MEMAHAMI KONSEP FEDERALISME

1 Februari 1948, Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan berasaskan prinsip federalisme. Persekutuan Tanah Melayu ini ditubuhkan sebagai ganti kepada Malayan Union atau Kesatuan Malaya yang ditubuhkan pada 1946 dan mendapat tentangan hebat orang Melayu.
Dahulu, negeri-negeri Melayu pada asalnya adalah terpisah antara satu sama lain mengikut kerajaan negeri masing-masing sehingga mudah kuasa asing menyerang dan menjajah negeri Melayu. British cuba menyatukan negeri-negeri tersebut melalui Malayan Union, tetapi orang Melayu mahukan persekutuan supaya setiap negeri kekal dalam kuasa autonomi masing-masing dan Sultan Melayu terus berdaulat.


Secara prinsipnya, konsep persekutuan atau federalisme merupakan satu proses hubungan antara kerajaan pusat-kerajaan negeri di mana bidang kuasa kerajaan pusat dan kerajaan negeri dinyatakan dengan jelas.

Dalam amalan kebanyakan negara federal yang lain seperti Amerika, negeri diberikan kuasa autonomi untuk membolehkan mereka mentadbir urusan-urusan di bawah bidang kuasa mereka dengan berkesan. Di Malaysia, amalan federalisme ini dinyatakan melalui agihan kuasa secara jelas sebagaimana yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan. Satu set senarai bidang kuasa yang dikenali sebagai Senarai Persekutuan, Senarai Negeri dan Senarai Bersama menjelaskan agihan bidang kuasa ini.

Umno dan Perikatan (kemudian BN) diberikan kepercayaan oleh rakyat semenjak merdeka pada 1957 untuk melaksanakan prinsip federalisme ini dalam sistem politik Malaysia. Semenjak dari itu, sehingga ke hari ini, senarai panjang pencabulan prinsip federalisme telah banyak merosakkan reputasi UMNO di mata rakyat dan mencemarkan nama baik pemimpin mereka Allahyarham Dato' Onn Jaafar, antara yang memainkan peranan utama ke arah pembentukan Persekutuan Tanah Melayu, juga merupakan pengasas parti UMNO walaupun kemudiannya meninggalkan UMNO.

Pencabulan prinsip ini semakin ketara selepas tewasnya BN di lima negeri kepada Pakatan Rakyat dalam PRU 12.

Krisis perlantikan Menteri Besar yang berlaku di Perlis dan Terengganu jelas menunjukkan UMNO yang berkuasa di Putra Jaya cuba menafikan kuasa yang dimiliki sultan yang memerintah negeri untuk melantik dan mengurniakan watikah perlantikan seorang Menteri Besar yang diyakini akan mendapat sokongan majoriti ahli dewan undangan negeri. Kuasa ini adalah hak negeri atau sultan dan bukannya hak pusat. Isu yang lebih jelas timbul apabila Perdana Menteri selaku Pengerusi BN mengeluarkan watikah perlantikan menteri besar yang kemudiannya tidak direstui oleh istana. Begitu cepat Perdana Menteri menuduh Sultan Terengganu melanggar perlembagaan.

Persoalan perlantikan penghulu atau ketua kampung juga memperlihatkan kedangkalan pemahaman pemimpin UMNO yang berkuasa di pusat atau mereka memang sengaja buat-buat tak faham.

Mengejutkan apabila Pengerusi Perhubungan Umno Selangor mengadakan pertemuan dengan lebih 300 orang penghulu di Selangor baru-baru ini. Atas kapasiti apa dia berbuat demikian, dan mengapa para penghulu menghadiri perjumpaan tersebut? Bukankah semua penghulu adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, bukannya di bawah Umno walaupun penghulu tersebut ahli Umno.

Perkara yang sama berlaku di Terengganu ketika diperintah kerajaan PAS tahun 1999-2004. Walaupun kerajaan negeri dengan bidang kuasa yang sah mengikut undang-undang, telah menubuhkan Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) mengantikan JKKK, tetapi jelas kerajaan pusat tidak mengiktiraf dan tidak menghormatinya hinggakan borang pinjaman buku teks anak-anak sekolah pun tidak diterima, melainkan setelah ditandatangani oleh Pengerusi JKKK.

Adakah kerajaan pusat tidak faham bahawa semua pentadbiran awam pada peringkat yang lebih rendah daripada kerajaan negeri adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Dan tindakan kerajaan pusat membentuk JKKK di bawah Kementerian Luar Bandar dan Rukun Tetangga di bawah Kementerian Pembangunan Masyarakat tanpa persetujuan kerajaan negeri adalah mencabul kuasa kerajaan negeri. Adakah kerajaan pusat melihat lantikan penghulu kerajaan negeri ini menjejaskan kesejahteraan keseluruhan persekutuan sehingga terpaksa melantik JKKK di negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat

Pengagihan peruntukan perkapita kepada negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat juga jelas menunjukkan sikap tidak menghormati amalan federalisme oleh kerajaan pusat. Negeri-negeri yang diperintah PR juga turut sama menyumbang kepada hasil kerajaan persekutuan. Cukai pendapatan, cukai jalan, cukai kastam, saman trafik, bayaran passport, cukai setem, denda mahkamah dan banyak lagi senarai hasil yang dikutip dari bumi negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat sama seperti yang dikutip dari negeri-negeri yang diperintah oleh BN.


Persoalannya kenapa lima negeri Pakatan Rakyat berada dalam senarai penerima peruntukan terendah. Pulau Pinang 119, Kedah 172, Kelantan 179, Selangor 221 dan Perak 230. Kita boleh menerima alasan sekiranya dikatakan selangor menerima peruntukan rendah kerana negeri itu telah sedia kaya, lalu peruntukan perlu diagihkan lebih banyak ke negeri-negeri miskin. Tetapi bagaimana pula dengan Kelantan dan Kedah. Sedangkan gah UMNO mencanangkan, Kelantan adalah negeri miskin.


Baru-baru ini Menteri Pertanian, Dato' Noh Omar memberi amaran supaya supaya mana-mana pegawai kerajaan dari Kementerian Pertanian dilarang sama sekali hadir bersama dalam mesyuarat dengan negeri-negeri pembangkang. Noh Omar seorang menteri, setahu saya berkelulusan undang-undang sepatutnya berfikir lebih baik dari mentaliti seolah -olah seperti seorang ketua cawangan UMNO dan bukannya menteri kerajaan pusat. Dulu, sewaktu di Kementerian Pelajaran, beliau memberikan amaran kepada pelajar-pelajar di luar negara supaya jangan sekali-kali hadir ke program yang dihadiri pemimpin PAS. Ada pelajar yang dikenakan tindakan tarik biasiswa serta-merta.

Umno pernah melakukan jenayah besar berkaitan perlanggaran konsep federalisme dengan membatalkan perjanjian royalti minyak di Terengganu sedangkan hasil bumi adalah jelas hak negeri. Kini bayaran royalti minyak untuk Kelantan pula dinafikan. Selepas ini mungkin banyak lagi sabotaj yang akan dibuat oleh kerajaan pusat untuk melemahkan kerajaan negeri walaupun dengan alasan-alasan yang langsung tiada fakta dan kekuatan.

Datuk Mustapa Mohamad sendiri mengakui di dalam sidang DUN Kelantan, bahawa beliau pernah mendesak kerajaan pusat melambatkan pembayaran geran wajib kepada Kelantan, negerinya sendiri. Sebelum ini, dalam kes royalti Terengganu, ketua UMNO bahagian Dungun, Datuk Awang Jabar mencadangkan di dalam Perhimpunan Agong UMNO tahun 2000 supaya kerajaan pusat menarik balik bayaran royalti minyak kepada kerajaan PAS Terengganu. Dua pemimpin UMNO yang khianat kepada negeri sendiri ini akan terus diingat di dalam lipatan sejarah.

Perbuatan mencabul konsep federalisme berterusan apabila bekas Menteri Pelancongan yang tidak dikehendaki di era Najib membatalkan MoU berkaitan program pelancongan di lima negeri berkaitan, kerana kononnya tidak bersefahaman. Adakah rakyat lima negeri ini bukan rakyat Malaysia atau Azalina Othman yang memiliki latar belakang undang-undang sudah hilang kewarasan. Kasihan, apabila bekas bosnya Pak Lah berundur, dia turut sama terbuang. Pemikiran kepartian yang sempit tidak wajar dijadikan asas untuk menindas rakyat yang wang cukai mereka digunakan untuk membayar gaji menteri.

Kedangkalan seperti ini jelas menunjukkan bahawa pemimpin Umno/BN sebenarnya tidak berjiwa sebagai seorang negarawan, sebaliknya hanyalah pemimpin kampungan yang mengamalkan undang-undang balas dendam.

Kalau pun UMNO sekarang sedang berdepan dengan krisis yang parah, mereka sedang melalui satu proses pemulihan yang sukar, kekecohan dan krisis dalaman Umno biarlah Umno sendiri yang tanggung, dan ia tidak perlu dibebankan kepada rakyat melalui pendekatan politik yang begitu sempit dan tidak bermaruah seperti ini.

No comments

Powered by Blogger.