Isu Arak: Siapa Mabuk, Rakyat Atau Pemimpin?

Krisis dalam Pakatan Rakyat, terutamanya yang melibatkan PAS-DAP tidak akan ada kesudahannya? Kalau sudah tahu tidak sehaluan, kenapa memaksakan diri untuk bekerjasama?

Sebelum ini DAP Kedah berpatah arang, berkerat rotan dengan Kerajaan PAS Kedah kerana babi. Selang beberapa hari, setelah berasa malu kepada babi, mereka berbaik balik.

Sekarang, PAS Selangor pula sedang berkrisis dengan DAP Selangor kerana arak. PAS tidak berpuas hati tindakan Exco Selangor dari DAP Ronnie Liu memulangkan rampasan arak yang dilakukan di MBSA. Justeru, orang nombor satu PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali mendesak Ronniu Liu dipecat daripada EXCO.

Desakan Dr Hassan Ali dilihat keterlaluan kerana telah melangkaui kuasa Menteri Besar. Kuasa melantik dan memecat EXCO berada di tangan MB, Tan Sri Khalid Ibrahim, bukan di mulut Hassan Ali. Hassan Ali boleh mengkritik tindakan Ronnie dari sudut apa sahaja yang beliau suka, tetapi tidak boleh mendesaknya dipecat atau digantikan oleh orang lain.

Tindakan Hassan Ali itu memperlihatkan sikap yang tidak menghormati MB. Sekiranya perkara ini diperpanjangkan, akan terbuka pekung di dada kerana semua orang tahu jawatan MB menjadi idaman ramai orang politik. Berbohong sekiranya ada ADUN tidak teringin menjadi MB. Cuma keinginan itu disembunyikan di sebalik perjuangan bangsa atau agama.

Rentetan isu itu, maka ramai pula pihak yang tiada kaitan, kecuali ada bau-bau bacang ‘memakai jubah’ memperjuangkan Islam – mengutuk penjualan arak kepada orang Islam. Sedangkan, selama ini semua orang tahu, pihak berkenaanlah yang menggalakkan industri arak tumbuh subur di Selangor.

Siapakah yang memberikan lesen kepada disko, pub atau karaoke? Siapakah pula yang bertanggungjawab agar orang Islam tidak memasuki tempat-tempat maksiat itu?

Malahan selama ini ramai orang Islam yang minum arak di disko, pub, karaoke dan restoran Cina, tetapi tiapa siapa yang peduli.

Pemuda UMNO Malaysia turut melahirkan sokongan terhadap PAS Selangor mempertahankan kesucian umat Islam daripada arak. Ini tindakan yang wajar dan patut disokong. Arak bukan sahaja musuh Islam, bahkan musuh semua agama. Arak membawa kemudaratan kepada semua peminumnya, tidak kira peminum itu Islam, Buddha, Hindu, Kristian, atau tiada sebarang anutan agama. Arakan tiad mata sebab itu ia ‘menghukum’ semua manusia yang meneguknya.

Jadi, eloklah kiranya Pemuda UMNO yang menguar-uarkan memnbela nasib semua bangsa dan agama memperluaskan skop perjuangannya menentang arak kepada semua anak bangsa – Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Siam, Sikh dan lain-lain.

Dr Hassan Ali bising tentang arak di kalangan orang Islam di Selangor memang wajar kerana PAS hanya memperjuangkan kesucian Islam. Hassan Ali piula ketus PAS Selangor. Jadi, tidak masuk akal beliau bising pasal arak di negeri lain.

Pemuda UMNO tidak sama kerana mereka ada di semua negeri. Oleh itu, desak kerajaan semua negeri yang diperintah oleh BN dan PR agar membanteras arak secara bersungguh-sungguh. Jangan menumpukan Selangor sahaja. Orang negeri lain juga ada yang minum arak.

Kenapa mesti di Selangor sahaja dijadikan fokus? Adakah negeri lain tiada arak, atau araknya tidak haram diminum, atau tiada orang Islam minum arak di situ?

Berbalik kepada Dr Hassan Ali. Beliau harus akur bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor bukan Kerajaan Islam. Silap seandainya beliau mahu menjadikan Selangor Kerajaan Islam. Kerjasama Pakatan Rakyat bukan untuk menubuhkan negara Islam, tetapi untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional yang dikatakan zalim dan tidak adil.

Oleh itu, pemimpin Pakatan Rakyat tidak harus lalai dan teralih daripada fokus utama iaitu MENUMBANGKAN KERAJAAN YANG ZALIM DAN MENUBUHKAN KERAJAAN YANG ADIL. Perkara lain, termasuk isu arak bukan perkara pokok. Walaupun arak diharamkan oleh Islam biarpun setitis, namun inti perjuangan bukan di situ. Bukan tidak boleh menyentuh isu arak, tetapi sentuhannya biarlah secara bijak tanpa perlu meriuhkannya kepada wartawan. Sikap mengkritik sesama sendiri (Pakatan Rakyat) bakal membawa kerugian kepada pakatan itu sendiri.

Atau, terdapat agenda tersembunyi dalam isu arak ini, tiada siapa tahu melainkan empunya diri yang membuat onar. Seperti yang saya katakan sebelum ini, jawatan MB Selangor menjadi idaman ramai orang. Maklumlah Selangor itu lubuk emas. Dapat menjadi MB Selangor bererti dapat berkubang dalam lubuk emas. Oleh sebab itulah jawatan ini selalu menjadi rebutan.

PAS Selangor sepatutnya tidak begitu tertumpu kepada isu penjualan arak di kawasan majoriti Islam sahaja. Orang Islam ada kaki. Mereka boleh membeli arak di tempat lain seandainya di tempat mereka tidak menjual arak. Lagipun jarang ada orang minum arak di depan tangga sendiri kerana takut orang kenalan atau ahli keluarga ternampak.

Oleh itu, pada saya adalah lebih penting PAS menumpukan kempen kesedaran di kalangan umat Islam, khususnya dan bukan Islam amnya tentang bahaya arak dari sudut agama dan kesihatan. Kempen kesedaran ini lebih penting daripada bergaduh tentang Ronnie Liu.

PAS boleh berbincang secara baik dengan PKR dan DAP bagaimana cara hendak membanteras gejala ketagihan arak di kalangan masyarakat, terutamanya remaja dan pelajar sekolah. Sekarang ini negara kita menghadapi masalah ketagihan arak yang serius.

DAP walaupun bukan Islam, tetapi tidak semua pemimpinnya minum arak. Malah ramai yang sedar akan bahaya arak dari segi kesihatan.

Krisis dalam Pakatan Rakyat apabila diamati, ia lebih kepada sikap ego pemimpinnya yang tidak mahu mengalah. Masing-masing mahu mempertahankan keegoaan sendiri dan dalam masa yang sama mahu menjadi hero. Sikap “aku betul, kamu salah, oleh itu kamu harus berubah” telah menjadi racun kepada Pakatan Rakyat.

Sikap ini telah menyebabkan pemimpin Pakatan Rakyat menjadi seperti orang mabuk yang hilang tumpuan kepada matlamat penubuhan Pakatan Rakyat. Jangan sampai diketawakan rakyat. Niat di hati untuk memperjuangkan nasib rakyat, tetapi masalah rakyat menjadi punca pergaduhan sesama sendiri. Hanya orang mabuk sahaja yang hilang pertimbangan akal apabila berdepan isu besar. Pemimpin Pakatan Rakyat harus sentiasa waras.

Sekiranya isu kecil pun tidak boleh diselesaikan secara bermuafakat, usahlah bermimpi memerintah Malaysia kerana banyak isu besar yang sedia menanti. satu malaysia

No comments

Powered by Blogger.