Saiful islam Bercakap Soal Pas Dan SS Dr Maza

Abu Saif
23/11/2007 | 10:44 pm

Terima kasih atas komen saudara. Keikhlasan saudara jelas terpancar pada bait-bait yang diungkapkan, dan semoga Allah mengganjarinya.

Saya bersama SS Dr. MAZA membina manhaj jauh sebelum beliau bergelar doktor dan mufti. Pandangan saya sangat terkesan oleh apa yang saya tahu beliau tahu.

Tidakkah kita pernah cuba membayangkan apa yang telah dan sedang dibuat oleh PAS terhadap isu syiah? Tidakkah ada kemungkinan di sana ada pelbagai usaha yang dilakukan oleh PAS untuk menangani hal ini? Saya lontarkan soalan ini kepada yang melihat PAS dari luar, tetapi bagi Dr Maza yang pernah melihat dari dalam, tentunya beliau lebih faham.

Figure seperti Muhammad Sabu mempunyai kekuatan yang cukup untuk beliau bergerak sendiri dan membina pengaruh sendiri. Tidakkah kita pernah terfikir bahawa Muhammad Sabu yang ada sekarang adalah Muhammad Sabu yang berada di dalam lingkungan nasihat dan ‘kawalan’ pimpinan tertinggi PAS, berbanding membuangnya keluar dan beliau bergerak sendiri? Muhammad Sabu bukan tokoh sehari dua ini. Dia sudah menjadi hardcore PAS sejak sekian lama. Bandingkan pengaruhnya pada tahun 90an (tahun Dr Maza masih di dalam PAS) dengan beliau sekarang? Apakah tidak ada perubahan? Jika ada, dari manakah datangnya perubahan itu?

Tetapi seolah-olah Dr Maza masih merujuk kepada Muhammad Sabu tahun 1995, PAS tahun 1996. Mengapa? Apa implikasinya semua ini? Saya lontarkan semua ini supaya kita fikir.

PAS bukanlah terdiri daripada wajah-wajah yang memusuhi dr maza dan yang dimusuhi dr maza semasa beliau di dalam PAS. PAS adalah sebuah badan yang mempunyai keahlian mencecah hampir 1 juta orang! Ia bukan suatu yang untuk dibanggakan, tetapi terbayangkah anda betapa sulitnya untuk PAS menyeragamkan ahlinya dengan satu manhaj, satu fikrah, satu suara, satu baju, satu serban?

Sebahagian ahli PAS masuk ke dalam PAS melalui pintu Tarbiyah, iaitu mereka yang mengikuti usrah dan sebagainya. Mereka ini boleh dibentuk pemikirannya bahkan memang golongan inilah yang mencorakkan perjuangan PAS. Tetapi jangan lupa, sebagai sebuah parti politik, sebahagian ahli PAS adalah mereka yang masuk ke dalam PAS melalui pintu politik. Mereka masuk kerana kesedaran politik. Mereka mungkin pemandu lori, peniaga, buruh kasar, mungkin juga seorang pensyarah dan profesor… tetapi mereka disatukan oleh suatu kesedaran tentang jeleknya kezaliman dan penindasan mereka yang menindas di negara kita.

Apakah mereka ini solat lima waktu? Apakah mereka ini khatam Quran setahun sekali? Apakah mereka ini membaca al-Mathurat? Apakah mereka ini semuanya jelas tentang garis pembeda di antara manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah, Syiah, Khawarij dan Murjiah dan Muktazilah? Usahkan saya, Presiden PAS pun sulit mahu menjawabnya. Inilah realitinya, kesan membuka keahlian kepada semua, kerana PAS percaya, penyertaan orang ramai tanpa batas ke dalam PAS atas kesepakatan mereka kepada prinsip yang PAS perjuangkan, adalah satu langkah penting ke arah memperbaiki kehidupan mereka, dan kehidupan Malaysia sebagai sebuah negara.

PAS tidak seperti ABIM atau JIM atau ‘Geng Sunnah’ yang menarik ’satu jenis’ keahlian. Orang-orang JIM, ABIM, dan pengikut Dr Maza mempunyai wavelength yang dekat, dan lebih mudah dididik. Ia suatu kelebihan, tetapi ia mungkin tidak mencerminkan realiti sebenar masyarakat. It’s an alternate reality!

Ketika Dr Maza mengkritik PAS, dan kritikannya menjadi ikutan kepada ‘geng Sunnah’ pula untuk turut sama mengkritik PAS, Dr Maza tahu akan semua realiti di dalam PAS ini.

Maka seruan saya ialah supaya beliau jangan tersilap dengan membayangkan kritikannya kepada PAS adalah kritikannya kepada satu dua tiga atau empat orang pimpinan PAS yang tidak senang dengannya dan dia tidak senang dengan mereka. Tetapi apabila Dr. Maza mengkritik PAS, dia mengkritik 800,000 manusia yang pelbagai kepala, pelbagai taraf pendidikan dan pelbagai ragam.

Jangan campak mancis ke lubuk minyak.

Teguran yang baik adalah amat berguna untuk PAS. Tak ada sekelumit pun di fikiran saya untuk menafikan kelemahan-kelemahan PAS. Bahkan saya bukan di posisi untuk mempertahankan PAS kerana siapalah saya ini? Tetapi teguran menyindir dan seolah-olah tidak faham kepada apa yang ada di dalam PAS menjadikan usaha membawa manhaj tajdid ke dalam PAS hampir mustahil!

Dr Maza yang menyulitkan PAS untuk menerima perjuangannya. Jika Dr Maza yakin manhaj yang dibawanya adalah sesuatu yang baik, tidakkah dia terfikir yang 800 ribu ahli PAS juga patut menerima manhaj yang beliau bawa? Tetapi…

Kita semua tahu, selama ini Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Haji Abdul Hadi dan lain-lain pemimpin utama PAS, mereka juga berpegang dengan manhaj yang sama dengan Dr Maza. Tuan Guru Nik Aziz sedikit demi sedikit cuba memperkenalkan kitab Fiqh Sunnah kepada ahli PAS dan orang Kelantan, untuk menyuntik sedikit idea pemurnian mazhab ke masyarakat. Tetapi kehadiran Dr Maza dengan pandangan-pandangannya yang sering sinis kepada PAS memusnahkan segala-galanya. Akhirnya peminat dia tepu Salaf, dan PAS kelihatan sebagai kem khalaf! Apakah manfaat dari semua ini? Jika Dr. Maza lihat orang PAS semakin benci dengan geng Sunnah, jangan salahkan sesiapa, muhasabah balik apa yang beliau sebagai ikon salafi buat kepada PAS. Betapa banyak usaha tuan-tuan guru sebelum ini yang musnah akibat penyemaian benih perbalahan yang ditabur.

Dan semua ini berlaku dalam keadaan Dr Maza bukannnya jahil terhadap apa itu PAS.

Jika bantahan saya ini dinamakan ‘marah;, maka saya marah kepada Dr. Maza bukan sebab saya PAS, tetapi sebab saya bermanhaj salaf seperti Dr Maza. Dan pendekatannya menyulitkan penerimaan manhaj Salaf ini di dalam PAS. So, ia bukan isu jemaah centric atau taasub parti atau apa-apa yang seumpama dengannya.

Faisal Tehrani, saya tidak rasa beliau mewakili apa-apa yang bernama PAS. Beliau menulis di blognya sendiri bahawa beliau non partisan, maka treat him as himself, without any association with PAS.

Saya tidak pernah menulis se’terang’ ini.

Moga ada kebaikan, ameen.

http://saifulislam.com/?p=194#more-194

No comments

Powered by Blogger.