SHRDC Bantu Lahir Tenaga Mahir

SHAH ALAM, 21 Ogos - Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok, dan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali hari ini melawat Pusat Pembangunan Tenaga Manusia Selangor atau SHRDC yang menawarkan pelbagai kursus kerjaya.

Menurut Teresa Kok, kursus yang ditawarkan ini dapat membantu belia yang menghadapi masalah ke Universiti dengan melanjutkan pelajaran ke SHRDC.

Beliau juga mengusulkan supaya SHRDC mengadakan sesi taklimat kepada semua wakil rakyat negeri ini untuk menghebahkan kursus yang ditawarkan sebagai agensi kerajaan.

“Ini kali pertama kami ke sini untuk mendapat lebih banyak maklumat tentang SHRDC, dan kami harap satu sesi taklimat akan diadakan selepas Ramadhan ini untuk menghebahkan kursus SHRDC kepada wakil rakyat.

“Pusat ini dilihat sebuah pusat latihan yang bagus untuk melatih penuntut lebih berkemahiran, jadi saya syorkan kursus ini memang sangat menarik dalam industri ini,” katanya.

Teresa Kok berkata, peluang yang ditawarkan di pusat ini memberi manfaat kepada penuntutnya untuk belajar dan bekerja dengan pembiayaan sepenuhnya ke arah kerjaya yang lebih cemerlang.

Sementara itu, Dr Halimah Ali berkata, agensi ini juga dilihat sebagai pusat untuk meningkatkan modal insan di Selangor dengan melahirkan tenaga mahir untuk keperluan industri di negeri ini.

“Ingin melihatkan modal insan yang berada di Selangor ini mempunyai peluang semaksima mungkin dan juga kita di Selangor ini dalam proses untuk mengeluarkan K-Workers seramai mungkin.

“Kita mahu pekerja-pekerja mempunyai ilmu dan pengetahuan serta kemahiran sebab kita tahu Selangor sebagai industrial state, kita mahu pekerja-pekerja atau modal insan ini mempunyai kemahiran yang sewajarnya seperti yang dirancangkan oleh kerajaan negeri Selangor,” katanya.

Pengarah Eksekutif SHRDC, Tan Beng Teong berkata, Workers Techinal Transformation Program (WTTP) adalah program latihan yang unik dianjurkan oleh kerajaan negeri, pihak industri dan SHRDC sendiri.

Ia bertujuan memberi kompetensi dan inovatif yang bersesuaian dengan kehendak industri.

“Mereka yang berminat dengan Kursus yang ditawarkan di sini, boleh menghantar permohonan, dan kami akan mencari industry yang sesuai untuk mereka, jadi ia bermaksud program yang kami tawarkan akan dikenakan syarat temuduga dan akhirnya kemahiran dan pekerjaan menanti mereka di sini,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.