Kayanya Malaysia nan 1 dengan isu panas!

Oleh Zulkifli Yahaya

TIBA-TIBA Malaysia dianugerahkan dengan limpahan isu yang banyak, di mana-mana para peminat politik terpaksa menambah masa berkali ganda daripada biasa dalam sehari untuk menatap semua isu.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hasan Ali desak Ronnie Liu digugurkan daripada jawatan Exco Selangor kerana sering campur tangan menghalang pihak berkuasa tempatan merampas minuman keras yang dijual tidak ikut peraturan.


Antara yang tidak mengikut peraturan ialah jualan dibuat secara terbuka di kawasan majoriti umat Islam. Bertambahlah kaki botol di kalangan anak Melayu, yang sudah parah dengan masalah sosial yang pelbagai.

Sejumlah 27 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam mendesak ahli Parlimen Jelutong, Ooi Chuan Aun (Jeff Ooi) meletak jawatan sebagai ketua staf ketua pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang kerana kenyataannya yang mengaitkan syariah Islam sebagai extremis.

Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar meminta parti-parti komponen Pakatan Rakyat terdiri daripada PAS, KeADILan dan DAP mendisiplin pemimpin masing-masing, supaya sebarang tindakan dan kenyataan tidak melampaui batas sehingga menjejaskan imej baik yang ada di mata rakyat, sekali gus mencalarkan dan memberi kesempatan kepada musuh untuk merosakkan hubungan baik yang sedia ada.

Ini termasuk juga Ketua Menteri dan Menteri Besar Pakatan Rakyat yang mesti berperanan dalam hal yang sama supaya exco dan pegawai masing-masing dalam mengurus tadbir akan memberi gambaran postif kerajaan negeri masing-masing.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato' Seri Ahmad Said Hamdan menerima ugutan untuk dibunuh sebagai tindakan membalas dendam di atas kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Huat

Akhir-akhir ini pemimpin BN gemar benar menggunakan andaian bahawa tokoh-tokoh Pakatan sengaja mencipta isu tertentu untuk untuk menutup isu sedia ada. Contohnya, demonstrasi anti-ISA kononnya diadakan untuk menutup isu tuduhan liwat Dato’ Seri Anwar. Maka apakah 'ugutan bunuh' terhadap Ahmad Said adalah ciptaan pihak tertentu untuk melahirkan simpati kepada beliau bagi menutup kemarahan orang ramai terhadap kematian Beng Huat?

Di celah-celah ini pula, seorang Adun BN Terengganu ditahan reman selama lima hari untuk siasatan terhadap dakwaan rasuah. Ia juga mencetuskan spekulasi bahawa Adun tersebut hanya jadi kambing hitam, demi untuk membersihkan imej SPRM, kononnya mereka bertindak tanpa mengira parti politik.

"Jika benar SPRM bukan lembu tunggangan BN mengapa mereka tidak menyiasat dakwaan isu banglo mewah Khir Toyo yang dianggarkan bernilai RM24 juta? Begitu juga beberapa isu lain yang yang disepikan begitu juga oleh SPRM," ulas seorang penceramah politik.

Isu penduduk Kampung Buah Pala belum lagi berakhir. Susah sungguh nak terima hakikat bahawa mereka menduduki tanah orang lain secara tidak sah. Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy berkata masalah penduduk boleh selesai jika mereka setuju terima pampasan. "Jika mereka tidak setuju, sukar bagi kami membantu kerana tidak dapat melaksanakan proses seterusnya mendapatkan pampasan rumah untuk diberi kepada penduduk," katanya.

Andainya penduduk kampung di pihak yang dianiayai, maka kesalahan mutlak terletak pada kerajaan BN yang lalu. 'Kesalahan' bagi kerajaan negeri sekarang ialah kerana (kononnya) terdapat tokoh tertentu Pakatan yang terlajak cakap sewaktu kempen pilihan raya - akan berikan hak tanah kepada mereka jika jadi kerajaan.

Tapi nampaknya sekarang pemimpin kerajaan negeri jadi sasaran maki hamun dan lepas geram mereka. Kalau dah sampai peringkat itu, eloklah kerajaan Pakatan menghentikan usaha menolong dan biarkan Samy Vellu sajalah yang selesaikan masalah mereka.
Desakan lebih 100,000 pembantah terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kuala Lumpur 1 Ogos lalu bertukar menjadi 'medan perang'. Media talibarut BN melaksanakan 'teori alihan isu' yang dipopularkan oleh pemimpin BN akhir-akhir ini, dengan melaporkan kerugian yang dialami oleh para peniaga dan kesusahan orang awam. Sedangkan isu sebenar, iaitu desakan penghapusan akta zalim ISA tidak diperkatakan.

Tiga persatuan peniaga yang diperkudakan Umno membuat laporan polis terhadap GMI kerana kononnya mengalami kerugian yang teruk ekoran demonstrasi itu. Walhal yang menyembur air bercampur kimia ke gerai-gerai jualan sehingga merosakkan harta benda mereka ialah pihak polis.

Peniaga gembira dengan kehadiran ribuan manusia di situ yang tentu akan melariskan jualan mereka. Tidak ada peserta demonstrasi gila yang mensabotaj perniagaan mereka. Semuanya aman sehinggalah pihak polis menembak gas pemedih mata secara membabi buta, barulah peniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman menutup kedai mereka. Siapa yang merosakkan perniagaan mereka?

Bekas tokoh Umno, Dato' Zaid Ibrahim yang pertama kali menyertai demonstrasi rakyat agak terkejut dengan tindak balas yang diterima daripada pihak polis. Katanya, apa yang polis lakukan dengan cara mengepung orang ramai yang hanya mahu berhimpun secara aman dan membelasah mereka dengan semburan air dan bom pemedih mata adalah untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa kerajaan Barisan Nasional tidak peduli dengan kehendak dan keperluan rakyat.

"Tapi rakyat Malaysia termasuk saya juga ingin menyampaikan berita kepada Najib. Kita akan berkorban apa saja untuk menentang kekejaman dan kezaliman. Kita yakin kita di pihak yang benar kerana kita menentang salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah. Kuasa rakyat akan menang juga suatu hari nanti di negara Malaysia yang tercinta ini," tegas seorang bekas menteri BN itu.

Di pihak Pakatan dan BN semua isu itu akan jadi bekalan bahan mentah untuk kempen di Permatang Pasir, Pulau Pinang. Wabak H1N1 pun makin hari makin mengamuk. Makin panaslah bumi Malaysia.

No comments

Powered by Blogger.