PAS perlu sedia tampung semua aliran pendapat

Oleh Abu Firdaus

Apabila disebut PAS untuk semua, ia merupakan satu pembaharuan yang besar dan bermakna, bermula sejak tahun 1999, tetapi mempunyai asal usulnya pada tahun 1986 apabila ditubuhkan Majlis Perundingan Cina (CCC) dan kini hanya berlaku pada tahun 2008 melalui penubuhan Kelab Penyokong PAS.


Walaupun slogan ini bertujuan untuk menarik sokongan daripada bukan Islam, baik dari kalangan kaum Cina dan India yang beragama Kristian, Buddha, Konfusius, Tao, Hindu dan Sikh tetapi dari segi dimensi lain, ia juga boleh ditafsirkan sebagai usaha untuk menarik orang Islam yang tidak berpegang kepada fahaman tradisional PAS.

Memang pada asasnya pendekatan untuk mempunyai hubungan dengan bukan Islam itu adalah untuk meraih undi tetapi ia mempunyai asas dari segi manhaj perjuangan gerakan Islam dari sudut berdakwah. Maka apabila disebut berdakwah, bukanlah semata-mata dirujukan kepada pihak bukan Islam tetapi juga kalangan Islam sendiri. Justeru, Islam untuk semua adalah juga usaha dakwah dari kalangan orang Islam yang tidak berpegang kepada fahaman PAS.

Namun begitu, ketika zaman sedang berubah dengan kepelbagaian pandangan lebih luas dipegang dan diutarakan melalui teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang tidak mengenal sempadan, 'PAS untuk semua' perlu bererti membuka parti itu kepada kepelbagaian pandangan yang beragam tetapi mempunyai asas dan hujah atas Islam, tanpa mengorbankan perpaduan dalam jemaah.

Sebenarnya dari dulu PAS berupaya menampung pelbagai pandangan politik. Umpamanya, pada tahun-tahun 50-an dan 60-an, PAS mampu menanungi pandangan daripada aliran kiri dan kanan yang berbeza tetapi berada dalam parti. Tentu apa yang dipegang oleh Dr Burhanduddin Al-Hilmy yang dianggap kiri berbeza daripada banyak ulama dalam PAS yang dilihat sebagai tradisional dan konservatif.

Begitu juga pada tahun 80-an apabila sebahagian ahli PAS mendokong pemikiran yang pro-Revolusi Islam Iran, malah tidak kurang pula yang pro-Syiah, sementara ada pihak lain pula lebih berpihak kepada Ikhwanul Muslimin, malah Wahhabi yang tidak senang dengan pemikiran Syiah. Pelbagai aliran dalam PAS, umpamanya Suara Islam dan IRC, semua itu menunjukkan bahawa PAS mampu bersifat parti untuk semua aliran Islam.

Itu adalah asas. PAS wajar merupakan parti politik yang menampung aspirasi semua aspirasi gerakan Islam. Sama ada daripada kalangan pemikiran ABIM umpamanya, ataupun JIM. Perkara ini dapat dilihat apabila berlaku kebangkitan Reformasi pada tahun 1999 dengan PAS di bawah Allahyarham Fadzil Noor memberi dokongan penuh kepada Anwar Ibrahim dan penubuhan Parti Keadilan Nasional dan gagasan Barisan Alternatif.

Tetapi kini keadaan lebih plural. Banyak fikiran Islam yang bukan merupakan sebahagian daripada fahamn tradisional tealh memasuki PAS. Perkara ini tidak dapat dielakkan. Pertama, apabila PAS menjadi parti yang semakin membesar, maka tentunya cakupan pelbagai fikiran menjadi lebih luas. Apa yang disebut sebagai aliran Erdogan dan UG hanyalah salah satu fenomena. Tetapi ia tidak harus menimbulkan perbalahan yang tidak berhemah, apatah lagi memecah-belahkan parti. Perbezaan pendapat pasti timbul. Bukan itu saja. Malah perbezaan aliran. Tetapi jangalah hendaknya ia memecah-belahkan parti.


Pada masa akan datang keadaan akan lebih plural. Orang PAS yang bermacam-macam pasti timbul. Kalau dilihat parti-parti besar di dunia, seperti Demokratik dan Republikan di Amerika Syarikat, pasti mereka menampung pelbagai aliran. Malah ada masa dalam pilihan raya, aliran-aliran ini menyokong pihak lain. Tetapi ia tidak menjejaskan Parti Republikan itu sendiri.

Bagitu juga pada satu masa PAS perlu juga muncul sebagai sebuah parti besar yang menampung banyak aliran. Mungkin ada antara bekas ahli-ahli Umno yang masuk ke PAS, tentunya fikrah mereka berlainan daripada orang PAS sejati. Tetapi PAS sebagai parti untuk semua harus juga menerima mereka.

Perbahasan mengenai dasar parti boleh dilakukan di peringkat dalaman dan kemudian dijadikan pegangan parti yang wajib diikut oileh semua parti. Tetapi parti tidak mempunyai kekuatan apatah lagi hak untuk menguasai pemikiran dan fahaman semua ahli-ahlinya. Masing-masing mempunyai kebebasan untuk mentafsir apa saja mengenai politik. Malah agama juga ditafsirkan secara berbeza-beza.

Keupayaan PAS menampung pelbagai fahaman ini adalah penting jika ia mahu muncul sebagai parti utama dalam Pakatan Rakyat. Jika dilihat kelebihan Parti Keadilan Rakyat mengatasi PAS dan DAP ialah bentuknya yang mampu menampung pelbagai aliran dan fahaman. Sememangnya parti yang mampu berbuat demikian mempunyai kelemahan dari segi disiplin dan keselarasan fahaman. Tetapi ia masih dapat diuruskan jika dipimpin dengan baik oleh ketuanya.

Setelah menyedari kedudukan PAS untuk semua ini, maka seseorang pendokong parti ini tidak harus berdukacita apabila ada ahli-ahli parti yang mempunyai sikap atau pendirian jauh berbeza daripada apa yang berpegang. Di peringkat parti wajar adanya kesedaran untuk menerima pandangan berbeza. Mampu bertukar-tukar pandangan tanpa sebarang dorongan untuk memaksa pandangan sendiri ke atas orang lain. Sikap berhemah ini merupakan budaya yang memerlukan masa untuk menyemainya.

Jika dalam parti perkara ini dapat diatasi, maka budaya demokrat ini boleh diperluaskan di kalangan Pakatan Rakyat dan selanjutnya ke seluruh amalan politik negara. Cara Umno dan Barisan Nasional yang berbentuk monolitik dan hierarki seperti yang dianjurkan oleh Dr Mahathir Mohamad melalui konsep the enlightened despot (diktator cemerlang) baik dari segi jangka pendek tetapi merosakkan dari segi panjang. Di situlah apa yang sebenarnya berlaku terhadap negara buat masa ini

1 comment

Kulup_Arapayung said...

Kerbau Bersuara
Pas mana boleh tampung semua aliran pendapat.Mereka pakar putar belit.La ni pun dok kat orang semua tak betul. Orang pas saje betul. Memang betul seuara kerbau.

Powered by Blogger.