Bagus Punya! Pakat Dok Backup Musang Hassang

Dakwaan Satu Peratus Rasa Selamat Setelah Musa Jadi KPN 3 Tahun Tidak Benar

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri Selasa menafikan dakwaan kononnya hanya satu peratus rakyat di negara ini yang berasa selamat semenjak Tan Sri Musa Hassan menjadi Ketua Polis Negara (KPN) tiga tahun lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata ia tidak berasas kerana jenayah di negara ini terkawal dan menyifatkan dakwaan itu lebih kepada mempolitikkan isu.

"Kejadian jenayah yang dikatakan berlaku berleluasa ini adalah satu dakwaan yang tidak betul kerana apa yang kita lihat, ketika Musa dilantik menjadi KPN pada 12 Sept 2006, jumlah jenayah kekerasan dan harta benda ialah 196,780 kes.

"Pada tahun 2007 pula sebanyak 209,559 kes jenayah kekerasan dan harta benda di mana peningkatan hanya 12,779 kes iaitu dalam lingkungan enam peratus sahaja. Pada tahun lepas pula sebanyak 211,645 kes dan peningkatan sebanyak 2,086 kes.

"Ini menunjukkan bahawa kadar peningkatan kes itu adalah rendah. Dakwaan oleh pembangkang itu lebih kepada mempolitikkan isu," katanya menjawab soalan tambahan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Lim mendakwa berdasarkan undian dari laman web Kementerian Dalam Negeri, hanya satu peratus rakyat yang berasa selamat setelah tiga tahun Musa menjadi KPN dan menyifatkan bahawa Musa gagal menjalankan tanggungjawabnya kerana kadar jenayah yang semakin meningkat.

Walaubagaimanapun, dakwaan Lim itu disangkal Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) kerana sebahagian besar masyarakat di negara ini memberi penghargaan kepada polis dan Musa.

"Takkanlah rakyat di negara ini hanya satu peratus selamat, kita tahu bahawa keamanan di negara ini disebabkan berkat usaha polis yang diketuai Musa. Saya tidak tahu angka mana yang diambil Ipoh Timur (Lim).

"Pada saya wajar kerajaan lanjut perkhidmatan Musa dan jangan ambil kesimpulan berdasarkan kehendak pembangkang, saya sokong perlantikan dan harap Musa jadi contoh kepada KPN akan datang kerana prestasinya yang tinggi," katanya ketika mengemukakan soalan tambahan.

Sementara itu, ketika menjawab soalan Lim mengenai sebab tempoh perkhidmatan Musa dilanjutkan, Abu Seman berkata keputusan itu dibuat berdasarkan keperluan, kecemerlangan prestasi kerja dan kesihatan selain personaliti Musa yang berwibawa dalam bidang kepolisan.

"Pelantikan itu juga adalah kerana keperluan beliau untuk merealisasikan usaha-usaha dalam misi penambahbaikan pasukan polis di bawah Pelan Strategik Lima Tahun (PS5T) bermula tahun 2007 hingga 2011 yang diilhamkan beliau sendiri," katanya.

Beliau berkata dari segi prestasi kerja Musa secara keseluruhannya, kerajaan mendapati beliau telah berjaya menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai KPN.

"Ini terbukti apabila semua sasaran kerja yang ditetapkan dalam Petunjuk Indeks Prestasi Utama (KPI) yang diluluskan oleh Ketua Setiausaha Negara bagi jawatan Ketua Polis Negara tercapai sepenuhnya," katanya.



-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.