Baru Nak Buat Post-Mortem?

PAS baru mengumumkan satu jawatankuasa kajisiasat (post mortem) kenapa calonnya kalah teruk dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang dan telah melantik AJK PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu untuk mengetuai jawatankuasa post-mortem berkenaan.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, Mohamad dilantik berdasarkan beliau tidak terlibat secara langsung dalam jentera pilihan raya kecil tersebut, harakahdaily dipetik.

Mustafa memberitahu perkara ini ketika ditemui di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut petang semalam.

Ramai melihat pembentukan jawatankuasa post-mortem itu sebagai langkah yang paling lembab yang telah menjadi budaya kerja Jawatankuasa PAS Pusat selama ini yang lansung tidak melambangkan saranan Presiden PAS sendiri yang meminta ahli-ahli PAS untuk berubah.

Calon Pakatan Rakyat dari PAS, Zulkefly Mohamad Omar kalah kepada calon BN, Tan Sri Mohd Isa Samad dalam pilihan raya itu dengan majoriti 5, 435 undi berbanding hanya 2,333 undi dalam pilihan raya umum 2008 lalu.

Mustafa dalam pertemuan yang sama menjelaskan pandangannya dengan terperinci kenapa PAS kalah dalam pilihan raya ini.

"Punca utama adalah undi pos yang tidak telus... bukan pilihan raya ini sahaja, proses pengundian undi pos di mana-mana sahaja dalam negara ini tidak telus.

"Bagi saya, inilah punca utama kemenangan besar Umno," kata beliau yang berada di Bagan Pinang sejak sebelum hari penamaan calon lagi.

Selain Bagan Pinang, Barisan Nasional (BN) khasnya Umno sudah dikira menang di mana-mana sahaja kawasan Dun yang mempunyai undi pos melebihi 5,000.

"Selain Bagan Pinang, Umno sentiasa menang di Dun Pangkor (kawasan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir) yang mempunyai 12,000 undi pos dan Sungai Udang yang mempunyai 10,000 undi pos," beritahu Mustafa.

Oleh itu, beliau berpendapat, undi pos perlu dikaji semula bukan kerana dengki kepada Umno tetapi supaya negara ini dilihat mempunyai sistem pilihan raya yang telus.

Namun Mustafa gagal untuk meihat mengenai penolakan masyarakat kaum India yang telah menolak PAS di Bagan Pinang.

M.Perry di dalam blognya free2talk2me.blogspot.com menyatakan


Peningkatan sokongan pengundi India dan Cina kepada calon BN, Tan Sri Isa, adalah antara sebab utama yang menyebabkan kemenangan besar BN. Menurut perkiraan pekerja parti, sejumlah 1870 pengundi India keluar mengundin pada 11.10.09. Daripada jumlah itu, hampir 1387 pengundi India memilih BN atau 75 %. Peratusan sokongan pengundi India didapati melonjak 4 kali ganda daripada peratusan yang diperolehi pada PRU12. Semua Daerah Mengundi, kecuali Sua Betong, yang terletak hampir 80 % pengundi India dikuasai oleh PAS dalam PRU12.

Tetapi, PAS kecundang dalam semua Daerah Mengundi yang mempunyai bilangan besar pengundi India dalam pilihan raya kecil ini. Pengundi bukan Melayu, terutamanya pengundi India didapati menolak samasekali dakwaan –dakwaan yang dimajukan oleh Pakatan Rakyat atau PAS terhadap BN.Malah pengundi India jelas menunjukkan sikap tidak berkenan dengan dasar dan pendirian Pakatan Rakyat dalam menangani masalah-masalah dan isu-isu semasa yang dihadapi oleh kaum India sejak PRU12. Isu Kampong Buah Pala (Pulau Pinang) yang dibangkitkan oleh petugas-petugas BN didapati lebih mempengaruhi pengundi India berbanding dengan isu ‘kepala lembu’, Isu ‘Kuhan’ dan Isu Kuil di Sek23 (Shah Alam, Selangor) .

Kegagalan PAS , PKR dan DAP dalam mempertahankan kepentingan kaum India seperti diharapkan dan janjikan oleh PR dalam PRU 12 juga menimbulkan perasaan kecewa dan tidak yakin dikalangan sebahagian besar pengundi India Bagan Pinang terhadap calon PR atau PAS. Sebaliknya, selain daripada populariti calon BN , Tan Sri Isa, dikalangan pengundi bukan Melayu, kempen BN yang berlandaskan konsep 1 Malaysia juga dikesan berjaya menguasai pemikiran dan jiwa sebahagian besar pengundi India di Bagan Pinang. Keiklasan, kesanggupan dan komitmen yang dipamirkan oleh YAB Mohd.Najib Tun Razak, Perdana Menteri, dalam membantu komuniti India didapati bukan sahaja kaum India yakin terhadap kepimpinan beliau malah mempengaruhi minda mereka memihak BN dalam pilihan raya kecil ini.

Pengundi India percaya bahawa Najib bersungguh-sungguh dalam membantu kaum India dan bukan retorik politik. Peningkatan sokongan kaum India kepada BN jelas menunjukkan bahawa pengundi India yang merajuk dengan BN kerana terguris hati akibat peristiwa roboh kuil menjelang PRU12 mula kembali menyokong BN. Sekiranya trend ini diteruskan maka negeri-negeri yang ditawan oleh PR dalam PRU 12 kerana mendapat sokongan pengundi India akan jatuh kepada BN dalam PRU13. BN didapati telah besedia menggasak PR untuk menebus imej yang terhakis dalam PRU12. Rakyat Malaysia menjangka fenomena ‘tsumani politik’ akan tercetus dalam PRU13 yang akan memadam kesan Pakatan Rakyat dalam landskap politik Malaysia.



Kelembapan PAS untuk menginstitusikan Kelab Penyokong PAS menjadi penyebab utama peralihan sokongan kaum bukan Melayu daripada PAS.

PAS menjanjikan akan menjadikan Kelab Penyokong PAS sebagai sayap utama parti seperti dewan-dewan yang sedia ada, namun ia hanya sebagai satu cadangan yang belum menjanjikan apa-apa sedangkan pada masa kini telah ramai meninggalkan Kelab Penyokong PAS kerana merasakan mereka terbiar dan tidak diperdulikan oleh PAS Sendiri.

PAS menjanjikan mahligai di waktu mereka memerlukan pondok untuk berteduh.

Natijahnya PAS menggigit jari dengan kegagalan untuk menyelesaikan masalah secara pantas dan efektif.

Budaya kerja lembab yang diketuai oleh Presiden parti seperti yang ditonjolkan oleh Prof Abd Aziz Bari wajar diberikan perhatian tetapi pemimpin tertinggi PAS yang dipimpin oleh kumpulan pendokong Unity Government (UG) tidak pernah mahu mendengar kritikan orang tetapi lebih selesa untuk menghentam semula orang yang mengkritik secara jujur dan membina untuk memantapkan parti seperti yang dilakukan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Ust Idris Ahmad dan Ketua Penernagan PAS Selangor yang membela Pesuruhjayanya, Sdr Roslan SMS.

Termasuklah di dalam kumpulan itu kumpulan yang sama lembab gerak-kerjanya yang terdiri dari pemuka-pemuka UG tetapi paling bising dan paling retorik ucapannya.

No comments

Powered by Blogger.