Wabak H1N1 terabai kerana pilihan raya kecil?

Oleh H Fansuri
“Saya hairan kenapa dalam kes H1N1 ini, kerajaan dan masyarakat kita seolah-olah tidak tefikir langsung nak buat solat hajat,” kata seorang wanita separuh abad ketika kumpulan penyelidik sedang berada di Kuala Terengganu 16 Ogos lalu.

Wanita itu, baiklah kita gelarkan namanya sebagai Puan Sarimah. Nama sebenarnya tidak didedahkan atas sebab mahu menjaga kerahsiaan.


Saya ketika itu termasuk dalam kumpulan pengkaji itu. Bualan ringan itu terjadi sebelum bual bicara serius dilaksanakan secara teratur.

Sebelum itu, seorang rakan juga membangkitkan isu yang sama. Beliau resah disebabkan kerajaan seperti tidak mengendahkan peranan solat hajat bagi mengelakkan wabak ini.

Mungkin tidak munasabah jika kita katakan bahawa kerajaan tidak ambil peduli berkaitan wabak yang semakin menggila penularannya kini.

Setiap kenyataan menteri jika nak diperhitungkan, sudah berbakul-bakul juga yang risau dengan perkembangan H1N1 ini. Tetapi, kenyataan adalah kenyataan, ia bukan tindakan.

Semua menteri boleh berkata bahawa mereka risau, mereka akan berbuat sesuatu dan apa saja kenyataan mereka itu tentunya menggambarkan keresahan mereka terhadap penyakit ini.
Sekali lagi, itu cuma perkataan, cakap-cakap kosong dan bukannya tindakan.

Adalah menjadi tanggungjawab sesebuah negara untuk menyediakan rawatan percuma ke atas rakyatnya. Kita tidak minta kondom dan jarum percuma.

Entah hasil kajian dari pihak mana kerajaan rujuk, lalu hasil daripada dapatan kajian itu merumuskan bahawa penagih dadah itu perlukan jarum dan kondom percuma.

Jarum dan kondom boleh diberikan secara percuma kepada penagih dadah yang sedikit jumlahnya berbanding penduduk Malaysia yang lebih ramai secara keseluruhannya.

Hal yang sama turut berlaku ke atas PPSMI. Entahlah kajian dan dapatan daripada mana, maka dengan tiba-tiba terger ak dalam fikiran pembuat dasar untuk menegakkan jadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam Sains dan Matematik.

Kembali kepada rungutan Puan Sarimah, rasa-rasanya ada benarnya rungutan beliau yang melihat bala Tuhan ini perlu disusuli dengan solat hajat.

“Dulu, sikit-sikit ada juga nak buat solat hajat, tapi dalam isu H1N1 ni, seperti tak dengar pun usaha-usaha nak buat solat hajat beramai-ramai,” kata beliau lagi.

Bagi sesetengah pihak, mungkin akan bersikap sinis, memandang remeh terhadap usaha-usaha ini. Bagi mereka, solat hajat itu mungkin usaha klasik. Dan, pada zaman ini tidak semua perkara boleh diselesaikan dengan solat hajat.

Kelompok manusia saintifik ini lebih suka jika kita berusaha keras mencari penawar dan vaksin bertujuan menyebuhkan penyakit selesema babi.

Bagaimanapun, sebagai Muslim dan dengan kedudukan negara ini yang diangkat sebagai Negara Islam, sekurang-kurangnya mestilah ada dalam fikiran negarawan dan pantadbir negara berhubung solat hajat beramai-ramai ini.

Langkah awal – solat hajat selepas solat Jumaat

Negara ini bukanlah tiada falsafah agama seperti di Barat. Dan, pemimpinnya bukanlah mereka yang tiada kepercayaan terhadap agama.

Kalau di Barat, memang layaklah mereka tidak ikhtiarkan upacara ritual untuk mengatasi masalah ini. Politikus Barat, walaupun beragama, tapi wajah agama di Barat jarang sekali dipersembahkan dalam bentuk ritual, dengan sebab kelemahan agama itu sendiri.

Bagi mencari ketenangan misalnya, manusia Barat tidak memilih gereja sebaliknya yoga dan amalan meditasi yang sangat rapat dengan ritual Hindu dan Buddha.

Tetapi, untuk kita menunggu kesedaran bahawa pemimpin kita akan memberikan topeng percuma dan menunaikan solat hajat, hal itu mungkin sukar.

Dalam situasi penularan wabak H1N1 ini juga segala aktiviti seperti JomHeboh, SuaRasa dan lain-lain anjuran konsert umum dan apa-apa bentuk perhimpunan yang mungkin akan menyebabkan penularan itu berlaku dengan cepat, wajar dihentikan segera.

Kita wajar bertanya – kenapakah seolah-olah kerajaan tidak peka masalah H1N1 ini. Ada satu penjelasan yang amat munasabah setakat ini; iaitu PRK di Permatang Pasir dan pesta kematian Adun yang berlaku selepas satu demi satu sejak akhir-akhir ini.

Maka tumpuan ke atas keselamatan negara sudah berkurangan ekoran tumpuan pemimpin sudah banyak terbabas kepada soal menarik sokongan dan undi rakyat dalam PRK.

No comments

Powered by Blogger.