Berita Mendukacitakan: Speaker DUN Kedah berhak cabar keputusan SPR: Dr M

ALOR SETAR: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah berhak mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengekalkan kedudukan kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Siputeh kepada Datuk Abu Hassan Sarif jika ada peruntukan undang-undang yang membolehkan perkara itu dibawa ke mahkamah.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata negara ini ada undang-undang yang perlu dipatuhi, oleh itu tidak salah jika ada peruntukkan yang membolehkan keputusan SPR mengekalkan kerusi DUN Kota Siputeh kepada Barisan Nasional (BN) itu dicabar Speaker yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu.

“Itu hak masing-masing berdasarkan undang-undang. SPR sudah buat keputusan dan ada pihak tidak berpuas hati, terpulang kepada mereka.

“Apa yang penting ialah tanggungjawab wakil rakyat yang perlu hadir ke Sidang DUN kerana mereka dibayar gaji dan dapat pelbagai kemudahan untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Jika tidak dapat hadir ia perlu dimaklumkan dengan alasan tertentu bagi mendapatkan kebenaran Speaker DUN.

“Perkara ini bukan baru. Zaman saya dulu ramai juga wakil rakyat tidak hadir sidang tetapi masa itu tidak ada siapa ambil tindakan,” katanya selepas melawat Kompleks Pekan Rabu di sini, semalam.

Beliau diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung sambil membeli kuih serta pakaian.

Akhbar ini semalam melaporkan, Speaker DUN Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail akan mencabar keputusan SPR mengekalkan kedudukan Adun Kota Siputeh. Dr Abdul Isa berkata, pihaknya memfailkan tuntutan di mahkamah dalam tempoh 14 hari.

Mengenai isu persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diadakan pakatan pembangkang Perak di Ballroom, Hotel Heritage, Ipoh, beliau berkata, persidangan itu tidak sah dari segi undang-undang dan tidak perlu diambil peduli oleh rakyat kerana ia hanya taktik pembangkang untuk menarik sokongan semata-mata.

Dr Mahathir berkata, pembangkang hanya mahu menarik perhatian dan sokongan rakyat walaupun tahu ‘sidang DUN’ mereka tidak rasmi serta tidak sah di sisi undang-undang.

“Tujuan dia nak cari undi, nak menunjukkan betapa teruk BN. Kalau kita halang, nampak lagi buruk. Biar pi dia buat. Buat apa ambil peduli. Bukan ada taraf rasmi,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.