Hishamuddin Tahu Ke Maksud Pilih Bulu? Jangan Pandai Cakap Jer!

Isu kuil: Polis tidak 'memilih bulu' - Hishammuddin

Oleh NURUL AIN MOHD. HUSSAIN

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihak polis tidak pernah 'memilih bulu' dalam melaksanakan tugas mereka untuk membendung sebarang perselisihan faham antara kaum atau agama.

Sambil merujuk kepada insiden ketegangan antara umat Islam dan penganut agama Hindu ekoran peristiwa membawa kepala lembut di hadapan pejabat SUK Negeri Selangor baru-baru, Hishammuddin berkata, jika terpaksa bertindak, pihak polis akan bertindak mengikut fakta kes.

Bagaimanapun beliau berharap isu tersebut akan dapat diselesaikan secara baik dengan kerjasama daripada pihak-pihak yang terlibat dalam mencari lokasi yang sesuai untuk membina kuil yang telah ditempatkan untuk dibina di Seksyen 23 Shah Alam oleh Kerajaan Pakatan Rakyat.

"Isu ini merentasi agama dan kaum dan dalam hal ini kita ingin tegaskan jika seseorang itu didapati salah di sisi undang-undang kita akan ambil tindakan.

"Kalau kita tengok dua hari lepas, tindakan polis tidak 'memilih bulu', di Kg Buah Pala, yang ditangkap dan ditahan Pemuda MIC sementara di sidang Dewan Undangan Negeri Perak, yang ditahan merupakan wakil-wakil rakyat pembangkang dan mereka yang melanggar undang-undang.

"Prinsipnya, dari segi keselamatan, kedamaian, keselamatan dan kestabilan negara itu tugas pihak berkuasa.

"Kalau itu menjadi pendirian yang konsisten saya rasa orang ramai akhirnya akan melihat apa yang kita (pihak berkuasa) lakukan ini tidak ada disebabkan oleh agenda-agenda lain. Salah tetap salah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Pindaan Perlembagaan Umno di Menara Dato'Onn pada Jumaat.

Baru-baru ini, 50 penduduk Seksyen 23 Shah Alam berkumpul di pintu masuk Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah bagi membantah pemindahan kuil ke kawasan mereka.

Bagaimanapun ketika demonstrasi itu diadakan terdapat penduduk membawa kepala seekor lembu sebagai tanda protes.

No comments

Powered by Blogger.