Jangan masuk politik bercita-cita mahu jadi kaya - Zaid

KOTA KINABALU - Datuk Zaid Ibrahim yang menyertai PKR Jun lalu berharap parti itu tidak didominasi oleh kumpulan tertentu yang mempunyai agenda mereka sendiri.
Menurut beliau PKR tidak boleh terikut-ikut dengan agenda kumpulan tersebut. "Jangan terbawa dominasi kumpulan tersebut, ada yang masuk politik bercita-cita mahu jadi kaya, mahu jadi wakil rakyat atau Perdana Menteri" katanya.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata demikian ketika berucap pada majlis rumah terbuka Aidilfitri dan Deepavali di Plaza Tanjung Aru di sini malam tadi.
Ketika ditanya, Datuk Zaid menafikan bercuti selama 6 bulan daripada parti tersebut sebaliknya hanya berehat daripada terlibat dengan aktiviti Biro Politik PKR. Beliau berkata langkah tersebut bagi membolehkannya menumpukan perhatian terhadap usaha dan gerakan untuk mengukuhkan kerjasama antara pakatan pembangkang.
"Saya bercuti daripada Biro Politik kerana terlalu banyak mesyuarat, jadi saya tidak dapat tumpukan perhatian terhadap usaha mengukuhkan parti," katanya.
Beliau mengulas laporan sebuah laman web yang mengatakan beliau bercuti selama 6 bulan daripada PKR berkuatkuasa serta merta selepas Penasihat PKR, DSAI menghalangnya daripada menghadiri program di Sabah.
Menurut laman web tersebut, hasrat Zaid untuk ke Sabah tidak direstui oleh seorang lagi Naib Presiden PKR iaitu Azmin Ali yang juga merupakan Pengerusi PKR Sabah. Ekoran itu, Anwar telah menasihati Zaid supaya tidak pergi ke Sabah.
Ditanya tentang tindakannya yang mengingkari arahan Penasihat PKR, beliau berkata "perkara itu akan dijelaskan kemudian."

No comments

Powered by Blogger.