Tujuh Wasiat: Bakal Jadi Koleksi Dongeng Melayu?

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Hrkh) – Hentikan penglipurlara mengenai tujuh wasiat raja-raja Melayu selagi tidak ada keberanian menuntut institusi-institusi Melayu dibebaskan dari kekuasaan Perdana Menteri, tegas Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

“Membangkitkan perkara itu hanya menjadi bahan gelak ketawa sahaja jika tidak berani bersuara sepatah pun supaya institusi-institusi Melayu dibebaskan dari kekuasaan Perdana Menteri.

“Kalau benar mahu menghentikan rasa tidak puas hati orang-orang Melayu, tuntut supaya peneraju-peneraju institusi-institusi yang dilihat sebagai institusi orang-orang Melayu seperti Mara, Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera dilantik sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong dan bertanggungjawab secara langsung kepada Jawatankuasa Parlimen,” katanya.

Pihak yang membangkitkan penglipurlara tersebut hakikatnya melakukan kerja sia-sia kerana setelah 52 tahun Umno menerajui pemerintahan negara ini, kata Mahfuz, ketujuh-tujuh wasiat tersebut telah dicabuli habis-habisan.

“Hanya Rejimen Askar Melayu sahaja yang boleh dianggap masih berbaki ciri-ciri asal,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena.

Menurut beliau, Islam yang diisytiharkan sebagai agama persekutuan pun diperlecehkan.

(Harakah)

“Penglipurlara” yang dimaksudkan itu timbul ekoran titah Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah yang mengingatkan rakyat, khususnya orang Melayu mengenai tujuh wasiat Raja-Raja Melayu yang menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan jika mereka bersatu dan berpegang teguh kepadanya.

Wasiat yang disampaikan semasa Raja-Raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 ialah:

(1) Kami namakan dan kami panggil dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia);

(2) Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain;

(3) Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan Rejimen Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara;

(4) Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan Raja-Raja Melayu memerintah negara ini;

(5) Kami isytiharkan Islam adalah Agama Persekutuan;

(6) Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu;

(7) Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Kepentingan sah kaum-kaum lain. (Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

Mungkin ada yang tertanta-tanya kenapa Raja Muda Perak yang mengingatkan rakyat akan tujuh wasiat ini? Jawapannya tidak sukar kerana politik Perak ada ‘kelainan’ berbanding politik negeri lain. Akibat pergolakan yang berlaku, masyarakat Melayu dilihat berpecah dua, satu pihak menyokong BN dan satu pihak lagi setia kepada PR. Walaupun mahkamah telah memutuskan Menteri Besar yang sah milik Dr Zamry, tetapi masih ramai yang tidak dapat menerima kenyataan itu. Mereka masih yakin kepada Mohamad Nizar.

Sejauh mana orang Melayu, khususnya Melayu Perak akan ‘bersatu’ setelah menghayati tujuh wasiat ini, tiada siapa yang dapat menentukannya.

Sebagaimana yang dimaklumi, suara istana kurang keramat berbanding dengan suara orang politik. Walaupun istana merupakan titik perpaduan rakyat, tetapi sejak tahun 80-an perpecahan pula yang kelihatan menyerlah. Orang politik gemar mengheret istana ke dalam pergolakan politik sehingga rakyat menjadi keliru dan hilang keyakinan kepada istana.

Berbalik kepada tujuh wasiat itu, mungkin ramai orang Melayu sendiri yang tidak berapa tahu, dan bagi yang tahu barangkali telah terlupa. Maka tidak hairanlah apabila terdapat beberapa wasiat, misalnya berkenaan Tanah Simpaman Melayu, agama Islam dan bahasa Melayu semakin hari semakin tercabar kedudukan. Ini bukan kerana Melayu semakin lemah, tetapi kerana Melayu tidak sedar akan kepentingan tujuh wasiat tersebut.

Contohnya, kepentingan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, berapa ramai orang Melayu sedar akan kepentingan dan keperluannya? Kalau ramai yang sedar, tidak perlulah pencinta bahasa Melayu bertempik-tempik di forum atau seminar sehingga kering tekak, menyeru rakyat Malaysia mengutamakan Bahasa Kebangsaan dalam segala urusan, terutamanya urusan rasmi. semakin bertempik, semakin menjauh bahasa Melayu daripada urusan harian masyarakat.

Sikit lagi bahasa Melayu hanya akan jadi bahasa ‘rasmi’ amah Indonesia, atau buruh Bangladesh sahaja kerana mereka inilah yang sedang ‘mendaulatkan’ bahasa yang pernah menjadi Lingua Franca di bumi Nusantara itu. Kerana ‘kuasa’ mereka ini jugalah tauke Cina yang kaya raya, atau CEO Syarikat yang gah di bursa saham terpaksa bercakap Melayu.

Dalam mesyuarat di tapak binaan (site meeting) yang selama ini ditakluki bahasa Inggeris, Mandarin dan Kantonis, tetapi sejak pekerja Indonesia dan Bangladesh diterima menjadi penyelia syarikat sub-contraktor, maka bahasa Melayu terpaksa diterima pakai dalam mesyuarat. Projek tetap dapat disiapkan mengikut jadual. Sehebat mana bahasa itu, ia akan mengalah kepada kemampuan pengguna.

Tujuh wasiat itu apabila ‘dilaksanakan’ dengan betul, akan menjanjikan kesejahteraan, keamaman dan kedamaian, tidak siapa menafikannya. Akan tetapi siapakah yang berani ‘memperbetulkan’ tujuh wasiat yang dilihat telah terbabas dari landasan itu?

Maka pertanyaan Mahfuz Omar tidak boleh dibiarkan hilang bersama angin lalu kerana ia mengandung persoalan besar yang harus diperhalusi dengan matang. Pihak istana sendiri tidak cukup dengan bertitah sahaja, tetapi mesti memastikan setiap wasiat itu tidak dicabuli sesuka hati.

Sekiranya tidak dijaga dengan baik, bahkan dibiarkan dikuasai oleh pihak tertentu, maka tujuh wasiat akan jadi sebahagian daripada koleksi dongeng Melayu. satumalaysia

No comments

Powered by Blogger.