RPK – Apa Orang Melayu Perlu Tahu

Masalah pemahaman kita terhadap RPK adalah kerana nama ikonik ini hanya dikaitkan dengan laman Malaysia Today. Zaman silamnya, pengalamannya dan sejarahnya tidak diketahui.

Suflan Shamsuddin

Sebagai orang Melayu, retorik Raja Petra Kamaruddin mudah disalah faham.

Beliau tegas dalam perlakuan dan kata-katanya. Putuskan ketagihan terhadap Dasar Ekonomi Baru, jangan sesekali memberi muka kepada rasuah dan kronisme, jiwai nilai-nilai universal dan percayalah bahawa tindakan-tindakan UMNO adalah bagi mengekalkan kita dalam suatu keadaan yang tidak akan memajukan bangsa demi kepentingan politik parti itu sendiri; Inilah di antara peringatan-peringatan pentingnya. Tamparan hebat akan dia berikan kepada sesiapa pun sekiranya beliau merasai kelakuan sipolan itu memalukan agama yang indah ini.. walaupun RPK sedar beliau akan dikecam oleh pihak berkuasa.

Jika sebagai seorang Melayu, kita tidak memahami konteks atau latar-belakang hujah-hujah beliau, mungkin mudah menganggap bahawa beliau berkelakuan sebegitu untuk memuaskan hati orang bukan Melayu. Mungkin mudah untuk menganggap beliau sebagai seorang yang ingin menjatuhkan martabat orang Melayu itu sendiri. Mungkin senang menganggap beliau sebagai seorang pengkhianat bangsa.

Orang Melayu patut sedar, RPK itu BUKAN musuh. Beliau BUKAN pengkhianat.

Masalah pemahaman kita terhadap RPK adalah kerana nama ikonik ini hanya dikaitkan dengan laman Malaysia Today. Zaman silamnya, pengalamannya dan sejarahnya tidak diketahui.

Jika kita kaji latarbelakang RPK sebelum beliau menjadi penulis blog, kita akan sedari bahawa beliau jauh lebih banyak menolong orang Melayu dengan darah, peluh dan air mata sendiri, jika dibandingkan dengan kebanyakan ahli politik UMNO dalam lingkungan hidup politik mereka. Ya, memang senang untuk ahli politik memberikan hadiah, dan mengungkapkan janji-janji manis untuk membina hospital dan sekolah bagi rakyat, apabila duit itu bukanlah duit mereka.

Sumbangan RPK dalam membantu orang Melayu, terutamanya pada masa beliau menetap di Kuala Terengganu, termasuklah memberi suara kepada isu isu yang menimpa masyarakat tempatan; dan mengorbankan kederat dan menggunakan pendapatan beliau sendiri untuk membela nasib mereka; semuanya tanpa bantuan dari jentera politik. Beliau pernah membantu dalam pembinaan sekolah untuk orang Melayu yang da’if dan memastikan bahawa mereka mendapat peluang untuk mengaji al-Quran dan ilmu Fardhu Ain. Beliau juga telah bersusah-payah untuk memastikan orang Melayu tidak menghadapi kesusahan yang terlampau dalam menyahuti cabaran untuk hidup tanpa bantuan khas, melahirkan suara tajamnya di pelbagai perjumpaan dengan ahli-ahli kabinet, dalam jawatannya sebagai ahli senior Dewan Perniagaan Melayu Malaysia. Beliau pernah bertugas sebagai pengerusi kepada jawatankuasa beberapa masjid, dan juga Persatuan Ibu Bapa dan Guru di mana Melayu adalah majoriti di sekolah tersebut. Raja Petra juga pernah dipenjarakan demi memelihara nilai-nilai Islam yang beliau mendapati telah dicemari mereka yang kononnya berkuasa dan berhak bersuara berkaitan isu-isu berkenaan Islam. Masih terdapat banyak lagi sumbangan beliau yang tidak terkira.

Bagi saya, beliau berhak untuk menyuarakan pendapatnya. Walau pedih mana sekalipun kata-katanya, saya perlu menerima hakikat bahawa perlakuannya telah menunjukkan di mana terletaknya hati beliau. Percaya atau tidak, beliau berkelakuan terhadap orang Melayu seperti mana seorang Pak Cik yang penuh kasih sayang berkelakuan, tanpa segan silu membetulkan kesilapan kita, menengking bila rasa perlu… semua kerana kasih sayang, beliau mahukan yang terbaik untuk kita. Kerana beliau telah melakukan banyak untuk kaumnya sendiri, dan tetap akan sebegitu. Beliau memikul tanggungjawab untuk menampar diri kita dengan realiti, demi kebaikan kita dan membangunkan kita dari tidur.

Beliau mengingatkan kita bahawa kita mestilah belajar hidup bersatu padu dengan kaum kaum lain jikalau orang Melayu ingin mencapai kejayaan sebagai suatu masyarakat, dan bersaing dengan kesama-rataan jika kita ingin benar-benar bebas. Beliau memberitahu kita bahawa untuk menjadi seorang Melayu dan Muslim yang baik, kita perlulah mempunyai kompas moral yang tidak mudah berganjak, perlulah menerima kritikan dan mengambil tanggungjawab, dan sanggup mengubah nasib sendiri serta tidak menjadi hamba kepada golongan ahli politik yang elit.

Mungkin orang Melayu perlu mencari apa lagi perbuatan beliau, dan bertanya kepada diri sendiri, “Apakah yang telah aku sendiri buat untuk bangsaku?” sebelum bercakap buruk tentang beliau.

Kita semua berhak menyuarakan pendapat masing-masing di dalam debat berkenaan masa hadapan Negara kita, sebagai rakyat Malaysia atau mana-mana ahli komuniti. Walaupun Raja Petra dan mereka mereka yang seumpama beliau berani mencabar retorik kebiasaan UMNO, berkenaan DEB, Ketuanan Melayu atau apa sekalipun, ia tidak menjadikan beliau seorang pengkhianat bangsa. Sebaliknya, beliau tidak lain dan tidak bukan, seorang pejuang kaum Melayu.

Demi kebaikan kita sendiri, adalah wajar kita tidak menepikan pandangan mereka-mereka yang mempunyai hanya kepentingan kita di hati mereka, dan juga seluruh rakyat serta tanahair tercinta, biar pedas mana kata-katanya sekalipun.

Sekian. Wassalam.

http://mt.m2day.org/2008/content/view/25563/84/

No comments

Powered by Blogger.