Surat Najib Razak: Kartika ada hak bertaubat (2)

5 Ramadhan

Malam ini di TV2, sebuah drama bersiri Eli Stone ada sebuah dialog yang terlontar, "Saya nak hukuman itu dilaksanakan cara Bible. Mata dengan mata, lidah dengan lidah, jantung dengan jantung."

Demikian kata seorang peguam mengemukakan yang telah mengemukakan saman ke atas seorang doktor yang telah melakukan kesilapan dalam pembedahannya.

Salam Tuan Perdana Menteri ...


Presiden Pas baru-baru ini mengeluarkan kenyataan bahawa hukuman sebat itu jangan dilakukan secara tergopoh-gapah.

Saya tidak tahu sejauh mana pandangan itu boleh didebatkan. Semoga orang yang melaporkan pandangan itu boleh tersilap dalam membuat laporan.

Perenggan awal laporan itu dipetik berkata, Presiden Pas minta pihak berkuasa tidak gopoh dalam pelaksanaan hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi Shukarno sehingga memberi gambaran salah terhadap syariat Islam.

Rasanya, kalau perundangan hudud yang sebenar dilaksanakan sekali pun, Barat tetap mengecamnya. Adakah ketika dikecam itu, sekali lagi kita lihat Barat mendapat gambaran yang salah mengenai Islam, padahal hudud telah pun dilaksanakan dengan cara yang sebenarnya?

Sebab itulah kita menuntut jawapan telus, atau mungkin kita anggap laporan itu ada sedikit masalah agaknya. Mudah-mudahan begitulah hendaknya.

Ketika Dr Mahathir membuat hukuman gantung mati ke atas pengedar dadah, negara kita turut dikecam hebat oleh masyarakat antarabangsa.

Hukuman mencabut nyawa pengedar dadah itu bukan hukum syariah Islam dan masyarakat antarabangsa akan tetap mengecam apa jua jenis hukuman yang kita mahu laksanakan, tak kiralah samada hukuman itu berlandaskan syariah atau pun tidak.

Walaupun hukum bunuh ke atas pengedar dadah itu bukan daripada hukum syariah, tapi Dr Mahathir tetap teruskan jua. Lama-kelamaan, Barat diamlah.

Pada masa depan, kita tak tahu adakah pemimpin Islam sanggup bersikap begitu dalam mempertahan hudud yang sebenar walaupun dikecam Barat.

Jangan marahkan kita. Kita cuma bangkitkan persoalan yang kerap berlegar dalam akal kita termasuk persoalan yang mendap, terperap, terperam lama dalam fikiran kawan-kawan kita.

Syaratnya untuk hukuman itu juga menurut laporan - arak mesti diharamkan jualannya terlebih dulu ke atas semua orang Islam dan pendidikan bahawa arak itu haram di sisi Islam mestilah difahami masyarakat dan kerajaan?

Kenyataan itu adalah seperti di bawah ini ...

"Apa yang seharusnya berlaku ialah arak haruslah di haramkan penjualannya secara menyeluruh terlebih dahulu kepada semua orang Islam.

"Masyarakat dan kerajaan juga perlu dididik supaya faham bahawa arak adalah haram di sisi agama Islam," kata beliau dalam kenyataannya.

Tidaklah diketahui adakah ini sidang media, atau panggilan telefon atau apa bentuk komunikasi yang terjalin antara pelapor berita dan sumbernya.

Kalau ada apa-apa hal yang berlaku selepas ini, kita harap semoga pelapor itulah yang tersalah tulis, silap faham atau salah dengar.





Tuan Perdana Menteri,

Kita lepaskan persoalan di atas agar rakyat bawahan berpolemik tentangnya. Kalau bicara lanjut lagi, nescaya kita akan dengar orang berkata mengenai Hudud Pas. Kalau dilayan lagi, orang akan bertanya, "Habis, hudud Umno?"

Dan masalah ini berlaku ekoran tiadanya pemimpin jujur kini termasuk tuan sendiri. Jika pimpinan jujur, nescaya masalah ini selesai, insya Allah Ta'ala.

Hak bertaubat?

Jadi, maksud sebenar warkah ini ialah sekadar mahu membangkitkan suatu fikiran baru berhubung hak bertaubat.

Agak ganjil jika berbincang mengenai hal ini. Barangkali, tidak pernah kita dengar hak semacam ini. Tapi, dalam beberapa kejadian, kerap kita dengar mengenai kebebasan memilih bentuk hukuman.

Oleh kerana, Kartika itu seorang model sambilan, maka marilah kita bincang mengenai contoh hukuman ke atas beliau itu. Dia diberikan pilihan agar dia dihukum. Dan dia memilih dengan kerelaan hatinya untuk dihukum dengan cara yang dia sukai. Itu hak Kartika.

Maka, apakah hak tuan, Shahrizat Jalil dan lain-lain pimpinan kerajaan tuan untuk menafikan hak Kartika itu walaupun hukuman itu bukan hukum Islam.

Tuan dah buat silap banyak kali. Sudahlah negara ini tidak memakai undang Islam. Dr M pernah tuduh hudud yang Pas mahu laksanakan itu, hudud Pas.

Jadi, mungkin hudud Umno itu lebih Islam agaknya. Jadi kenapa tidak mahu disegerakan hukuman itu ke atasnya yang bersedia dihukum dengan hudud Umno yang ternyata lebih Islam itu?

Tak percaya dengan undang-undang sendirikah? Penangguhan dan tundaan bukanlah dengan sebab bulan ini bulan Ramadhan.

Rasulullah s.a.w menangguhkan hukuman itu atas sebab wanita itu sedang mengandung, kemudian ditunda sehingga dapat menyusu bayinya. Akhirnya barulah dihukum setelah wanita itu beriya-iya mahu dirinya dihukum.

Bukan sebab Ramadhan, Syawal, Rejab dan Syaaban. Umar pernah tunda hukum hudud ke atas pencuri memandangkan pada bulan itu ada kemarau yang sangat teruk. Kita hanya menunda peperangan pada bulan tertentu.

Agak-agaknya, kita dah terperangkap dalam kerangka pemikiran batil yang terlalu mengagung-agungkan bulan tertentu. Datangnya bulan ini, maka kita pun akan berpesta Pulau Pinang dan sebagainya.

Kemudian, tiba-tiba timbul pemikiran bahawa kita perlu tunda kerana ingin menghormati Ramadhan.

Saidina Ali k.w pernah ditanya, "Hari dan bulan apakah yang terbaik?"

Ali berkata, "Hari dan bulan di mana anda bertaubat dan beramal soleh di dalamnya."

Saidina Ali k.w tidak menamakan bulan terbaik itu sebagai bulan Ramadhan, Rejab, Syaaban dan lain-lain. Malah, beliau kebaikan bulan itu disandarkan kepada amalan kita sendiri, seperti mahu bertaubat dan beramal soleh.

Kembali kepada masalah serta persoalan hak bertaubat. Mari kita bekalkan satu contoh. Oleh kerana Kartika seorang model sambilan, marilah kita beri contoh yang terkait dengan model juga.

Jika kita mengusik seseorang model, katakanlah mangsa itu seorang model luar negara; dari Mongolia atau Indonesia seperti Manohara, maka apabila disabitkan kesalahan, kita seolah-olah diberikan pilihan ...

Mungkin dikenakan denda RM5,000, 3 bulan penjara atau kedua-dua sekali. Dan, hal ini diputuskan oleh hakim mahkamah.

Dan, atas kesedaran dan keinsafan itu, kita bersedia dihukum. Kita pun ada hak mengemukakan rayuan untuk meringankan bebanan hukuman.

Kalau kita menolak atas rasa, berbaloi kita dihukum begitu, maka itu hak kita untuk memilih hukuman sebegitu.

Hormatlah hudud Umno sendiri

Oleh kerana ada orang kata hukuman ke atas Kartika itu bukan hukuman Islam, ah! susah-susah sangat mailah kita kata bahawa hukuman itu adalah hudud Umno. Lagi pun, orang Pas pernah bincang hal hudud, lalu ditohmah bahawa hudud itu adalah hudud Pas. Tak apalah. Nak buat macam mana?

Sekarang, Kartika mahu dihukum dengan hudud Umno atau itulah hukuman yang jauh lebih Islamik kununnya. Dan, hukuman itu boleh ditunda-tunda di atas hujah yang tidak munasabah.

Sedangkan tadinya kita telah bekalkan hujah berhubung hal penundaan hukum oleh Rasulullah s.a.w, hal Umar mengguhkan hukum hudud kerana bulan itu kemarau panjang dan konsep bulan baik yang disandarkan kepada amal soleh dan taubat seseorang.

Takkanlah nak hormat undang-undang hudud Umno sendiri pun tak boleh?

Lagi pun, sebagai yang disebutkan semalam, Ramadhan memanglah bulan ujian, 'hukuman' (seolah-olah 'hukuman' agar tidak makan dan minum.

Dan selepas Raya Aidil Fitri ini, barulah kita semua bergembira, bebas daripada hukuman tersebut. Jangan dirosakkan 'mood' raya Kartika bersama keluarganya dengan hukuman sebat itu lagi. Laksanakan sekarang.

Dia sudah sedia menjadikan dirinya sebagai insan yang menjadi pengajaran kepada orang lain. Pergilah ke Acheh dan lihatlah bagaimana hukum hudud itu dilaksanakan secara terang-terangan.

Bawalah segerombolan MP-MP Parlimen tuan ke Acheh dan janganlah dibawa lari mereka ke Taiwan tempoh hari kerana khuatir mereka akan lompat parti nanti. Saya mungkin salah cakap, kalau salah sila betulkan.

Saya menulis begini kerana media aliran perdana dan media haluan kiri pun sudah tidak mahu menakung kebanjiran idea dan pemikiran saya ini.

Sekian, kita bertemu lain kali, insya Allah Ta'ala..

[Maklumabalas boleh dimajukan ke mel-e ibnuamir@yahoo.com]

### Catatan ini digalakkan diperbanyakkan dan ditampal ke tempat-tempat yang memudahkan orang membacanya; di surau, madrasah masjid & IPT.



No comments

Powered by Blogger.