Usaha Pemuliharaan Sungai Klang Dipergiatkan

KLANG, 10 Ogos - Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Selangor yang diumumkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Jun lalu turut merangkumi projek pemulihan dan pengindahan Sungai Klang.

Projek pemulihan sungai itu memperuntukkan sebanyak 4 billion ringgit.

Sehubungan itu, kerajaan negeri mengadakan Bengkel Pemuliharaan dan Pengindahan Sungai Klang anjuran Majlis Perbandaran Klang (MPK)dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor bertempat di Hotel Goldcourse, Klang, pagi tadi.

Bengkel setengah hari itu diadakan bagi memberi kesedaran kepada semua pihak berkepentingan tentang peranan masing-masing dalam menjaga dan memulihara Sungai Klang agar bebas daripada pencemaran.

“Bengkel ini diadakan untuk membawa mereka yang ingin bersama memberi sumber tenaga, bakti dan pemikiran supaya usaha kita untuk memelihara sungai Klang ini dapat dinikmati, dipercayai dan disokong oleh semua pihak”, kata Menteri Besar.

Sungai Klang adalah salah satu sungai utama di Selangor yang panjangnya kira-kira 120 kilometer.

Cadangan pemuliharaan sungai di negeri Selangor ini bertujuan menjadikan Sungai Klang bersih dan bebas daripada pencemaran sesuai dengan tarafnya sebagai Bandar Diraja.

Kerajaan negeri juga berhasrat untuk meningkatkan penggunaan sungai sebagai laluan pengangkutan awam dan rekreasi di negeri ini.

Justeru, setelah kualiti air Sungai Klang dipulihara dan bebas daripada pencemaran air, secara tidak langsung turut mengingkatkan nilai tanah di sepanjang tebing sungai.

“Jika saudara sekarang nak membeli rumah di Klang, saudara mungkin boleh membelinya sekarang, kerana dalam tiga empat tahun akan datang, bila sungai klang ini bersih,nilai rumah saudara akan tinggi”, kata Tan Sri Abdul Khalid dalam ucapan perasmian bengkel tersebut pagi tadi.

Dalam perkembangan lain, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sudahpun memulakan usaha-usaha pemuliharaan ini dengan membuat pemantauan berkala dan penguatkuasaan khususnya kepada sisa buangan dari tapak pelupusan sampah sebelum ke sungai.

“Untuk macam pencemaran seperti di kawasan landfill, LUAS ada menubuhkan pasukan bertugas yang melibatkan agensi seperti Majlis Perbandaran, Pejabat Tanah, JPS dan Alam Sekitar. Kita akan melihat sejauhmana leachate sekiranya ada leachate yang keluar jadi kita akan bertindak secara pasukan bersama jabatan-jabatan yang lain, jadi kita akan maklumkan sekiranya ia termasuk dalam kawasan Jabatan Sisa Pepajal Negara untuk merawat sisa leachate tersebut”, kata Pemangku Pengarah LUAS, Nor Zamri Sondor.

Menurut Pemangku Pengarah LUAS, Nor Zamri Sondor, pihaknya turut menghadapi beberapa kesukaran dalam pemuliharaan air sungai, sebahagiannya berpunca daripada faktor cuaca dan alam sekitar.

Ekoran daripada itu, terdapat beberapa loji rawatan air mentah terpaksa ditutup akibat peningkatan kandungan ammonia dalam air sungai di Langat.

“Kita lihat sekarang ini, kalau ikut pencemaran, air minum kita dari sungai, 97 peratus, pada masa sekarang kita menghadapi masalah di Langat iaitu di loji Salak Tinggi dan loji Cheras Batu 11, yang mana kandungan ammonia meningkat pada waktu ini. Dua loji tersebut telah ditutup daripada akhir bulan Jun lebih dari sebulan, puncanya adalah faktor kecairan air tersebut kalau dulu air banyak, sekarang nie musim kemarau air sedikit di sungai jadi kandungan ammonia yang tinggi mencemarkan sungai tersebut”, katanya lagi.

Kira-kira 200 peserta hadir pada bengkel setengah hari itu.

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Mislan Tigiu; Exco Selangor, Iskandar Abdul Samad; ADUN Selat Klang, Dr. Halimah Ali, Speaker Dewan Negeri Selangor, Teng Chang Khim dan Pemangku Pengarah, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Nor Zamri Sondor. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

No comments

Powered by Blogger.