Keseimbangan dalam menilai kebenaran

Salah satu fenomena politik di negara kita ialah bila mana jika pertubuhan, organisasi atau individu yang tidak berpihak kepada satu pihak, mesti dianggap berpihak kepada pihak yang satu lagi. Ini adalah satu sikap yang tidak wajar dan patut dibendung. Ia terjadi samaada kepada pihak yang terlibat mahupun pihak ketiga iaitu pihak pemerhati.

Kenapa ia terjadi? Salah faktor utama adalah sikap melampau yang dibutakan dengan emosi dalam sesuatu pertubuhan atau kumpulan ataupun parti. Mempunyai kumpulan atau parti tidaklah salah, tetapi yang patut dihindar itu ialah sikap melampau yang menghasilkan sikap asabiyyah iaitu sikap berpuak-puak sehinggakan apa sahaja yang dipertikaikan atau sesuatu yang tidak sama dengan puaknya mesti dianggap salah. Pihak yang mengkritik puaknya akan dihukum samaada secara caci maki, maki hamun ataupun dengan kekerasan.

Mereka yang mempunyai daya intelektual yang bebas dari belengu pengikut, hawa nafsu serta kepentingan pastinya tidak bersikap demikian. Mereka bebas dari sempadan kepartian mahupun kepentingan yang setiap hujah dinilai atas ketepatan fakta, bukan emosi serta bebas dari belengu mana-mana pihak. Malangnya golongan ini dilihat terlalu sedikit pada hari ini. Kita lebih memerlukan ramai intelektual yang bebas dalam memberi pandangan supaya menjadi contoh kepada orang awam dalam membuat penilaian. Semestinya menyatakan kebenaran teramatlah perit jika tidak sama dengan pandangan atau pemikiran lama , tetapi jika ditunjangi dengan wahyu ilahi berpaksikan tawakkal dalam menyatakan kebenaran, maka itu adalah sangat kita harapkan. InsyaAllah. Maka, tidak akan wujudlah individu yang memberikan pandangan dengan memikirkan periuk nasi semata-mata.

Kalau tidak putih, mesti hitam. Begitulah pola pemikiran orang melayu yang boleh menyumbang kepada kemunduran pemikiran sehinggakan seseorang yang berpendidikan tinggi, mempunyai PHD sekalipun , ada yang berperangai sedemikian. Entah kemana tahap pemikiran intelektualnya bila sampai kepada bab politik, terus dibuat kesimpulan dan tuduhan yang bukan-bukan. Sudahlah dalam agama pun mereka jumud. Emosi yang lebih diutamakan berbanding fakta serta hujah. Tetapi perkara sebaliknya berlaku dalam bidang akademik mereka. Inilah yang terjadi bila ilmu tidak diamalkan.

Bagaimana menghindari dari sikap sedemikian? Pertama sekali, jika hendak menilai pendapat sesuatu pihak, nilailah dengan akal yang rasional serta bebaskanlah dari pemikiran berpuak-puak. Inilah pemikiran yang benar serta adil. Semua pandangan, pendapat, cadangan atau apa sahaja mestilah didasari dengan kebenaran. Demikian juga dalam beragama terutamanya di dalam bab fekah. Ramai yang menolak bulat-bulat atau terus melebel-lebelkan seseorang jika pandangannya tak selari atau kononnya bercanggah dengan amalan masyarakat walhal pandangannya adalah bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah. Nilailah dahulu pandangan yang diberikan, bukan melihat kepada siapa yang memberi pandangan. Hatta jika suatu pandangan dikemukan oleh fakir miskin, jika benar maka hendaklah kita menerimanya tanpa melihat statusnya . Demikian juga jika pandangan dari mereka yang mempunyai pangkat dan kedudukan, kita perlu menolaknya jika ia tidak benar.

Fitnah dalam politik masih lagi membadai negara kita. Maka, bagi mereka yang tidak tahu menahu dan hanya bersangka serta membuat penilaian dengan akal yang terbatas sahaja , awaslah kerana setiap hasad, kata-kata, caci maki, pembohongan mahupun akan dipertanggungjawabkan dan boleh mengundang dosa yang tidak semena-mena. Sekarang ini rakyat tahu telah berlakunya pertembungan antara dua belah pihak di atas teater politik. Walaupun pertembungan ini tidak berlakunya peperangan dengan senjata, tetapi jika ia tidak dikawal akan menyebabkan perpecahan yang lebih besar akan berlaku. Cara yang paling selamat adalah tidak menyebelahi mana-mana pihak dan berada di tengah-tengah. Tetapi jika salah satu telah melampau, maka wajib bagi kita memerangi puak yang melampau seperti dalam firmah Allah S.W.T yang bermaksud: Sekiranya ada dua golongan daripada orang-orang beriman berperang maka damaikanlah antara keduanya. Jika salah satu golongan itu melampau terhadap yang lain maka perangilah golongan yang melampau itu sehingga mereka kembali kepada perintah Allah. Jika golongan itu telah kembali maka damaikanlah antara keduanya dengan `adil, dan berlaku `adillah kerana Allah sukakan mereka yang melakukan keadilan (Surah al-Hujurat: 9). Hanya berserah kepada Allah S.W.T semata-mata. Moga diberi keadilan dan kerahmatan dalam negara kita.

Buanglah sikap ‘kalau tidak putih mesti hitam’. Kita mestilah terbuka dalam penilaian. Kebenaran itu kebenaran. Kebenaran itu dari fakta, dalil serta hujah. Tulisan ini tidak menyebelahi mana-mana pihak, tetapi cuba melontarkan pandangan yang lebih adil untuk direnung-renungkan. Pemikiran kita hendaklah bebas dan tidak dibatasi oleh sempadan parti, puak mahupun kaum. Tetapi pemikiran kita hendaklah bertunjangkan kebenaran yang diselaputi hujah fakta, dalil serta nas yang berada dalam kerangka pemikiran yang rasional dan matang. Inilah yang paling kita harapkan.

sumber

No comments

Powered by Blogger.