Penduduk Seksyen 19 Sambut Baik Usaha Kerajaan Negeri Pindah Kuil

SHAH ALAM, 10 September - Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul…Selama berpuluh tahun, penduduk Seksyen 19 terpaksa berhadapan dengan masalah kuil Sri Maha Mariamman yang terlalu hampir dengan rumah.

Namun, pengambilalihan kerajaan Pakatan Rakyat daripada Barisan Nasional di Selangor selepas Pilihanraya lalu telah memberi ruang untuk mereka mendengar rintihan penduduk sekaligus mengambil inisiatif menyelesaikan masalah yang membelenggu penduduk di situ.

Keadaan sangat tidak selesa terpaksa dihadapi oleh penduduk disitu terutama ketika mereka mengadakan keramaian pada waktu malam, dengan bunyi bising yang menganggu waktu tidur dan anak-anak untuk belajar, serta kesesakan jalan berlaku apabila mereka meletakkan kereta di hadapan rumah penduduk disitu.

Rata-rata penduduk Seksyen 19 yang berhampiran dengan kuil itu menyambut baik keputusan kerajaan negeri untuk memindahkannya ke tapak yang lain.

“Kita orang ni memang setuju sangat pindah, dah lama sangat kita tak sanggup berdepan dengan bising, sesak, bila mereka bujat keramaian, setuju sangat, tak kisah kat mana, asal pindah dari sini, tapi MB kata dah ada tempat kan, eloklah, janji pindah,” kata Sharkhiyah Ahmad, 51, Penduduk Seksyen 19.

Manakala bagi Jamiah Abdul Karim, 51, berkata, pemindahan itu harus dilakukan dengan secepat mungkin kerana sudah bertahun perkara itu diutarakan dan hanya kini Menteri Besar mengambil tindakan.

Bagaimanapun, kata Jamiah, pemindahan ke tapak yang baru itu perlulah mendapat persetujuan penduduk sekitarnya kerana tidak mahu penduduk di tempat lain mengalami masalah masalah yang sama dengan mereka.



“Kena ambik kira sebab itu penduduk macam kita, dia orang sebelum dirikan, kalau dah dirikan nanti, susah, kira setujulah tak pindah ke seksyen 23, pindah ke tapak baru,” katanya.

Setiausaha Persatuan Penduduk Seksyen 19, Salleh Hassan juga menyokong penuh tindakan kerajaan negeri Selangor di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat untuk menyelesaikan masalah yang berlarutan selama bertahun-tahun itu.

“Daripada segi pemindahan itu, pada kami yang penting dia pindah, di mana tapak nak pindah, bukan urusan kami, itu urusan PKNS, sepatutnya mereka dah buat perancangan, kelemahan kat sini saya tekankan kepada mereka la,” katanya.

Bagaimanapun, kata Salleh, tindakan penduduk di Seksyen 23 yang mengadakan bantahan kerana khuatir kuil ini dipindahkan ke kawasan perumahan mereka tidak patut dipersalahkan seratus peratus kerana mereka mempunyai hak untuk memastikan kawasan mereka tidak terganggu dengan bunyi bising semasa keramaian agama itu diadakan.

“Sekiranya kawasan yang akan ditempatkan kelak akan menjejaskan seperti keadaan di sini, mereka buat bantahan pun wajar sebab mengikut pengalaman kami, bila adanya kuil ini, kami dalam keadaan tertekan apabila mereka mengadakan perayaan-perayaan mengganggu dari segi ketenteraman,” katanya.

Katanya lagi, kuil Hindu itu sepatutnya dipindahkan jauh dari kawasan perumahan yang mempunyai majoriti penduduk Melayu.

Bagaimanapun, ada penduduk yang ditemui menyarankan agar penduduk di seksyen 23 yang membuat bantahan berhubung pemindahan kuil di seksyen 23 bertimbangrasa dan memahami keadaan mereka.

“Kita pun bukanlah nak marah sangat diorang bantah, diorang pun akan alami benda yang sama dengan kita, sebab dekat, mungkin yang baru ni ok sikit, jauh…kena bertimbangrasa dengan kita lah sebab dalam 400 meter boleh terima, berbanding dengan kita kat sini selama 20 tahun kat sini,” kata Fauziah Abu Kassim,

Kata Fauziah, tindakan kerajaan negeri Selangor di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat kini sangat baik kerana sekian lebih 20 tahun usaha mereka kepada pembesar negeri itu yang terdahulu tidak diendahkan.

“Memang dari dulu kami mintak, dah berapa kali jumpa menteri besar yang dulu, diorang buat layan tak layan je la, so yang sekarang ni, bila kita berjumpa, Nampak adalah usaha diorang nak pindahkan kan..jadi kita pun bersyukur pemimpin yang ada sekarang, ada inisiatif nak dengar luahan kita, yang dulu kami sendiri jumpa menteri besar tapi takde apelah follow up, takde tindakan diorang buat,” katanya.

Bilal Masjid Ubudiah Seksyen 19, Ismail Abbas turut mengalu-alukan keputusan kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor untuk menyelesaikan perkara itu.

Beliau sendiri sudah berputus asa dengan politik Umno yang tidak mengotakan janji lebih 20 tahun untuk memindahkan kuil Sri Maha Mariamman yang terletak 20 meter daripada rumah mereka.

“Saya banyak kali berurusan dengan Ahmad Nawawi mahupun bapanya tapi keadaan sama saja. Ahmad Nawawi sendiri mengaku masalah kuil ini sudah ada sejak bapanya masih Adun.

“Bila YB Khalid Samad kata nak selesaikan dalam masa dua tahun, kami angkat topi kalau ia boleh diselesaikan dalam amsa dua tahun, sedangkan dulu selama 20 tahun takda benda pun, so its achievement,” katanya.

Katanya, kuil itu sudah wujud lama sebelum Shah Alam dibangunkan dan lokasinya amat ketara dan tidak sesuai dengan kehidupan harian penduduk setempat.

Bagaimanapun, bilal masjid itu berkata, mereka tidak mahu isu itu berlarutan dan membakar sentimen perkauman, dan mahu ia diselesaikan dengan baik tanpa sebarang perbalahan antara kaum dengan situasi menang-menang.

“Lebih benda itu dipindahkan daripada orang bergaduh, itu pun nak bergaduh, ini tak manis la dan keluar surat khabar tentang seksyen 19, tak sedap sebab macam menggambarkan kami nak conquer semua,” katanya.

Bagaimanapun, Ismail tidak bersetuju dengan bantahan yang dilakukan dengan menghina tuhan agama lain kerana dalam Islam sendiri ada menyebut bahawa jangan sesekali menghina tuhan agama lain.

“Tunjuk perasaan kepala lembu, ludah-ludah tu, tak patut dan patut diorang dibicarakan… Quran mana dia bukak, sedangkan dalam al-Quran ini dah tertulis, kamu jangan hina tuhan orang lain, nanti mereka hina tuhan kamu, nak jawab macamane,” katanya.

Disamping itu, kata Ismail, mereka sepatutnya mencari tapak yang lebih sesuai untuk memberi keselesaan sendiri kepada penganut agama itu untuk ke rumah ibadat mereka.

Beliau turut menuding jari kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang lalu sebagai punca kepada masalah itu kerana kuil itu tidak terdapat dalam pelan induk pembangunan kawasan perumahan itu.

Bagaimanapun, ketika terlihat terdapat kuil di kawasan majoriti 98 peratus penduduk Melayu itu, dan apabila diasak dengan peratanyaan, PKNS memberi alasan tempat itu akan dilupuskan.

“Pada saya ini semua salahnya pada PKNS, dia tipu kita semua, sebab masa kita nakbeli rumah, dalam master plan, kuil tu dah takde, its not there, tapi bila pakcik datang tengok, ada…tanye tapi dia jawab very soon, this kuil will be demolish, until now, twenty years later, nothing happen, so semua orang yang beli tertipu,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berusaha menyelesaikan pemindahan kuil Seksyen 19 ke tapak baru untuk mengelakkan kontroversi seperti bantahan yang dilakukan oleh penduduk di kawasan perumahan Seksyen 23.

Tan Sri Khalid turut meninjau beberapa kawasan baru dalam usaha menyelesaikan pemindahan kuil Sri Maha Mariamman dari Seksyen 19 Shah Alam ke lokasi yang lebih sesuai.

“Saya telah melihat beberapa tapak itu, kita adalah maklumat tentang tapak itu, tapi untuk samada tapak itu boleh digunakan ntuk pemindahan kuil itu, kita telah meminta datuk Bandar, Yb Khalid, dan Yb rodziah adun Batu Tiga…untuk mengadakan perbincangan dengan jawatankuasa kuil seksyen 19 supaya satu persetujuan dapat dilakukan, dan saya serahkan kepada budi bicara mereka supaya dapat menyelesaikan isu ini,” katanya.

Bagaimanapun kata Tan Sri Khalid, proses ini akan dilakukan berperingkat-peringkat untuk mengkaji dan berbincang agar tapak baru itu tidak menimbulkan masalah kepada penduduk sekitarnya.

Katanya, kerajaan negeri prihatin untuk mendapat persetujuan semua pihak yang terlibat untuk memastikan satu penyelesaian terbaik dapat dicapai.

“Ada beberapa peringkat, peringkat yang pertama, kalaupun lepas itu setuju atau tidak setuju akan dikemukakan kepada exco negeri, dan jika exco negeri setuju, dan barulah ada dikatakan pendengaran awam, jadi perosesnya berperingkat, bukan satu saja,” katanya.

Perbincangan lanjut akan diadakan dengan pihak kuil bersama Datuk Bandar Shah Alam, Mazalan Md Noor, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail untuk mencapai persetujuan semua pihak, sebelum hari raya ini.

“Perkara ini akan dikendalikan oleh Datuk Bandar Shah Alam, mereka akan berbincang dalam mesyuarat, dan berharap perkara ini akan dapat diselesaikan secepat mungkin dan berharap sebelum hari raya ini dan menemui jalan penyelesaian,” katanya.-ATIQAH YAACOB (TVSELANGOR)


No comments

Powered by Blogger.