Politik Semasa: Macam-Macam Ada

Oleh A.Kadir Jasin

PADA mula saya tidak bercadang menulis mengenai politik buat beberapa waktu. Tetapi beberapa perkembangan terbaru dalam arena politik negara perlu dikupas dan difahami segera.

Saya sengaja tidak menulis rencana khas mengenai pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pasir 25 Ogos lalu atas sebab kerana prinsip, iaitu Barisan Nasional pulaukan PRK Penanti yang ditandingi Parti Keadilan Rakyat tetapi bertanding di Permatang Pasir menentang Pas.


BN tidak bertanding di Penanti atas alasan tidak mahu masuk perangkap PKR bila Adunnya bagi kerusi itu “dipaksa” meletakkan jawatan. Di Permatang Pasir kerusi kosong kerana Adun Pas meninggal dunia.

Keputusannya Pas menang. Permatang Pasir adalah kubu tunggal Pas di Pulau Pinang dan Adun Permatang Pasir adalah wakil tunggal Pas dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Barisan Nasional yang diwakili oleh Umno sebenarnya boleh memberi cabaran kuat kepada Pas. Semangat orang Umno bertambah pulih selepas PRK Manek Urai di Kelantan apabila calon Umno hampir-hampir mengalahkan calon Pas.

Tetapi Umno seolah-olah memilih untuk menembak kaki sendiri – dipadankan daripada ungkapan Inggeris shooting one’s own feet – apabila memilih calon yang tidak bercakap benar. Saya tidak mahu kata dia cakap bohong.

Kalau BN, khasnya Umno, tidak mahu mengulangi kejadian yang mengaibkan ini, kaedah dan mekanisme penapisannya calon wajiblah lebih berkesan. Jangan sekadar cakap sahaja.

Itu pun 5,067 pengundi masih memangkah BN dan peratusan undi yang memihak kepada BN naik sedikit daripada 33.61 dalam pilihan raya umum lalu kepada 34.51peratus pada 25 Ogos. Maksudnya ada ramai pengundi yang mahu menyokong BN kalau mereka yakin BN, khasnya Umno, telah benar-benar berubah.

Kemudian kes penarikan diri Adun PKR Lunas di Kedah, Mohd Radzhi Salleh, daripada parti itu atas alasan hilang keyakinan kepada kepemimpinan.

Dia dilucutkan jawatan Exco oleh Menteri Besar Pas, Azizan Abdul Razak dan oleh sebab PKR tidak lagi ada Adun Melayu maka kerusi Exco Radzhi diberikan kepada Adun PKR Kulim, Lim Soon Nee. Kesemua empat Adun PKR yang masih tinggal di negara majoriti Melayu ini adalah Cina dan India.

Yang terbaru adalah penyingkiran Dr Chua Soi Lek, Timbalan Presiden MCA daripada parti itu atas alasan DVD skandal seksnya mengotorkan imej parti.

Yang peliknya Dr Chua, bekas Menteri Kesihatan itu, baru saja menang pertandingan jawatan Timbalan Presiden dan cerita DVD seks beliau bukan cerita baru. Hakikatnya Dr Chua adalah duri dalam daging kepada Presiden MCA, Ong Tee Keat.

Terpintas di fikiran saya, adakah Dr Chua akan mengikut jejak musuhnya, Chua Jui Ming menyertai PKR dan memesatkan proses “memBNkan” PKR?

Di masa yang sama teringat saya kepada krisis MCA tahun 1985-1986 yang memaksa Tun Abdul Ghafar Baba (Allahyarham) dilantik menjadi ketua sementara parti itu.

Sementara itu, tuduh-menuduh, saman-menyaman dan adu-mengadu antara Ong dan Tiong King Sing, pengerusi Kelab Penyokong BN di Parlimen, terus rancak dan memalukan.

Dalam pada itu, dakwaan penyelewengan berbilion ringgit projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) belum menampakkan sebarang kesudahan walaupun banyak laporan telah dibuat kepada polis dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (MACC).

Di Selangor juga, Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Hassan Ali mungkin akan terkena satu lagi tamparan jika cadangannya menggunakan pegawai masjid bagi menangkap orang Islam yang meminum atau menjual arak di bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 tidak mendapat perkenan Istana.

Saya rasa lebih elok jika kuasa itu diamanahkan kepada agensi-agensi penguatkuasaan yang sedia ada seperti Jabatan Agama Islam, polis dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Kalau hendak bawa juga pegawai masjid bawalah mereka sebagai saksi dan pendakwah untuk menasihati Muslim dan Muslimat yang minum atau jual arak itu agar bertaubat.

Inilah Malaysia, ibarat kata sebuah iklan Astro, macam-macam ada.

http://kadirjasin.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.