DAP membidas tindakan sabotaj terhadap SPRM

Kenyataan Media Statement oleh Lau Weng San di Petaling Jaya pada Jumaat, 21 Ogos 2009:

DAP membidas tindakan sabotaj terhadap SPRM

DAP membidas sekeras-kerasnya tindakan sabotaj yang berlaku ke atas sebuah kenderaan utiliti sukan milik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Klang, Selangor, rosak selepas dilempar dengan beberapa botol bom api (molotov coctail) di tempat letak kereta pejabat itu, Jalan Kota, Klang, awal pagi semalam.

DAP juga mengecam mana-mana pihak yang cuba menggunakan kekerasan dan keganasan untuk menghalang pihak penguatkuasaan menjalankan tugas mereka.

Sebenarnya, ini bukan kali pertama insiden ini berlaku. Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP yang merangkap ADUN Kinrara dan Ahli Parlimen Seputeh, YB Teresa Kok Suh Sim pernah menjadi mangsa botol bom api pada September 2008 di mana beliau dan ahli-ahli keluarga beliau diugut akan dibakar kerana “mencari pasal”.

Oleh itu, kami memahami keadaan yang dihadapi oleh pegawai-pegawai SPRM yang menjalankan tugas mereka dengan adil dan bebas. Justeru itu, DAP juga meminta pihak polis untuk menjalankan siasatan dengan cepat, adil dan saksama dan mengheret mereka yang tidak bertanggungjawab ini ke muka pengadilan.

DAP menyokong kenyataan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamad untuk tidak akan berundur daripada penyiasatan.

DAP juga berpendapat bahawa pegawai-pegawai SPRM yang menjalankan tugas dengan adil, bebas dan saksama tidak perlu takut kepada sebarang ancaman kerana mereka akan mendapat sokongan daripada seluruh rakyat yang cintakan keamanan dan bencikan rasuah.

Mereka yang tidak puas hati dengan SPRM tidak harus menggunakan taktik kotor ini untuk menakut-nakutkan SPRM. Sebaliknya, mereka harus menggunakan saluran undang-undang yang sedia ada untuk menyuarakan pendapat dan perasaan mereka secara aman tanpa sebarang elemen keganasan.

* Lau Weng San, Setiausaha DAP Selangor & ADUN Kampung Tunku

No comments

Powered by Blogger.