Ibrahim Ali Kepala Lembu!

Saya sudah jangka bahawa Datuk Ibrahim Ali akan muncul di celah-celah kepala lembu bersama keperkasaannya. Selaku Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) beliau tidak boleh berdiam diri. Barangkali ada yang menuduhnya menyibuk, itu tidak menjadi hal kerana Perkasa sememangnya memperjuangkan keperkasaan Pribumi.

Di tengah hujan yang saban hari mencurah di Lembah Klang, pihak Perkasa bergegas ke Seksyen 23 Shah Alam. Mereka membuat tinjauan dengan menemuramah penduduk. Maka hasil tinjaunan tersebut mendapati bahawa penduduk tidak mendapat hasutan daripada mana-mana pihak. Penduduk juga tiada niat menghina mana-mana kaum, terutamanya penganut Hindu.

Kata Ibrahim Ali, kepala lembu itu sebagai simbolik menunjukkan bahawa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan barisan Exco kerajaan negeri yang “bodoh” seperti lembu yang mudah dicucuk hidung.

Bernas sungguh hasil tinjauan oleh anak buah Ibrahim Ali. Saya percaya Ibrahim Ali “bercakap benar” kerana YB Pasir Mas, Kelantan ini tidak suka berbohong. Kalau “lompat” katanya, dia betul-betul lompat. Kalau derhaka katanya, dia betul-betul derhaka. Malah dia juga ada kesungguhan dalam tindakan. Siapa yang kenal dia pasti tahu bagaimana dia memujuk dan merayu Tok Guru menyokongnya dalam PRU 2008. Selepas menang, Ibrahim Ali pun jadi seperti Ibrahim Ali yang dulu-dulu.

Cuma terdapat sedikit kemusykilan. Kenapa baru sekarang, selepas 1Malaysia mengutuk tindakan provokatif dan kurang cerdik itu, barulah kepala lembu “diletakkan” ke atas kepala MB dan barisan Exconya? Alangkah baiknya kalau pada hari perarakan tersebut, terus beritahu bahawa kepala lembu ini tiada kaitan dengan mana-mana kaum, apatah lagi berniat menghina penganut Hindu, melainkan sebagai simbolik memprotes tindakan MB dan kerajaan negeri.

Sewaktu perarakan bukan main bersemangat. Kepala lembu dipijak dan ditendang. Marah kepada Kerajaan Selangor, tetapi kepala lembu yang dipijak. Cerdik sangatkah perbuatan itu? Seandainya kepala lembu boleh bercakap, pastinya ia akan berkata: “Baculnya manusia ini. Marah orang, kepala aku yang ditendang. Kalau berani, kalau jantan, pergilah tendang kepala orang yang kamu marah tu!”

Akibatnya 1Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya. UMNO, MIC, PKR dan PAS melahirkan kekesalan masing-masing. Harap-harap kekesalan itu bukan kepura-puraan. 100 laporan polis dibuat. Desakan diambil tindakan tegas ke atas mereka yang bertanggungjawab dilaungkan di sana sini. Maka gedeber-gedeber yang “tersilap” langkah mula kecut telur. Tiada siapa mengaku membawa kepala lembu. Menurut penduduk Seksyen 23, tindakan provokatif itu dilakukan oleh pihak luar.

Lain kali kalau ada pihak luar datang ke tempat kita ingin melakukan tindakan provokatif, kita wajib menegahnya. Tempat kita adalah tanggungjawab kita.

Walau apapun alasannya, siasatan polis yang bakal siap akan membongkar segala persoalan. Diharapkan semua pihak bersabar dan tidak mengeruhkan lagi keadaan. Parti politik, NGO atau individu usahlah mengambil kesempatan menangguk di air keruh kerana isu keagamaan bukan sebarangan isu kerana ia mudah mencetuskan perbalahan.

Sekiranya kontroversi ini sukar untuk diselesaikan, adalah bijak Kerajaan Selangor merujuk kepada Sultan yang merupakan lambang perpaduan rakyat berbilang kaum. Nasihat daripada Baginda Sultan boleh dijadikan jalan penyelesaian.


sumber

No comments

Powered by Blogger.