MAIS Anjur Muzakarah Isu Pindaan 3 Akta Undang-Undang Islam

SHAH ALAM, 11 Ogos - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan menganjurkan satu muzakarah bagi membincangkan isu pindaan 3 akta undang-undang Islam, sejajar dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sarafuddin Idris Shah.

Pengerusi MAIS, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, muzakarah itu akan menghimpunkan NGO-NGO Islam untuk mencari satu ketetapan sebulat suara berhubung perkara tersebut.

Menurutnya, wakil Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) juga akan dijemput bersama menghadiri muzakarah berkenaan yang akan diadakan hujung bulan ini. Tarikh dan lokasi akan ditetapkan dalam masa terdekat.

Tiga akta yang terbabit dalam pindaan itu ialah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan Dan Perceraian) 1976 [Akta 164], Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303] dan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993.

Beberapa kertas kerja akan dibentangkan di dalam muzakarah ini, terutamanya kertas kerja berkaitan kesan pindaan-pindaan tersebut terhadap kuasa Raja-Raja Melayu, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, pemakaian undang-undang Syariah dan kedudukan Mahkamah Syariah.

Muzakarah ini akan turut meneliti dan mengkaji setiap cadangan pindaan terhadap peruntukan undang-undang tersebut sama ada bertentangan dengan Hukum Syarak atau tidak.

Resolusi daripada muzakarah tersebut akan dikemukakan kepada Raja-Raja Melayu untuk dibincangkan di dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang akan bersidang kelak.

MAIS tidak akan berkompromi dalam apa jua hal yang menggugat kedudukan Hukum Syarak, Institusi Agama dan kedaulatan Raja Melayu sebagai Ketua Agama.

Menurutnya, adalah penting kedudukan agama Islam dipelihara setiap masa sejajar dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 47 Undang-Undang Tubuh Kerajaan (Negeri Selangor) 1959. Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah ugama bagi Persekutuan, tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

No comments

Powered by Blogger.