Inikah Kerajaan Pilihan Rakyat?

Di Tebing Barat, rakyat Palestin – tua, muda, wanita dan kanak-kanak ditangkap dan ditembak semata-mata kerana mereka memperjuangkan kemerdekaan tanah air mereka. Kekejaman dan kezaliman tidak usah diungkapkan lagi di bumi berdarah itu kerana ia sudah menjadi seperti satu tradisi bagi regim Zionis melayani kebangkitan rakyat Palestin. Menuntut hak bagi Zionis adalah satu kesalahan yang harus dihukum bunuh.

Manakala di beberapa batang jalan raya di sekitar Kuala Lumpur, rakyat Malaysia – kebanyakannya anak muda berjiwa kental berhimpun menuntut pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Akibatnya mereka ditahan dan ditangkap. Mereka dilayan seperti pengganas. Di darat anggota FRU melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan perhimpuan. Unit anjing juga digunakan. Manakala di udara helikopter berlegar-legar.

Jumlah tangkapan dilaporkan 589 orang, termasuk 44 remaja bawah umur dan 40 wanita. Pihak berkuasa kelihatan bertindak keras terhadap pejuang keadilan ini selaras dengan amaran Menteri Dalam Negeri yang akan bertindak tegas.

Sumber mengatakan pihak berkuasa membuat penahanan secara rambang tanpa sebarang justifikasi. Beberapa orang wakil rakyat dikasari dan ditahan, antaranya Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli; Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa; dan Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa. Aktivis GMI, Norlaila Othman juga dilaporkan dikasari oleh pihak keselamatan.

Apakah bezanya keadaan di Tebing Barat dengan di Kuala lumpur? Keterlaluan sekiranya kita membandingkan regim Zionis dengan kerajaan Malaysia, apatah lagi menyamakan kedua-duanya?

Malaysia negara Islam dan pemimpin utamanya Muslim. Sedangkan Zionis negara Yahudi. Pemimpinnya beragama Yahudi (Judaism). Israel bermusuh dengan orang Arab. Oleh itu, wajarlah pada mereka mengekang kebangkitan Palestin, tuan tanah yang dirampas bagi mendirikan negara Israel. Kalau tuan tanah bangkit, maka hilanglah negara Israel.

Akan tetapi musuh kerajaan Malaysia bukan puluhan ribu anak-anak muda yang membanjiri jalan raya. Musuh kerajaan Malaysia bukan penunjuk perasaan secara aman yang membantah ISA. Siapa musuh kerajaan Malaysia? Aduh, ini pun mahu ditanya. Malaysia tiada musuh. Dasar kerajaan BN berbaik-baik dengan semua negara di dunia. Walaupun kita mengutuk Israel, tetapi Israel bukan musuh kita. Malahan, orang Yahudi pelabur asing yang kaya raya yang wajib dijadikan kawan. Yang kelihatan seperti musuh, tetapi bukan musuh, ialah sifat sesetengah pemimpin kita yang membenihkan kemungkaran, menyuburkan kezaliman dan menyebarkan kekejaman.

Anak-anak muda yang wajib diberikan sekalung penghargaan kerana keberanian mereka menjeritkan reformasi, hapuskan ISA dan Altantuya juga tidak bermusuh dengan kerajaan. Mereka hanya mahu kerajaan menghapuskan ISA yang zalim bagi mereka.

Namun, kenapakah pihak berkuasa melayan mereka sekeras itu seolah-olah mereka musuh negara?

Apakah salah di sisi undang-undang membenarkan rakyat berhimpun dan berjalan beramai-ramai ke Istana Negara secara aman?

Ini persolan yang tidak mungkin difahami oleh orang Arab, Palestin mahupun Israel. PBB sendiri pun rasanya tidak memahaminya. Kumpulan penuntut keadilan dilayan seperti musuh negara oleh kerajaan yang melaungkan rakyat didahulukan. Didahulukan ke dalam lokap.

Selain itu, jalan raya di seluruh Kuala Lumpur menjadi lumpuh. Banyak jalan utama ditutup. Jalan raya utama yang memasuki bandar pula ada sekatan polis. Jalan tiga lorong ditutup dijadikan satu lorong. Sekatan jalan raya ini dilakukan untuk apa tiada siapa yang tahu. Barangkali takut kebanjiran penduduk luar kota untuk menyertai perhimpunan anti-ISA.

Sebelum ini, Perdana Menteri minta rakyat tidak menyertai perhimpunan tanpa permit itu (bukan perhimpunan haram). Kalau ada idea atau pandangan yang bernas, sila beritahu kerajaan. Kerajaan sedia pertimbangkannya. Maksudnya ISA tidak akan dihapuskan, tetapi boleh dirunding, diubahsuai atau diberikan penjenamaan baru. Begitu kata Datuk Seri Najib Razak.

Akan tetapi rakyat bukan mahu ISA dikaji semula atau diubahsuai, sebaliknya mahu dihapuskan terus. Rakyat tidak mahu ISA jadi seperti BPR yang setelah ditukar nama kepada SPRM,tetapi isinya masih sama.

Walaupun begitu, rasional kerajaan mempertahankan ISA harus diperhalusi. Keamanan negara mesti diberikan keutamaan. Tidak ada faedahnya kita menghapuskan ISA, kemudian ada pihak tertentu mengambil kesempatan menimbulkan huru-hara demi kepentingan diri yang tersirat.

Oleh itu, elok sekali seandainya kerajaan dan pihak pembangkang duduk bersemuka berbincang secara jujur agar ISA tidak disalahgunakan atau digunakan sewenang-wenangnya untuk ‘menahan’ musuh politik.

ISA diwujudkan untuk menyekat musuh negara bukan untuk menangkap musuh politik BN. Inilah persoalan utama yang wajib dirungkaikan sekiranya kita tidak mahu melihat anak-anak muda membanjiri jalan raya sambil menjeritkan ‘reformasi!’

Dan kerajaan pilihan rakyat tidak boleh melakukan kekejaman terhadap rakyat biarpun dengan apa-apa alasan sekalipun.

1malaysia

No comments

Powered by Blogger.