"Syndrome of denial":PR Kedah turut terjangkit?

Oleh Chan Wei See

Setelah lebih setahun Kerajaan Negeri Kedah diterajui Pakatan Rakyat, ketidakpuasan bukan Melayu semakin kedengaran. Namun demikian, kerajaan yang didominasi oleh PAS ini tetap bertanggapan bahawa pengundi Cina masih bersama dengan PAS. Dulu, pemimpin DAP, Lim Kit Siang sering menyindir bahawa Barisan Nasional dijangkiti "syndrome of denial"; kini, apakah PR turut terjangkit dengan sindrom ini?


Bukan Melayu semakin tidak tenteram dengan dasar demi dasar yang berunsur perkauman, tetapi bahang tersebut tidak dirasai PAS. Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah merangkap Exco kerajaan Kedah, Phahrolrazi Mohd Zawawi ketika ditemuramah MerdekaReview berkata, suasana hari ini disebabkan "ketidakpuasan segelintir orang telah diperbesarkan". Beliau yakin bahawa pengundi bukan Melayu tetap bersama dengan PAS.

Tidak menerima aduan

Phahrolrazi (gambar di kanan) yang memegang portfolio Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Pembangunan Luar Bandar, Membasmi Kemiskinan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air Dan Tenaga menganggap isu seperti peningkatan kuota perumahan bumiputera dan perobohan pusat penyembelihan khinzir, hanya mengundang bantahan mereka yang dipengaruhi kesannya. Kebanyakan rakyat Kedah tidak menganggap isu ini sebagai masalah yang besar.

"Yang ada masalah tu pemaju, tetapi hak rakyat negeri untuk memiliki rumah terjamin. Sekiranya ada aduan bahawa mereka tidak dapat membeli rumah, maka kita akan mengkaji dasar. Kami sedia mengkajinya pada bila-bila masa. Jikalau ada aduan tidak dapat beli rumah di kawasan Cina, kami akan lepaskan kuota bumiputera, kerana kami menjamin hak rakyat untuk memiliki rumah. Tetapi setakat ini kami masih belum menerima aduan orang umum, cuma pemaju yang mengadu," kata Phahrolrazi.

Beliau berkata, setelah PAS memberi penjelasan kepada penyokong bukan bumiputera, mereka memahami mengapa kerajaan negeri bertindak sedemikian. Sehingga kini, tiada aduan daripada pertubuhan Cina mahupun badan bukan kerajaan (NGO) bahawa orang gagal membeli rumah kerana peningkatan kuota perumahan untuk bumiputera, tambah Phahrolrazi.

Bukan hanya kerana dasar perkauman

Malah, Phahrolrazi mengingatkan wartawan bahawa rakyat menyokong PR bukan hanya kerana isu kuota bumiputera, juga kerana isu rasuah dan sebagainya.

Sebagaimana yang dikatakan Phahrolrazi, mereka yang melenting kerana "kuota perumahan 50% untuk bumiputera" hanyalah pemaju, tiada bantahan keras daripada rakyat Kedah. Namun demikian, dasar yang dilaksanakan oleh PAS dalam tempoh 30 bulan yang lalu, dicatat secara senyap oleh komuniti bukan Melayu, dan akan "dibalas" dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Pengundi bukan Melayu menjatuhkan kerajaan negeri BN bukan hanya kerana rasuah yang berleluasa, tetapi dasar perkauman yang diamalkan BN untuk puluhan tahun yang lepas. Dasar ini dianggap menjejaskan peluang warga Malaysia untuk bersaing secara adil. Seandainya PR mengingkari idealisme politiknya, malah mengulangi apa yang dilakukan BN, maka slogan yang berbunyi "untuk semua" tidak boleh dilaungkan oleh kerajaan negeri Kedah. Malah, manifesto ketua PR, Anwar Ibrahim untuk "mansuhkan DEB", menjadi semakin tidak meyakinkan.

Perobohan pusat penyembelihan khinzir

Selain kuota bumiputera, pertukaran plate nombor kereta Exco Kedah kepada perkataan jawi, pendedahan DAP bahawa "Dato Gong" yang disembah dan kuil Hindu akan dirobohkan oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (walaupun dinafikan MB kemudiannya), malah penolakan pelan peluasan pembinaan bangunan Persatuan Buddha, telah memberi persepsi bahawa dasar perkauman diamalkan.

Apabila isu tersebut dihebohkan, kerajaan negeri sering menuding jari kepada Majlis Bandaraya atau Majilis Perbandaran. Namun kedua-dua majlis ini di bawah pentadbiran Exco kerajaan, lantas mencungkil pertikaian bahawa kerajaan negeri tidak menjawab kepada rakyat.

Segala-galanya meledak selepas kejadian perobohan pusat penyembelihan khinzir. Setelah Majlis Bandaraya Alor Setar merobohkan pusat penyembelihan khinzir pada akhir bulan Jun 2009, DAP Kedah mengumumkan untuk keluar dari PR. ADUN Kulim, Lim Soo Nee dari PKR juga memberi had masa agar kerajaan negeri menyelesaikan masalah bukan Melayu dalam tempoh sebulan. Jikalau tidak, Ahli Majlis Perbandaran dan Ketua Kampung Kulim PKR akan meletak jawatan secara kolektif.

Walaupun DAP masuk semula PR selepas rundingan Lim Kit Siang dengan Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak, tetapi imej "PAS untuk semua" sedikit sebanyak terjejas. Sebagaimana yang disifatkan oleh Setiausaha Organisasi Kebangsaan, Teresa Kok, masalah di Kedah telah lama bertimbun.

Siri Pertama : Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah mungkin terkubur

Siri Kedua : Dasar cetus kemelut di Kedah

Siri Ketiga : Phahrolrazi nafi Kuota 50% dasar perkauman

*Chan Wei See ialah editor MerdekaReview, edisi Bahasa Cina. Tulisan ini diterjemah dan disunting Lim Hong Siang.



Ketika wartawan MerdekaReview membuat liputan di Alor Setar, kedua-dua pihak pemerintah dan pembangkang bersetuju untuk memindahkan pusat penyembelihan. Namun, memandangkan isu ini menyentuh sensitiviti perkauman, maka lokasi yang baru sukar ditentukan. Mereka memohon agar pusat penyembelihan yang asal jangan dirobohkan sebelum lokasi baru ditentukan. Pusat penyembelihan akhirnya dirobohkan, lantas mencetuskan bantahan yang keras.

Walau bagaimanapun, Phahrolrazi nampaknya tidak bimbang dengan keadaan sedemikian. Beliau berpendapat bukan semua orang Cina membantah perobohan pusat penyembelihan khinzir, misalnya penduduk yang berhampiran mengalu-alukan tindakan majlis perbandaran ini. Beliau menganggap masalah ini ditinggalkan kepada kerajaan PR kerana kerajaan BN sebelumnya tidak menyelesaikan.

Ditanya mengapa perobohan dilakukan sebelum lokasi baru ditentukan, Phahrolrazi menjawab, "Kalau tidak roboh, maka mereka tidak cari lokasi baru."

Beliau berkata, pada tahun 2006, BN telah memutuskan untuk merobohkan pusat penyembelihan khinzir, namun keputusan ini diketepikan kerana bantahan sebahagian komuniti Cina. Kerajaan PR Kedah bertanggapan, selagi tidak dirobohkan, maka semua pihak tidak akan bersungguh-sungguh untuk mencari lokasi yang baru. (Siri ke-empat, akan disambung)

No comments

Powered by Blogger.