UMNO Cuba Pecahbelahkan Perpaduan Rakyat Selangor Dengan Isu Arak: Hassan Ali

SHAH ALAM, 11 Ogos - Tindakan pemimpin BN-UMNO memanipulasikan isu penjualan arak adalah semata-mata bagi mengelirukan pemikiran dan memecahbelahkan perpaduan rakyat Selangor yang berbilang kaum.

Malah UMNO dilihat terdesak sehingga sanggup mempolitikkan isu penjualan arak dengan tujuan melaga-lagakan parti komponen Pakatan Rakyat semata-mata untuk merampas kembali Selangor.

“UMNO dan Barisan Nasional cuba nak ambil kesempatan daripada isu-isu ini mengelirukan rakyat, saya rasa usaha mereka akan gagal sebab pemikiran rakyat lebih baik daripada pemikiran UMNO dan Barisan Nasional”, kata Dato’ Hassan Ali.

UMNO juga ketandusan strategi menakluk kembali Selangor setelah sekali lagi menimbulkan keresahan rakyat yang sebelum ini menggunakan isu penternakan babi berkelompok di Sepang tidak lama dahulu.

Natijahnya, usaha mereka gagal menjatuhkan Pakatan Rakyat walhal idea asal pembinaan bangunan penternakan babi itu daripada kerajaan Barisan Nasional yang lalu.

“Akhirnya kita tengok isu itu mati begitu saja kerana rakyat faham apa yang nak dilakukan oleh kerajaan negeri. Jadi mereka tidak puas hati dengan itu. Mereka mendapati satu sekarang ni, isu arak jadi isu arak ni sama dengan babi ialah isu yang kedua-duanya merupakan isu yang paling sensitif di antara golongan-golongan Islam dan bukan Islam”, kata Hassan Ali lagi.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Hassan Ali bercakap kepada TV Selangor bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri, Najib Tun Razak yang ingin Barisan Nasional merampas kembali Selangor daripada Pakatan Rakyat.

Sebelum itu, Pesuruhjaya PAS Selangor mengeluarkan kenyataan supaya Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu Tian Kiew digugurkan daripada jawatannya setelah beliau mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memulangkan kembali minuman keras yang dirampas dari sebuah kedai serbaneka di Sekysen 8, Shah Alam bulan lalu.

Sebagaimana yang termaktub dalam peruntukan undang-undang jenayah syariah dan undang-undang kecil kerajaan tempatan, masing-masing menetapkan beberapa terma dan syarat tertentu bagi mengawal penyalahgunaan penjualan arak khususnya dalam kawasan penduduk majoriti Islam.

“Keadaan kalau ada sedikit pun pertentangan pendapat di antara PAS dengan DAP terutamanya, ini adalah disebabkan oleh tafsiran kita kepada beberapa perkara perlaksanaan, yang pertamanya undang-undang jenayah syariah, yang keduanya peraturan-peraturan kecil yang sedang dipraktikkan di PBT-PBT, dalam konteks Shah Alam ini ialah di MBSA”, katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau berharap kepada semua pihak terutamanya media massa mendapatkan penerangan berhubung isu penjualan arak daripada Pesuruhjaya PAS Selangor sahaja.

“Saya harap hanya penerangan daripada Pesuruhjaya PAS Selangor sahaja yang dikira sebagai sahih yang lain-lain itu saya fikir adalah pendapat masing-masing yang tidak mewakili Parti Islam Semalaysia (PAS)”, tegasnya kepada pemberita. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

No comments

Powered by Blogger.