PAS perlu juarai isu Melayu ganti Umno

Oleh Abu Firdaus

Satu langkah ke depan yang perlu diambil oleh PAS pada masa ini ialah mengambil alih perjuangan isu-isu Melayu bagi menggantikan Umno yang terbukti gagal melakukannya hingga banyak daripada penyokongnya yang beralih angin dalam pilihan raya umum 2008.

Apabila disebut isu-isu Melayu, ia tidak sama sekali bermakna perkauman apatah lagi asabiah kerana apa yang PAS perlu lakukan adalah mengambil semula apa yang pernah diperjuangkan pada tahun 50-an dan 60-an, ketika zaman sebelum era kepimpinan ulama.


Kesilapan Umno selama ini, ketika memperjuangkan isu-isu Melayu ia datang dalam dua bentuk. Pertama, sifat perkaumannya dan kedua, penyelewengan seperti rasuah hingga akhirnya menjadikan Umno ditolak oleh kaum-kaum lain, di samping tidak disokong oleh orang Melayu sendiri, seperti yang terserlah dalam pilihan raya umum Mac 2008.

Maka di sinilah PAS perlu mengambil alih menjuarai isu-isu Melayu, bukan semata-mata untuk mendapatkan sokongan pendokong-pendokong Umno tetapi lebih penting lagi ialah kerana asas-asas berhubung keadilan dan juga berkaitan Islam.

Ini kerana isu-isu Melayu bukannya bersifat perkauman tetapi bertunjangkan kepada perjuangan keadilan dan Islam, malah lebih penting lagi pemeliharaan negara daripada jatuh kepada kancah huru-hara dan perbalahan antara kaum.

Justeru, apakah itu isu-isu Melayu?

Apa yang menjadi teras kepada isu-isu Melayu ialah semangat seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri-Negeri di Malaysia, yang seterusnya mendapat sokongan dan dokongan oleh semua parti termasuk PAS ketika Malaysia ditubuhkan, pada 16 September 1963.

Dalam Pakatan Rakyat, hanya PAS merupakan parti yang ada pada masa itu, dan tentunya mempunyai tanggungjawab lebih mempertahankan Perlembagaan Persekutuan berbanding parti-parti lain seperti DAP dan KeADILan yang ditubuhkan kemudian daripada tarikh Hari Malaysia itu.

Namun begitu, DAP sebagai parti yang mewarisi Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan KeADILan yang juga sebagai penerus Parti Rakyat Malaya (PRM), dari segi semangatnya turut wujud pada Hari Malaysia itu, dan mendokong semangat Perlembagaan Persekutuan.

Perlu diingat bahawa PAP merupakan parti tonggak kepada perjuangan penubuhan Malaysia. Berbanding PRM, yang berada dalam Front Sosialis menentang penubuhan Malaysia. Begitu juga PAS ketika itu adalah juga penentang penubuhan Malaysia, atas asas menolak projek neokolonialisme tajaan Amerika Syarikat dan Britain.

Maka walaupun PAP mempunyai fahaman Malaysian Malaysia yang kemudian diwarisi oleh DAP, tetapi dalam hal semangat Perlembagaan Persekutuan, ia memberi sokongan penuh. Begitu juga dengan PRM dan PAS, yang walaupun menentang penubuhan Malasysia, tetapi mereka juga mendokong semangat Perlembagaan Persekutuan.

Maka Perlembagaan Persekutuan merupakan dokumen beroperasi bagi menjayakan isu-isu Melayu. Dalam hal ini, PAS tidak boleh membiarkan hanya Umno mempertahankannya. Ini kerana Umno sudah gagal dan kerja ini perlu diambil alih oleh PAS.

Perkara pertama yang menjadi teras kepada Perlembagaan Persekutuan ialah Malaysia pada hakikatnya Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah. Apa yang hendak ditekankan di sini ialah Tanah Melayu sebagai negara teras kepada penubuhan Malaysia.

Sememangnya banyak orang muda Melayu dalam KeADILan dan juga PAS sendiri yang turut serta dengan fahaman sebahagian orang muda DAP untuk menafikan bahawa Malaysia ini adalah sebuah negara yang berasaskan Melayu.

Tetapi pada hari ini, walaupun tidak mahu disebut sebagai ketuanan Melayu, yang disifatkan sebagai berbau perkauman, namun hakikatnya, Perlembagaan Persekutuan yang ada menetapkan bahawa Malaysia adalah negara yang berasal dan berasaskan Melayu.

Selagi Perlembagaan ini masih digunakan, maka perlu diakui bahawa negara ini berasal dan berasaskan Melayu. Dalam hal ini, PAS mesti mempertahankan Perlembagaan Persekutuan bukan hanya kerana untuk mendapatkan sokongan pendokong Umno tetapi ia merupakan perjuangan untuk keadilan.

Malaysia adalah gabungan sukarela antara Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah. Singapura telah keluar tetapi hakikatnya penyertaan Sarawak dan Sabah ke dalam Malaysia adalah untuk menyelamatkan Tanah Melayu daripada imbangan salah dengan adanya Singapura.

Apakah imbangan yang salah itu? Ia berkaitan dengan bilangan kaum. Di sinilah antara isu-isu Melayu yang terkandung dalam semangat Perlembagaan Persekutuan. Dengan penyertaan Bumiputera Sarawak dan Bumiputera Sabah kepada Orang Asli dan Melayu di Tanah Melayu, maka semangat Perlembagaan itu adalah untuk menghalang daripada Melayu dikuasai oleh kaum-kaum lain.

Begitu juga dengan semangat Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang berasaskan kepada Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, yang berkuat kuasa pada 31 Ogos 1957.

Isu-isu Melayu yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu itu direkabentuk untuk mewujudkan sebuah negara aman dan harmoni, bagi mengalak perbalahan kaum, dengan mempertahankan kedudukan Melayu daripada dikuasai noleh kaum lain, pada waktu sama memberi kebebasan dan ruang kepada kaum lain untuk hidup dan makmur.

Hakikatnya ialah Tanah Melayu terdiri daripada negeri-negeri Melayu yang kedaulatannya terletak pada Raja-Raja Melayu termasuk Melaka dan Pulau Pinang di mana Yang di-Pertuan Agong sebagai wakil kepada Raja-Raja Melayu berdaulat ke atasnya. Inilah inti Perlembagaan Persekutuan yang wajar dijuarai oleh PAS.

No comments

Powered by Blogger.