Hati Ingin Ke Syurga, Perlakuan Membawa Ke Neraka

Agama mengajar manusia menjadi insan yang baik. Tidak ada mana-mana agama di muka bumi ini yang mengajar umatnya menjadi jahat. Sekiranya ada ajaran tertentu yang menyeru pengikutnya ke jalan yang salah, itu bukan ajaran agama tetapi ajaran sesat.

Namun, pelik juga apabila agama yang dikatakan suci selalu dijadikan isu panas sehingga menimbulkan polimik, perdebatan, pertelingkahan dan perbalahan. Malahan perceraian kerana perbezaan pendapat tentang agama juga pernah berlaku.

Dalam akhbar beberapa minggu kebelakangan ini, isu agama boleh dikatakan isu yang paling laris. Isu ‘menghina Islam’ oleh pemimpin DAP menjadi panas bukan kerana umat Islan berasa terhina, tetapi kerana kipasan tangan politik yang mahu isu tersebut menyalakan api. Akan tetapi ‘api perkauman’ yang diharapkan tidak menyala kerana disekat oleh Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Lantas Tok Guru pula yang menjadi sasaran, kononnya merelakan DAP menghina Islam.

Isu agama tidak terhenti di situ. Di Permatang Pasir, isu agama timbul lagi. Kali ini berkaitan dengan syurga dan neraka. Beberapa buah akhbar mensensasikan kenyataan Nik Aziz Nik Mat kononya penyokong UMNO tidak akan masuk syurga. Kenyataan secara simbolik ini mendapat respons yang meluas daripada orang UMNO dan penyokongnya. Ada yang melabelkan Nik Aziz sebagai pelampau dan menghina Islam. Manakala Tun Dr. Mahathir Mohamad turut memberikan komen dengan mengatakan Nik Aziz ‘lebih daripada manusia biasa’ kerana tahu siapa masuk syurga, siapa masuk neraka.

Kenyataan Tok guru Nik Aziz telah memaksa Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan, Prof. Datuk Abdul Shukor Husin mengeluarkan kenyataan balas bahawa ketentuan seseorang Islam masuk syurga atau neraka adalah hak mutlak Allah SWT berdasarkan kepada keimanan dan ketakwaan seseorang.

Tambahnya, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan berpendapat bahawa sesiapa yang mengajar atau menyebarkan pandangan atau fahaman seperti itu adalah salah dan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

Tok Guru Nik Aziz menyeleweng daripada ajaran Islam? Sekiranya pertanyaan ini dilontarkan kepada orang ramai, rasanya ramai yang akan ketawa berdekah-dekah. Kalau orang yang mengamalkan kehidupan sederhana, ala kadar, mudah didekati, dan tidak meninggi diri seperti Tok Guru menyeleweng daripada Islam, orang yang bagaimana yang tidak menyeleweng daripada Islam?

Adakah orang yang memutarbelitkan isu pembinaan kuil di Seksyen 23 Shah Alam ialah orang yang tidak menyeleweng daripada Islam? Isu kuil yang dibising-bisingkan ini merupakan isu lama yang diberikan nafas baru – disensasi dan disensitifkan oleh orang yang berkepentingan politik. (Klik di sini untuk bacaan lanjut).

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali turut tumpang mulut dalam isu kuil tersebut. Beliau menyelar pemimpin Islam Pakatan Rakyat yang sanggup menggadaikan agama demi menjaga undi masyarakat bukan Melayu.

Kenyataan Ibrahim Ali bukan perkara yang pelik. Sebelum ini beliau pernah menghangatkan isu pembinaan patung Buddha yang besar di Kelantan. Niatnya untuk menghentam PAS, tetapi apa yang diperolehi ialah kebencian daripada masyarakat bukan Islam. Pergilah bertanya kepada pengundi bukan Melayu di kawasan Parlimen Pasir Mas berapa orang yang mengundi Ibrahim Ali dalam pilihan raya umum yang lalu.

Sewaktu mencari undi di kampung orang bukan Islam bukan main baik dan sopan bicaranya. Akan tetapi setelah menang, perasaan orang bukan Islam dilukai. Inilah sejenis manusia yang dikatakan depan cakap lain, belakang buat lain. Jadi, bagi mereka yang kenal siapa Ibrahim Ali, kenyataan beliau ibarat padi hampa yang tidak berisi.

Orang politik suka benar memainkan isu agama kerana mereka sedar isu ini sangat sensitif dan mendapat liputan yang meluas. Walaupun kita tahu bahawa niat mereka semata-mata untuk menghentam parti lawan, tetapi tanpa disedari rakyat yang terluka. Bagaimana rakyat mahu mengundi mereka dalam pilihan raya kalau hati rakyat tidak dipeduli, sensitiviti mereka tidak dijaga dan agama mereka tidak dihormati.

Isu apa-apa sekalipun, termasuk isu agama atau perkauman tidak akan hangat sekiranya tidak dihangatkan oleh ahli politik perkauman. Tidak ada apa-apa yang sensitif tentang agama atau kaum sebenarnya kalau bukan kerana manusia yang menjadikannya sensitif.

Orang politik patut sedar bahawa kita hidup dalam masyarakat yang pelbagai kaum, budaya dan agama. Kita harus saling menghormati. Gagasan 1Malaysia menuntut kita berfikiran terbuka dan sedar bahawa kekuatan dan keistimewaan kita terletak pada kepelbagaian yang ‘disatukan’ yang dinamakan Malaysia.

Apabila kita tidak menghormati agama orang lain, orang lain juga tidak akan menghormati agama kita. Bolehkah kita hidup aman tanpa perasaan saling menghormati? Sekarang orang Islam (pemimpin Islam) mempertikaikan pembinaan kuil di kawasan majoriti penduduk Islam. Bagaimana sekiranya esok orang bukan Islam mempersoalkan pembinaan masjid di kawasan majoriti masyarakat bukan Islam? Sekiranya ini berlaku, apa akan terjadi?

Pernahkah orang politik memikirkan perkara ini? Akal dikurniakan untuk berfikir, bukan untuk disimpan. Pemimpin politik dipilih untuk memimpin rakyat ke arah kebaikan bukan ke arah kehancuran. Melaga-lagakan rakyat yang berlainan kaum dan agama demi memperolehi sokongan untuk diri atau parti bukan cara yang betul. pemimpin wajib menyatupadukan rakyat. Pemimpin yang memecahbelahkan rakyat bukan pemimpin namanya.

Isu agama merupakan isu besar, terutamanya yang melibatkan sensitiviti Islam dan bukan Islam. Orang yang suka mengambil kesempatan ke atas isu agama – kononnya mahu menjadi pembela agama – ialah orang yang hatinya ingin ke syurga, tetapi tanpa disedari perlakuannya sedang membawa dia ke jalan neraka.

No comments

Powered by Blogger.