang berlaku ini kita boleh lihat dan nilai sendiri di antara janji kerajaan Kelantan (Pas) dengan janji Umno mana satu yang lebih tepat. [wm.kl. 6:45 am 27/08/09]
mso

No comments

Powered by Blogger.