Beri komitmen pada pendidikan agama

KECENDERUNGAN serta kesedaran kebanyakan orang Melayu untuk kembali menghayati ajaran Islam sepenuhnya begitu ketara sekali sejak kebelakangan ini. Faktor apakah yang menyebabkan perkara ini berlaku, tidaklah pula diteliti. Tetapi apa yang pasti kecenderungan tersebut memang sukar dibendung.

Contoh nyata ialah kecenderungan kebanyakan ibu bapa terutamanya golongan berkemampuan menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama sama ada untuk mengikuti kelas biasa yang bertunjangkan pendidikan Islam ataupun pengajian tahfiz, sama ada prasekolah, sekolah rendah ataupun menengah.

Kelas pendidikan Islam atau pengajian tahfiz seumpama itu kebanyakannya dianjurkan oleh pihak swasta sama ada individu atau pertubuhan, sebenarnya menghendaki ibu bapa mengeluarkan belanja yang banyak untuk menyara pengajian anak-anak mereka. Perbelanjaan pakaian, buku-buku dan juga yuran pengajian semuanya terpaksa ditanggung oleh ibu bapa. Namun bebanan tersebut bukanlah menjadi penghalang bagi ibu bapa yang berkemampuan menghantar anak-anak mereka belajar di tempat berkenaan.

Pusat-pusat pengajian seumpama itu akan penuh sesak pada setiap kali pendaftaran dibuka dan pihak terbabit terpaksa menolak permintaan yang banyak kerana tempat adalah terhad walaupun ramai yang berkelayakan.

Saya membuat kesimpulan bahawa walaupun ibu bapa sendiri kurang pengetahuan serta tidak begitu arif mengenai agama, mungkin sekadar tahu bersembahyang, berpuasa dan membaca al-Quran, namun naluri untuk menjadikan anak-anak mereka orang yang pandai tentang selok-belok agama ataupun bergelar ahli agama, ulama atau al-hafiz pada masa depan begitu tinggi. Maka tidak hairanlah kalau pusat-pusat pengajian sedemikian menjadi pilihan mereka.

Pihak kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan seharusnya peka terhadap perkembangan ini dengan menyediakan sekolah-sekolah seperti itu bagi memenuhi kehendak rakyat, sekali gus menghindarkan bakal wujudnya sekolah-sekolah agama yang didirikan oleh individu yang propembangkang atau diasaskan oleh parti pembangkang itu sendiri.

Andainya perkara demikian dapat dibendung, tentunya pelbagai kekeliruan yang dihadapi sekarang ini dapat dielakkan.

Seperkara lagi yang harus dititikberatkan oleh kerajaan ialah mengenai kelas Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA). Buat masa sekarang (khususnya di negeri Kedah) kelas ini tidak dilanjutkan ke sekolah menengah? Sepatutnya anak-anak di peringkat remajalah yang perlu diberi penekanan mengenai kaedah pembacaan al-Quran yang tepat serta perkara yang berkaitan dengan agama dan amalan hidup yang sihat di samping menjalani kokurikulum yang lain.

Tidak dinafikan ada suara-suara sumbang mendakwa, pihak kerajaan tidak menitikberatkan atau menutup mata mengenai perkara ini kerana takut kedudukan kerajaan akan tergugat, andainya ramai yang teguh pegangan agama akan menyokong parti pembangkang. Ada juga yang menuduh kerajaan sekarang adalah kerajaan yang anti-Islam dan menerima pakai hukum Islam cuma yang menguntungkan dari segi politik semata-mata.

Pendapat ini adalah suatu pendapat yang dangkal serta tidak berasas. Sebenarnya medan politik hanya wadah bagi tujuan pembangunan negara serta penyebaran agama Islam. Sedangkan Islam sejak dulu hingga kini malah hingga hari kiamat tidak akan berubah baik dari segi hukum, amalan mahupun peradabannya. Cuma mungkin ada di antara hukum-hukum Islam yang belum kita laksanakan, lantaran hukum berkenaan belum “terkena” ke atas kita untuk dilaksanakan ataupun hukum-hukum berkenaan hanya terkena kepada umat-umat terdahulu atau yang akan datang sahaja.

Maka bukanlah akibat bimbang akan kehilangan kuasa politik, maka kerajaan tidak mampu mendirikan sekolah-sekolah yang dimaksudkan. Mungkin perkara ini sedang dalam kajian ataupun perancangan pihak kerajaan.

Sekiranya corak pendidikan yang disalurkan terhadap anak-anak dan generasi Islam masa hadapan adalah tepat dengan kehendak agama, bukanlah sesuatu yang mustahil kedudukan kerajaan sekarang akan bertambah kukuh dan mendapat sokongan rakyat sepenuhnya.

Suara-suara sumbang memanglah tidak dapat dielakkan. Tetapi ia akan lenyap ditelan masa dan keadaan sekiranya kerajaan dapat membuktikan bahawa komitmen terhadap pendidikan agama untuk rakyat sentiasa diberi keutamaan.

Seharusnya kita membuka minda kita dengan mengetepikan soal-soal remeh seperti melabel seseorang atau kelompok dengan parti politik tertentu. Janganlah kita menganggap orang yang berjubah berserban atau sekadar memakai pakaian Melayu dan bersongkok hitam itu penyokong parti tertentu. Sebenarnya kedua-duanya adalah melambangkan pakaian Melayu dan Islam.

Janganlah kerana takut dikaitkan dengan sesuatu parti, maka ia membantutkan usaha kita untuk memantapkan pendidikan Islam. Sudah tentulah jika sesuatu pusat pendidikan itu berpaksikan Islam sepenuhnya, pakaian yang dipilih ialah jubah dan serban serta telekung atau mungkin pakaian Melayu sebagai pakaian seragam pelajar-pelajarnya.

Semuanya itu tidak menjadi hal kepada kita kalau kita menganggap bahawa pakaian demikian adalah melambangkan Islam dan Melayu serta sepatutnya kita berbangga dengan hal tersebut.

Bagaimanapun, segala-galanya terpulanglah kepada pihak kerajaan untuk menentukannya. Sebagai rakyat, saya fikir saya berhak untuk menyuarakan pandangan demi kemajuan serta pembangunan rakyat dan negara yang saya cintai.

- NASIR AWANG, Alor Setar, Kedah.

No comments

Powered by Blogger.