Teoh Dan Tan Bergaduh Di Tandas Jam 2 Pagi.

Prosiding inkues kematian Teoh Beng Hock hari ini dikejutkan dengan kenyataan bahawa tercetusnya pergaduhan antara mendiang dan ahli Majlis Perbandaran Kajang, Tan Boon Wah di tandas pejabat SPRM.

Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Anuar Ismail berkata, beliau mendapat maklumat daripada pegawainya kira-kira jam 2 pagi bahawa berlaku pertengkaran pada 16 Julai lalu.

Kata Anuar : “selepas kematian mendiang , saya dimaklumkan oleh seseorang pegawai SPRM yang bernama Bulkini Paharuddin bahawa terdapat pergaduhan antara Tan Boon Wah dan si mati pada pukul 2 lebih dalam tandas SPRM Selangor,”.

Mohd Anuar berkata demikian ketika memberi keterangan sebagai saksi ke-16 buat kali keempat di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas, di Mahkamah Majistret, Shah Alam, petang tadi.

Keterangan itu dibuat bagi menjawab soalan peguam pemerhati SPRM, Datuk Abdul Razak Musa, sama ada beliau mendengar sebarang berita selepas mengetahui mengenai kematian Teoh.

Tan berada di pejabat SPRM pada hari tersebut sebagai saksi, berhubung siasatan terhadap peruntukan DUN Selangor.

Mohd Anuar juga menegaskan bahawa beliau tidak setuju dengan kenyataan peguam yang mewakili keluarga Teoh, Gobind Singh Deo yang berkali-kali menyatakan mendiang mati dalam tangan beliau sebagai pegawai penyiasat.

Anuar berkata,: “Saya tidak bersetuju dengan kenyataan peguam itu (Gobind) kerana saksi (Teoh) telah dilepaskan pada pukul lebih kurang 3.30 hingga 3.45 pagi dan dia dibenarkan untuk pulang,”.

“Bagaimanapun beliau minta kebenaran untuk berehat, pendapat saya beliau akan pulang selepas itu,” kata Anuar.

Teoh, 30, Setiausaha politik Exco Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam, selepas memberi keterangan dakwaan salahguna peruntukan kerajaan Selangor kepada SPRM di tingkat 14 bangunan itu. KEMALIA OTHMAN TVSELANGOR

No comments

Powered by Blogger.