Hanya Umno perjuang ketuanan Melayu. Betul ka ni

Oleh Dinsman

Saya ada beberapa orang kawan yang agak kritikal terhadap Umno/BN tetapi masih juga kekal berada dalam kelompok Umno/BN itu. Kami terus berkawan dan menghormati pendirian masing-masing. Sebahagian kawan-kawan saya itu mempunyai hubungan personal yang rapat dengan pemimpin-pemimpin atasan Pakatan Rakyat.


Minggu lalu saya menerima sms daripada salah seorang dari mereka, mengatakan: “Din. Muktamad. Mulai hari ini aku ucapkan selamat tinggal kepada Umno. Tolong doakan agar tindakanku ini diberkati Tuhan Yang Maha Esa.”

Alhamdulillah, saya menyambutnya dengan rasa syukur. Seorang daripada sekian ramai lagi kawan-kawan saya yang masih ‘di sebelah sana’ itu sudahpun membuat keputusan muktamad untuk menyertai saya ‘di sebelah sini’. Alhamdulillah.

Dan dua hari kemudian dia menelefon saya, menceritakan kisah seorang lagi sahabat baik kami, yang sayangnya kepada Umno begitu kuat sekali hingga saya pun tidak mengharapkan dia akan berubah.

Kata kawan saya Latip, seperti dia memberitahu saya akan perubahan muktamadnya itu, dia juga memberitahu perkara yang sama kepada sahabat baik kami itu. Apa yang menariknya, kata Latip, sahabat baik kami itu tidak marahkan dia meninggalkan Umno, tetapi dia mengingatkan Latip supaya memikirkan satu perkara:

“Apa akan jadi kepada ketuanan Melayu apabila Pakatan Rakyat memerintah negara ini? Ketuanan Melayu akan hancur. Pakatan Rakyat tidak akan mempertahankan ketuanan Melayu. Yang berjuang untuk ketuanan Melayu hanya Umno.”

Sahabat baik kami ini pun seorang penulis. Saya menghormati idea, pemikiran dan sikap yang ditunjukkannya dalam tulisan-tulisannya. Tidak ramai penulis yang mempunyai pendirian dan prinsip tegas dan jelas seperti dia. Memang dia seorang yang saya hormati walaupun kecintaannya kepada Umno begitu kuat.

Maka apabila diberitahu Latip yang sahabat baik kami itu begitu bimbang akan nasib ketuanan Melayu sekiranya PR mengambil alih teraju pemerintahan negara, saya tidaklah begitu terkejut, kerana saya memang tahu dan kenal pemikirannya.

Namun Latip pun sempat juga menyanggah hujahnya: “Kenapa sekarang abang nak bimbang kalau PR dapat memerintah negara ini? Yang memerintah Malaysia selama 52 tahun ini siapa? Bukankah Umno? Apa yang Umno buat selama ini, bang, menyebabkan sekarang abang berasa ketuanan Melayu sedang lemah?”

“Kalau betul Umno memperjuangkan ketuanan Melayu, hari ini abang tak akan berasa bimbang, takut dan cemas begini,” kata Latip lagi kepada sahabat baik kami itu, yang dipanggilnya ‘abang’.

Saya pun terfikirkan beberapa perkara sewaktu mendengar Latip menceritakan hal percakapannya dengan sahabat baik kami itu. Saya terfikirkan hal ‘ketuanan Melayu’ itu sendiri – apakah ia masih suatu pemikiran yang relevan dengan perjuangan rakyat Malaysia pelbagai kaum pada hari ini?

Umno sendiri – di mana logiknya pemikiran ‘ketuanan Melayu’ itu di kalangan Umno sendiri pun, ketika mereka sendiri menghina bahasa Melayu melalui dasar PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris), dan ketika mereka menyedari akan kesalahan dasar bodoh yang dipaksakan oleh Dr Mahathir itu pun mereka masih berdolak-dalik untuk memansuhkannya.

Bagaimanakah sahabat baik kami itu boleh mempertahankan pemikiran bahawa Umno memperjuangkan ‘ketuanan Melayu’, kalau Umno sendiri begitu bersungguh-sungguh hendak memusnahkan bahasa Melayu? Atau apakah ‘ketuanan Melayu’ hari ini sudah tidak lagi memerlukan kepada bahasa Melayu?

Pada waktu yang sama Umno sedang memusnahkan identiti Melayu itu sendiri, dan pada waktu yang sama mereka mendakwa bahawa mereka berjuang untuk ‘ketuanana Melayu’. Siapa yang boleh faham ‘apa benda’nya yang mereka maksudkan itu?

Demikianlah kacaunya keadaan mereka (dalam Umno), dan demikianlah realiti keadaan pada hari ini, yang menunjukkan bahawa pemikiran ‘ketuanan Melayu’ itu adalah sesuatu yang tidak lagi relevan dengan realiti masyarakat Malaysia hari ini.

(Di sini saya hanya menyebutkan satu contoh, sedangkan realitinya ada banyak lagi kekacauan yang seperti itu, bahkan lebih teruk daripada itu.)

Bukan politik dan pemerintahan Pakatan Rakyat yang akan melemahkan dan seterusnya melenyapkan pemikiran ‘ketuanan Melayu’. Tetapi politik dan pemerintahan Umno/Barisan Nasional-lah yang telah melemahkan pemikiran ‘ketuanan Melayu’ itu, dan seterusnya menjadikannya tidak lagi relevan dengan kehidupan umat hari ini.

Benar, masyarakat Malaysia hari ini sedang berubah dengan cukup dinamik. Dan cukup menarik, bagi mereka yang berminat memerhati dan mengkajinya. Maka di sini saya sekali lagi berasa seperti sedih juga, melihat masih ramai kawan-kawan (penulis, budayawan, ilmuan) yang terus bergantung kepada sumber maklumat pihak Umno/BN, yang sentiasa menggelapkan maklumat-maklumat ‘real’ dan ‘realiti di sebelah sini’.

Mereka memang tidak nampak perkembangan dan gelombang perubahan yang sedang berlaku dalam masyarakat kita hari ini, kerana mereka hanya menonton televisyen Umno/BN dan membaca akhbar Umno/BN. Sesekali bertemu dan berbual dengan mereka, terasa benar bahawa mereka itu tidak tahu banyak perkara yang sedang berlaku di sekeliling mereka sendiri. Padahal mereka itu dari golongan penulis, budayawan dan ilmuan.

Tak mengapalah. Itu nasib merekalah ya! Biarlah sekarang mereka terus berasa dan berfikir bahawa mereka di pihak yang benar. Perubahan yang sedang berlaku tetap akan berlaku. Tak kira samada golongan itu sedar mengenainya ataupun tidak. Sampai di suatu hari nanti, mereka pasti akan terkejut dengan realiti yang sebenar.

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 0136362408)

No comments

Powered by Blogger.