Fidyah Puasa Dan Permasalahannya

Fidyah Puasa Dan Permasalahannya
(Bahagian Pertama)

بسم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن والاه

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Seseorang yang tidak berpuasa di bulan Ramadhan kerana meninggalkannya atas sebab-sebab keuzuran yang dibenarkan oleh syara‘ atau tidak berdaya menunaikannya, diwajibkan ke atasnya membayar puasa yang tertinggal, iaitu sama ada dengan menqadha puasa, atau dengan membayar fidyah ataupun kedua-duanya sekali (qadha dan fidyah), tertakluk kepada sebab-sebab dia tidak melaksanakan puasanya.

Qadha dan fidyah puasa merupakan tuntutan yang dikenakan ke atas orang yang meninggalkan puasa sebagai menebus atau membayar balik puasa yang telah ditinggalkannya. Namun begitu
keduanya dilaksanakan berdasarkan keadaan yang berbeza.

Sebagai contoh: Orang yang meninggalkan puasa dengan senghaja wajib mengqadha puasanya sejumlah hari-hari yang ditinggalkannya. Akan tetapi jika dia tidak mengqadhanya sehingga masuk bulan Ramadhan yang baru, maka dia tetap diwajibkan melaksanakan qadha puasa yang ditinggalkannya dan ditambah lagi dengan membayar fidyah kerana melengahkan qadha
puasanya sehingga masuk Ramadhan yang berikutnya.

Apa Dia Fidyah Puasa?

Fidyah bermaksud denda atau tebusan yang dikenakan kepada orang Islam yang melakukan beberapa kesalahan tertentu dalam ibadah. Ia juga merujuk kepada menebus ibadah dengan memberi sedekah kepada fakir miskin berupa makanan yang mengenyangkan.

Dalam ibadah puasa, fidyah dikenakan ke atas beberapa golongan yang tidak melaksanakan puasa kerana keadaan-keadaan berikut:

i. Orang yang sangat tua, maka atas sebab tuanya itu dia tidak berdaya melakukan puasa.

ii. Orang yang sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh, maka atas sebab sakitnya itu dia tidak berdaya melakukan puasa.

iii. Perempuan hamil atau perempuan yang menyusukan anak yang berbuka puasa kerana takut mendatangkan mudarat kepada anaknya jika dia berpuasa.

iv. Orang yang meninggalkan puasa, kemudian dia melengah-lengahkan atau melambatkan qadha puasanya sehingga datang bulan Ramadhan yang baru, sedangkan dia berdaya dan berkesempatan untuk mengqadhanya.

Fidyah Orang Tua Dan Orang Yang Sakit Yang Tidak Berdaya Melakukan Puasa

Orang yang sangat tua dan orang sakit yang tiada harapan untuk sembuh yang tidak berdaya melakukan puasa diharuskan berbuka pada siang hari bulan Ramadhan kerana keuzurannya itu.
Menurut Imam asy-Syafi‘e dan ulama-ulama mazhab Syafi‘e Rahimahumullah, orang tua dan orang sakit yang tiada harapan sembuh yang susah bagi mereka untuk berpuasa tidak diwajibkan berpuasa Akan tetapi mereka diwajibkan membayar fidyah.

Begitu juga tidak diwajibkan puasa yang dinazarkan oleh keduanya menurut pendapat yang ashah kerana mereka digolongkan orang yang lemah atau tidak terdaya untuk melaksanakan puasa tersebut. Mengenai orang yang sangat tua yang diwajibkan membayar fidyah ini sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya:
“Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tuanya dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.”
(Surah al-Baqarah: 184)

Menurut Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma bahawa kewajipan membayar fidyah sebagaimana dijelaskan ayat di atas adalah ke atas orang yang membebankan dirinya untuk menunaikan ibadah puasa, walhal dia tidak terdaya menunaikannya, lalu dia pun berbuka dan diwajibkan ke atasnya membayar fidyah. Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma berkata sebagaimana yang diriwayatkan oleh

Imam al-Bukhari Rahimahullah:

Maksudnya:
“Orang yang sangat tua di kalangan lelaki atau perempuan, kedua-duanya tidak berdaya untuk berpuasa, maka hendaklah kedua-duanya memberi makan orang miskin setiap hari sebagai ganti.”
(Atsar riwayat al-Bukhari)

Beberapa permasalahan berkaitan:

• Kewajipan membayar fidyah bagi orang yang sangat tua atau orang sakit yang tidak ada harapan sembuh menjadi tanggungannya sehingga dia mampu membayarnya walaupun
dia seorang fakir.

Menurut pendapat yang ashah apabila seseorang itu diwajibkan fidyah akan tetapi dia tidak mampu membayarnya, maka kewajipan itu tetap ditanggungnya sehingga dia mampu membayarnya sepertimana juga dengan kewajipan kaffarah.

• Waktu membayar fidyah bagi orang yang sangat tua atau orang sakit yang tidak ada harapan sembuh boleh (harus) membayar fidyah setelah fajar setiap hari di bulan Ramadhan.

Begitu juga boleh (harus) dia membayarnya sebelum terbit fajar setiap hari berpuasa iaitu pada malamnya. Walau bagaimanapun tidak boleh (tidak harus) dia menyegerakan membayar sebelum masuk bulan Ramadhan. Sebagai contoh dia hendak membayar tiga puluh cupak untuk
tiga puluh hari puasa yang akan ditinggalkannya.

• Tidak diwajibkan ke atas orang yang sangat tua atau orang sakit mengqadha puasa yang ditinggalkannya walaupun dia mampu dan berdaya untuk berpuasa kemudiannya.

Walau bagaimanapun jika dia berupaya mengqadha puasanya dan telah melaksanakan qadha tersebut, maka tidak lagi diwajibkan ke atasnya membayar fidyah. Jika dia telah membayar fidyah dan kemudian dia ada keupayaan untuk berpuasa, maka tidak lagi perlu dia mengqadha puasanya.

Fidyah Perempuan Hamil Atau Perempuan Yang Menyusukan Anak

Perempuan hamil atau perempuan yang menyusukan anak jika dia berbuka puasa termasuk antara golongan yang dikenakan sama ada qadha atau membayar puasa atau kedua-duanya sekali bergantung kepada keadaan sebagaimana berikut:


i. Jika perempuan tersebut berbuka puasa kerana takut mendatangkan mudarat kepada dirinya, maka dia hanya diwajibkan mengqadha puasa yang ditinggalkannya.

ii. Jika dia berpuasa kerana takut mendatangkan mudarat kepada anaknya, maka dia wajib mengqadha puasa yang ditinggalkannya dan diwajibkan juga dia membayar fidyah bagi setiap hari yang luput. Kewajipannya membayar fidyah ialah kerana dia berbuka untuk mengelakkan mudarat berlaku ke atas nyawa anak yang dalam kandungannya atau mudarat ke atas nyawa anak yang disusuinya akibat kekurangan air susu jika dia berpuasa.

Diriwayatkan oleh al-Baihaqi, Abdullah bin ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma pernah ditanyakan mengenai seorang perempuan hamil yang takut mudarat kepada anaknya, adakah ke atas perempuan yang hamil yang takut mudarat kepada anaknya itu berpuasa? Lalu beliau berkata:

Maksudnya:
“Berbukalah dan berilah satu cupak hinthah (sejenis makanan) kepada orang miskin setiap hari.”
(Atsar riwayat al-Baihaqi)

Fidyah Orang Yang Melengahkan Qadha Puasa

Orang yang meninggalkan puasa bulan Ramadhan dan kemudian dia melengahkan-lengahkan puasa atau melambatkan qadha puasanya sehinggalah datang bulan Ramadhan yang baru
sedangkan dia berdaya untuk mengqadhanya, maka dia wajib mengqadha puasa yang ditinggalkannya serta membayar fidyah bagi setiap hari yang ditinggalkannya. Kewajipan fidyah ini adalah disebabkan perbuatannya melengah-lengahkan atau melambatkan qadha puasa tersebut.

Imam an-Nawawi Rahimahullah berkata:
“Dan sesiapa yang mengakhirkan (melengah-lengahkan) qadha puasa Ramadhan sedangkan dia berupaya menunaikannya (kerana tiada uzur) sehingga masuk Ramadhan pada tahun hadapannya, maka wajib ke atasnya qadha (puasa yang ditinggalkannya) di samping membayar fidyah bagi setiap hari (puasa yang ditinggalkannya) sebanyak satu mudd.”


Bacaan seterusnya : Fidyah Dan Permasalahannya Bab Akhir

Sumber :
Mufti Brunei

No comments

Powered by Blogger.