Bajet Gula-gula Najib Gagal Tutup Asas Kekuatan Ekonomi Malaysia

Beberapa gula-gula yang disajikan dalam belanjawan ulung Najib Razak tidak cukup untuk menutup soal-soal asas mengenai kekuatan ekonomi Malaysia.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pengakuan Najib sendiri bahawa pelaburan di Malaysia terus menjunam secara mendadak adalah amat membimbangkan.

"Kita dapat kesan awal ada beberapa kelemahan asas pertamanya menangani defesit itu tidak jelas walaupun ujuran akan berkurangan daripada 7.4 peratus sekarang. Tetapi kenyataan bahawa pelaburan kita menjunam ini angka yang cukup mengejutkan dari RM19.7 billion diumumkan tadi pada RM3.36 billion," katanya di Lobi Parlimen.

Anwar berkata Najib perlu menjelaskan fenomena berkenaan kerana negara-negara lain di Asia semakin pulih, malah mencatatkan aliran pelaburan yang positif

"Ini satu angka yang harus disiasat dan dilteliti kerana ini tidak selaras dengan perkembangan di rantau terutamanya dengan negara China, India yang meningkat pelaburan yang positif akhir-akhir ini," katanya.

Anwar berkata per tumbuhan Malaysia semakin terjejas kerana pendapatan kerajaan yang semakin merosot akibat dasar-dasar rapuh dan perlaksanaan yang lemah dan penuh ketirisan.

Pengurangan peruntukan dalam sektor pembangunan akan hanya memburukkan lagi keadaan.

"Ini kerana jumlah pendapatan kerajaan umumnya merosot dan pengurangan belanjawan pembangunan turun 11.2 peratus dan ini membimbangkan kerana bila pendapatan merosot belanjawan tidak meningkat maknanya kita tidak dapat pertahankan fasa pertumbuhan kita.

"Saya juga terkejut apabila ucapan belanjawan tidak sebut lagsung sektor pertahanan selepas menang Bagan Pinang maka pasukan tentera dilupakan," katanya.

Dalam pada itu Anwar juga berkata langkah mengenakan caj perkhidmatan atas penggunaan kad kredit hanya menambah beban orang ramai dan melunturkan hasil beberapa kemudahan kecil yang disajikan menerusi belanjawan itu.

"Sementara beberapa kemudahan lain diberi kepada rakyat tetapi beberapa beban baru umpamanya caj perkhidmatan kad kredit itu akan ditanggung oleh dua juta rakyat berbanding dengan beberapa kemudahan kecil yang diberikan," katanya. -TVS


No comments

Powered by Blogger.