Kegelojohan dan ketamakan pemimpin Umno yang membinasakan bangsa Melayu

Dato' Seri Anwar Ibrahim sekali lagi dihimpit dengan tuduhan dan fitnah, tatkala beliau sedang kesibukan menguruskan pertuduhan yang dihadapkan ke mahkamah. Namun, segala tekanan dihadapi dengan tenang kerana tohmahan terbaru, iaitu soal pengkhianat Melayu, terlalu kecil jika dibandingkan dengan tuduhan berat yang diterima sejak tahun 1998.


Beliau optimis isu ini dapat diatasi dengan sebaiknya.Wawancara wakil Harakah MOHD RASHIDI HASSAN, WAN NORDIN WAN YAACOB dan jurugambar, WAN ZAHARI WAN SALLEH bersama, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) itu di pejabatnya pada 12 Ogos 2009, mengupas banyak persoalan kritikal, termasuk soal masa depan Pakatan Rakyat.

Harakah : Mutakhir ini, kita dapat lihat beberapa isu yang berbangkit dalam Pakatan Rakyat yang seolah-olah menggambarkan adanya sedikit masalah, ada yang membicarakan isu antara parti dalam akhbar-akhbar pro-Umno. Soalnya, bagaimana harus didisiplinkan semua anggota Pakatan Rakyat dari terjebak dengan permainan media musuh?

Anwar : Saya kira mesyuarat Pakatan Rakyat pada Khamis (13 Ogos 2009), itu harus menjadi pentas yang menentukan halatuju Pakatan Rakyat yang berikutnya, dan kalau setakat majlis pimpinan, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan saya.

Nampaknya kita cukup iltizam untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat ini. Kalau begitu jadi prinsipnya maka beberapa kaedah harus ditentukan. Pakatan Rakyat harus mantap, persefahaman harus lebih jelas dan tidak ada terlalu banyak karenah atau perbicaraan di kalangan penyokong yang mudah ditafsirkan menimbulkan persepsi negatif.

Dalam hal ini insya-Allah saya percaya apa-apa masalah yang bersangkutan setakat ini kita dapat dileraikan awal. Justeru seperti yang saya sebut dalam mesyuarat, kita mahu menentukan ke arah mana kita (Pakatan Rakyat) menghala.

Selepas kejatuhan Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak, apa yang dilihat kita masih tidak sedar akan strategi BN, malah kita terpalit dengan psywar BN teramsuk dalam isu dalaman. Bagaimana Dato' Seri melihat hal ini?

Kita berdepan dengan serangan BN cara rakus, dan perbalahan kecil antara kita dibesarkan seperti masalah besar, oleh media pro Umno. Jika kita telah memahami hal ini mengapa harus kita perbesarkan?.

Walaupun ruang musyawarah ada, dan bantahan boleh dikemukakan melalui saluran yang telah disediakan. Sebab itu bagi saya pimpinan parti di semua peringkat perlu menyedari hal ini agar mereka tidak terperangkap dengan mainan media Umno ini dan tidak berbalah dalam surat khabar BN.

Lihat sahaja kes rampasan kuasa di Perak, cara gugat dan muslihat kotor jahat di Selangor, kalau hal ini disedari dapat saya tekankan secara keras jangan kita berikan ruang pada hal ini.

Semua orang boleh bicara soal pendirian tetapi prinsip jangan diketengahkan kepada Utusan Malaysia, prinsip atau pendirian ini boleh diketengahkan kepada pimpinan. Isu agama dan kepentingan Melayu ataupun kaum-kaum lain kita boleh bahaskan.

Saya kira kekuatan Pakatan Rakyat berbeza dengan Umno-BN, dalam Umno tiada ruang bicara, apa yang ditentukan oleh ketua jadi satu keputusan sebaliknya dalam pakatan kita, iklim politiknya sangai baik.

Sejak PRU 2008, BN terus menyerang Dato' Seri dan Pakatan Rakyat dalam isu kepentingan Melayu khususnya, aspek ini berterusan, bagaimana Dato' Seri melihat ini?

Ini hanyalah langkah terdesak Umno, dia gunakan media, mereka gunakan kekayaan yang dikumpul dari syarikat-syarikat yang ada kroni ini untuk serang kita, kalau ada alasan boleh saya jawab.

Ini serangan masuk 'round' ke-11 iaitu tahun ke-11, sejak 1998 saya diserang. Mereka menyerang saya dengan mengumpulkan dari isu pro-Yahudi pro Amerika, dan kini pro-Cina serta anti-Melayu, ini kemunafikan mereka dalam perbicaraan.

Najib berbicara soal 'One Malaysia' supaya menarik sokongan masyarakat Cina, India bersama, dan di sebelah pihak.

Muhyiddin pula berbicara soal Melayu dan menyerang kononnya kita penderhaka Melayu, yang nyata ini satu kontradiksi antara mereka.

Kalau mereka kemukakan persoalan menjawab wacana, wacananya perlu segar dan tidak harus mengarah kepada sikap perkauman dan saya tetap pertahankan, saya dan anggota dalam Pakatan Rakyat, khususnya PAS komited menjaga kepentingan Melayu Islam.

Dalam Pakatan Rakyat, kita telah menandatangani bersama ikrar menjunjung prinsip Perlembagaan, Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dan hak Melayu, kedaulatan Raja-Raja Melayu, tetapi mereka (Umno) ini hanya tahu kuasa.

Saya cuba elak serangan peribadi dengan Muhyiddin, jadi saya tumpu pada isu pokok siapa yang serah dana awam, bukit-bukau kepada tauke judi?

Siapa yang serahkan pula saham kepentingan Melayu yang miskin kepada pihak asing?

Namun apabila Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaludin memberikan tanah kepada Cina yang miskin itu dijadikan isu perkauman oleh Umno melalui media mereka. Ini kita telah jawab sebelum ini.

Keduanya yang kita serang bukan kerana kekayaan Melayu tetapi penyalahgunaan kuasa, membolot tanah, saham, kontrak dan AP (permit import) siapa yang dapat? Pemimpin Umno, keluarga dan kroni yang dapat.

Semalam (dalam sidang media 11 Ogos 2009 ) saya sebut Bernas yang juga ditubuhkan semasa saya menjadi Menteri Kewangan, ia ditubuhkan atas alasan mahu menjaga kepentingan penanam padi tetapi ternyata dibolot oleh pimpinan Umno dan djual pula kini kepada kepentingan syarikat Cina Hong Kong dan akhirnya dengan dasar yang diamalkan Umno-BN ini nasib petani tidak terbela.

Keuntungan yang dicatat Bernas ratusan juta ringgit tetapi petani masih hidup merempat, kekayaan diambil oleh kroni walhal ia sepatutnya habuan dan hak petani Melayu yang miskin.

Lihat sahaja kepada pemandu teksi yang terpaksa berpeluh mencari nafkah halal, sedangkan semua AP, lesen dan saham kroni Umno yang kaut keuntungannya.

Silakan jawab persoalan ini? Kalau nak kumpul antara 200 ke 300 orang bantah saya hanya kerana tuduhan saya pengkhianat, silakan, namun kita juga akan gunakan hak kita untuk jawab.

Dato' Seri ada sebut tadi bahawa ada semacam kontradiksi antara Najib dan Muhyiddin dalam pendekatan masing-masing, satu rasis satu lagi seolah-olah membuka ruang, apakah ini sebenarnya watak perpecahan dalam Umno?

Saya lihat inilah orang kata, tindakan yang terdesak di kalangan pimpinan Umno. Secara umumnya mereka kini terdesak kerana sokongan semakin berkurang, sebab itu pemimpin merestui rindakan dan permainan oleh orang yang kita fikir tidak aktif dalam politik lagi yang ada kepentingan, yang sengaja menggunakan isu ini.

Tetapi ternyata ada pergelutan dan perebutan dalam Umno sendiri sebab Muhyiddin mahu kononnya memperjuang bangsa sebaliknya Najib pula kononnya mahu memperjuang semua kaum.

Saya tidak ada masalah dan tidak mahu fikir soal sama ada ini akibat perpecaan Umno, tetapi kita harus menjurus kepada isu pokok dan saya tidak fikir mereka mampu berbicara hal ini.

Oleh kerana mereka gagal hujah mereka hanya main isu seperti dahulu di Perak dalam soal derhaka, dan sekarang ini di sini isu pengkhianat.

Isu ini tidak dijawab, siapa yang khianat dari segi bolot kekayaan rakyat, mengapa lepas 51 tahun merdeka nasib orang Melayu masih tertinggi miskin?

Agenda kita dalam Pakatan Rakyat jelas dalam isu kekayaan negara harus lebih tertumpu membela nasib masyarakat miskin, jumlah besar mereka ialah Melayu Islam.

Dalam isu PPSMI, dan beberapa isu agama yang lain, Umno-BN mengambil pendekatan yang menyusahkan bangsa dan agamanya sendiri, apa pandangan Dato' Seri?

Ini berlaku kerana kekalutan akibat dari dasar yang dibuat secara terburu-buru, di Parlimen kita sebut yang mengkhianati dasar bahasa Melayu itu ialah pimpinan Umno. Kita gunakan perkataan pengkhianatan bahasa kerana apa yang kita lihat walaupun kata mereka mahu menghentikan dasar PPSMI ini, namun kini mereka berdolak dalih mahu laksana kemudian mahu patah balik mahu laksana sekerat.

Dalam Pakatan Rakyat, soal dasar bahasa, pendirian kita ialah kita tidak boleh tolak ansur sama sekali dalam usaha dan rangka memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dengan tekad dan tahap pengusana yang membanggakan, bukan apa yang ada sekarang ini kerana penguasaan di tahap rendah.

Keduanya, maknanya langkah-langkah harus diambil supaya semua kaum di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil menguasai bahasa Melayu, program dilaksanakan, tetapi dalam masa yang sama mutu bahasa Inggeris kita kena tingkatkan, jangan dikhianati pogram pendidikan yang disepakati dalam memperkukuh Bahasa Melayu, sementara penguasaan bahasa Cina, Tamil, Perancis.

Bahasa Arab dan sebagainya perlu digalakkan, kerana umumnya dunia menerima. Penguasaan banyak bahasa ini adalah menjadi satu tradisi sejarah Islam dahulu, dia memang kebanyakannya alim itu menguasai bahasa Arab dan Parsi serta Urdu, malah pelbagai bahasa lain, dan ini yang nak kita ketengahkan.

Dato' Seri, berbalik kepada isu pengkhianat, apakah asas Dato' Seri mahu saman Muhyiddin?

Ia, asasnya ialah menuduh orang sebagai pengkhianat bangsa, itu berhubung jenayah fitnah, jadi saya tak mahu berikan laluan mudah kepada orang yang boleh semberono menyerang sebab dia ada kuasa dan menguasai media, jadi keangkuhan ini harus diselesaikan.

Walaupun saya tahu prosesnya itu mengambil masa dan kita tak pasti sama ada mahkamah berani untuk layan tuntutan kita, saya harap ini boleh membantu.

Cara menjawabnya sepatutnya mempertahan dengan mereka membuktikan, tetapi apa yang saya lihat cara dia (Muhyiddin) jawab dengan menggunakan Utusan Malaysia dan umum dia pembela bangsa, dia kerah orang miskin pertahankan sikap gelojoh orang yang mengumpul kekayaan, ini satu sikap yang mengaibkan dan ini menghina orang Melayu.

Kalau kita lihat tanah, saham AP kontrak berbillion ringgit itu yang dikumpul oleh segelintir pemimpin Umno, dan keluarga, apabila mereka terdesak dia gunakan sedikit dari keuntungan dan cuba beli dan mempergunakan semangat penyokong mereka, kalau penyokong tahu dasar dia membinasakan orang Melayu baik dari sudut bahasa mahupun ekonomi, dan jika mereka tahu Umnolah yang memulakan penjualan lesen arak dan judi yang berleluasa, jika orang Melayu sedar hal ini mustahil mereka akan sokong Umno lagi.

Barangkali isu ini dimainkan setiap kali menghampiri pilihan raya kecil (PRK) dan mungkinkan ini juga merupakan satu signal PM mahu mengadakan pilihan raya umum dalam masa terdekat, mungkin setahun lagi?

Kita tidak tolak kemungkinan itu, dan bagi saya kita kena siap awal, kerjasama yang mantap dalam Pakatan Rakyat dengan jentera pakatan supaya menghadapi sebarang kemungkinan tetapi isu seperti ini jadi isu sementara.

Saya lihat isu ini isu terakhir di mana isu yang habis mereka fikir untuk menggunakan isu penderhaka kepada Melayu, ini menampakkan mereka sebenarnya terlalu terdesak.

Saya diserang selama 11 tahun, dengan senarai pertuduhan itu puluhan dan ini kali yang ke-11 dan ia sangat terdesak yang akhir, mudah0mudahan kita tamatkan riwayat keangkuhan mereka ini dengan isu ini.

Kini dibangkitkan pula soal wasiat Raja-Raja Melayu, seolah-olahnya mahu menyindir Pakatan Rakyat, apa pandangan Dato' Seri?

Mereka menguasai media, kalau wasiat Raja-Raja Melayu ini siapa yang bantah? Saya hendak tanya kepada mereka, soal pengkhianatan kepada Raja Melayu ini, siapa yang membolot kekayaan negara?

Mereka ini cuba memainkan isu peruntukan Perlembagaan, seolah-olah membayangkan Pakatan Rakyat tidak setuju. Kita telah menjawab, namun malangnya jawapan kita tidak masuk dalam akhbar mereka. Serangan isu pengkhianat Melayu ini dalam Utusan Malaysia, kalau kita kumpul lebih dari 40 halaman, sebaliknya jawapan kita tidak masuk pun.

Apa sebabnya? Sebabnya ialah mereka takut dengan jawapan kita, kita jawab dalam majlis penerangan kita berdepan dengan rakyat, kita jelaskan mereka datang, di Permatang Pasir nanti kita akan berikan lagi penjelasan kepada rakyat.

Bagaimana Dato' Seri melihat persepsi rakyat dalam isu ini?

Saya optimis kerana walaupun media berbahasa Cina itu lebih terbuka dan media Melayu dikongkong sepenuhnya oleh Umno, rakyat tidak mudah dibodohkan, jika mereka pilih baca Utusan Malaysia dan terpengaruh, mustahil kita (Pakatn Rakyat) menang dalam enam kerusi pilihan raya kecil sebelum ini.

Rakyat sebenarnya tidak terpukau dengan propaganda Umno-BN. Walaupun PRK Manek Urai, mereka umumkan mereka menang moral yang besar, namun ini sebenarnya memperlihatkan mereka ini yang rakus pemikirannya.

Bagi saya ini pertarungan yang tak adil sama sekali media dipergunakan ketika kempen, ugutan dan mereka lupa kenyataannya bahawa dalam 14 tahun, Kelantan dikuasai PAS, amat sukar hendak pertahankan kerusi, apatah lagi hendak menang.

Justeru itu saya lihat ia (Manek Urai) kemenangan besar, begitu juga dalam PRK lain, dalam sejarah PRK, kawasan Melayu sukar untuk ditawan pembangkang, tetapi selepas era 2008, keadaan sudah berbeza.

Di Penanti pun akhirnya Umno-BN tidak letak calon mereka ini suatu yang sangat berbeza.

Di Permatang Pasir nanti Umno-BN kata mereka ada kemungkinan menang, namun saya yakin dengan majoriti besar yang kita ada dan dengan sahabat-sahabat, keluarga dan pengundi yang saya kenal sangat di sana, sebab Permatang Pasir itu di bawah Parlimen Permatang Pauh, dan dengan sikap dan teladan yang sangat baik yang ditunjukkan Allahyarham Dato' Hamdan Abdul Rahman, saya yakin kita dapat pertahankan kerusi ini.

Ada terdengar suara kononya akar umno KeADILan mahukan calon mereka di Permatang Pasir, ada penjelasan Dato' Seri?

Ia di peringkat awal memang saya dengar, tetapi dalam parti, kita sebut kita bagi ruang kepada mereka untuk suarakan pandangan, namun dalam tempoh lapan jam selepas isu itu timbul, kita berjaya menutup isu ini.

Kerana bagi saya dan KeADILan memikirkan adalah tidak wajar kita letak calon kerana ini tidak sihat untuk parti.

Kita letak prinsip baik, malam itu juga selepas tamat memorandum dari mereka, malam itu juga saya dan kepimpinan parti membuat keputusan bahawa kerusi Dun Permatang Pasir adalah kerusi PAS atas nama Pakatan Rakyat.

Saya dan kalangan kepimpinan KeADILan akan bekerja sekeras mungkin, saya sukacita hendak sebutkan di sini bahawa jentera KeADILan telah dikerahkan siap sedia, petugas peti undi telah disiapkan, dan saya yakin kerjasama KeADILan dan PAS di Permatang Pasir sangat baik, dan saya akan monitor di Permatang Pauh.

Cuma saya dukacita 17 Ogos ini saya tidak dapat sertai penamaan calon, tetapi saya dah bagi tahu Ustaz Hadi, saya ada urusan yang tidak dapat dielak.

Dato' Seri tidak runsingkah dengan permainan media Umno-BN di Permatang Pasir nanti dengan isu pengkhianat?

Hendak kata runsing tidaklah, sebab Umno-BN serang saya pada Ogos 2008 dahulu (waktu pilihan raya kecil Permatang Pauh) lagi parah, alhamdulillah lagi banyak majoriti kita menang.

Mereka serang saya sejak dari tahun 1998, kaset dan VCD tiap rumah di Permatang Pauh dah dapat semua kaset fitnah terhadap saya tanpa kecuali, termasuk Permatang Pasir, jadi jika nak ulang tayang silakan, cuma saya hendak nasihatkan persoalan ini qazaf dan ini fitnah, saya akan jawab isu terbaru khianat pada 16 di Permatang Pasir.

Kita melihat majoriti kepada PAS dalam pilihan raya Manek Urai merosot, dan paling dilihat ialah majoriti golongan muda mula beralih sokongan, apakah ia akan ada kesan kepada Permatang Pasir?

Ia saya ingat di Manek Urai itu 'trend' ada sedikit peralihan. Tetapi tengok soal calon, program kita dengan pemuda, ini kita kena ambil perhatian.

Calon di Permatang Pasir mestilah yang boleh menarik perhatian pemuda, dan struktur jangan rasa selesa walaupun di Permatang Pasir majoriti kita cukup meyakinkan. Tetapi saya beri tahu kita tidak boleh ambil sikap sambil lewa.

Malah kerahan tenaga PAS dan KeADILan perlu maksimum. Apa yang baik ialah saya lihat, bila saya bertanding Ogos lalu kawan-kawan PAS bekerja kuat, seluruh PAS seluruh negara bekerja, ini saya yakin kekuatan kita.

Bila PRK kita buktikan bahawa perpaduan dalam Pakatan Rakyat sangat baik, biarpun ada desas desus sedikit tetapi ia bukan satu petanda persahabatan retak tetapi ini demokrasi yang sihat, secara umumnya dalam PRU dan PRK, hubungan kerjasama Pakatan Rakyat PAS cukup besar

No comments

Powered by Blogger.