Benda Apakah Pembangkang Itu?

Siapa kata kematian tokoh negara satu kerugian? Siapa kata kematian orang politik satu kehilangan besar? Siapa yang kerugian, siapa yang kehilangan?

Yang jelas lagi terang kematian YB membawa keuntungan yang lumayan. Penduduk senyum lebar. Kontraktor ketawa riang. Masakan tidaknya. Jalan raya lama diturap baru, balai raya bocor ditukar bumbung baru, masjid uzur dipulihkan, jambatan kayu ditukar batu, dan sekolah yang kecil diperbesarkan. Semuanya serba baru.

Balai raya bocor, masjid senget, jalan pecah sekian lama tidak ada siapa peduli walaupun berpuluh-puluh kali dibangkitkan penduduk. Semuanya buat pekak. Menteri Besar buat pekak, Exco pun buat pekak. Wakil Rakyat lagsung tuli, Pegawai Daerah sama sekali tidak mendengar. Kering air liur penduduk, sakit tekak Ketua Kampung membangkitkan masalah yang dihadapi, tetapi abuk pun tidak kelihatan.

Anehnya, apabila terdapat YB yang mati, pilihanraya kecil diadakan, jalan raya, balai raya, masjid, sekolah dan jambatan menjadi baru dengan sendiri. Tanpa diminta, tanpa dirayu, peruntukan datang sendiri. Pokok durian tidak ada, tetapi buahnya runtuh di depan tangga. Penduduk senyum lebar, kontraktor ketawa riang. Untung sungguh kawasan yang YBnya disayangi Tuhan.

Cuma yang menjadi sedikit kepelikan, setiap kali ada pilihanraya ada-ada sahaja yang tidak baik yang dilakukan oleh pembangkang. Bukan orangkah pembangkang ini?

Menipu, membohong, mengkelentong, mereka cerita, memutar-belit, dan memfitnah mesti pekerjaan pembangkang. Menyekeh kepala orang, menyiku orang, melutut orang, menumbuk orang, membaling batu orang, menembak orang, meraba buntut orang, mengentot bini orang dan mengebom orang sahih perbuatan pembangkang. orang atau apa pembangkang ini? Tahu buat jahat sahaja?

Lebai tipu, ulama palsu, ajaran agama yang seleweng, akidah yang sesat, moral yang rendah, maruah yang hilang dan amanah yang tidak ada semuanya ciri-ciri pembangkang.

Semua pekerjaan, perbuatan, tindakan pembangkang tidak ada yang baik. Ini belum berkuasa. Apabila pembangkang berkuasa dan memerintah negara maka malap negara, gelap masa depan rakyat. Jadi neraka satu Malaysia. apa benda pembangkang ini yang ada semuanya jahat-jahat belaka?

Yang baik, suci, bersih, amanah, jujur, integriti, boleh harap, warak, pembawa agama tulen, pendukung akhlak mulia, pembela wanita dan kanak-kanak, penjaga maruah bangsa, agama dan bangsa semuanya BN. Apakah benda BN ini? Malaikatkah atau Dewakah BN ini? Semuanya sempurna. Sejak merdeka perintah negara tiada malap, tiada gelap. Semuanya elok belaka. Yang membunuh, mengebom orang, mencabut nyawa orang, mengurung orang tanpa bicara, merompak harta rakyat, mencekik darah rakyat, mengkayakan kroni, memutar-belit konsesi lebuh raya, konsesi balak adalah perbuatan pembangkang yang sengaja hendak membusukkan nama BN. Jahat betul pembangkang, baling batu sembunyi tangan.

Yang rasuah, yang mencalonkan perasuah, yang mempertahankan perbuatan rasuah dan yang kitar semula juga tabiat pembangkang. Yang janji manis, janji besar tetapi tidak ditunaikan adalah pembangkang.

Pendek kata tiada walaupun sebesar zarah perbuatan baik-baik yang ada pada pembangkang. Namun, pembangkang ini bernasib baik kerana tiada media berani melaporkan kepada rakyat. Maklumlah semua media besar dikuasai oleh pembangkang.

Woi, cukuplah projek menipu rakyat. Rakyat tahu siapa setan, siapa malaikat walaupun tanpa bantuan media!


http://satumalaysia.wordpress.com/

No comments

Powered by Blogger.